"Nana perasan Kak Lofa sengaja larikan diri tadi. Semua orang ajak sarapan tapi akak sibuk nak jemur baju. Padahal matahari pun belum nampak bayang." Nafisah tersenyum sumbing.
Nailufar jegilkan mata. Pagi-pagi lagi adiknya mula mengusik. Sudahlah dia tak betah dengan renungan suaminya sewaktu sarapan. Lantaran itu, dia mencari alasan supaya tidak makan semeja dengan Amru. Sejak malam semalam, dia tak mampu memperlihatkan wajah secara berdepan. Malu. Setiap kali minda tanpa sengaja memutarkan babak tersebut, setiap kali itu Nailufar cuba menyekat. Buat kerja rumah tanpa henti adalah cara yang terbaik. Sekejap lagi dia bercadang hendak mop satu rumah walaupun semalam sudah dilakukannya ketika gotong-royong lepas kenduri.
"Mesti Kak Lofa segan dengan Abang Amru, betul tak?" Kedua-dua belah keningnya terjongket naik. Suka melihat riak Nailufar yang memerah. Fenomena yang jarang berlaku di matanya.
Kali ini telunjuk Nailufar menegak tengah mulut sebelum tangannya memberi isyarat bahasa.
'Jangan buat kacau dekat sini. Pergi masuk baca buku. Hujung tahun ni Nana nak ambil periksa besar. Sila belajar dengan tekun.'
"Alah, cuti sekolah dua minggu! Banyak lagi masa Nana boleh study. Sekarang Nana nak sembang dengan Kak Lofa. Cuba ceritakan perasaan akak selepas tiga hari menjadi isteri orang?"
Nailufar mengetip bibir. 'Soalan Nana tu masuk dalam exam ke?'
Nafisah tayang gigi. Tak terkesan dengan sindiran kakaknya. Masih mahu bercanda.
"Nana asyik bayangkan macam mana Abang Amru berusaha nak cakap dengan Kak Lofa. Mesti semalam akak gigih tulis dalam kertas. Agaknya dah boleh buat karangan, kan?"
Mencerlung matanya. Tangan mencekak pinggang. Geram dengan gurauan Nafisah. Berani mempermainkan dirinya.
'Hari ni akak mogok cakap dengan Nana. Jangan berkeliaran depan mata akak.'
Lantas Nailufar terus sidai baju tanpa menghiraukan Nafisah yang berdiri sandar pada tiang penyidai.
Nafisah mendekati kakaknya seraya dipeluk belakang Nailufar.
"Sorry, Kak Lofa. Nana cuma berlawak. Nak manja-manja dengan akak sebelum Abang Amru bawa akak pergi jauh daripada Nana. Sedih tau berpisah dengan satu-satunya kakak yang Nana ada."
Sambil berkata, birai matanya basah. Pedih hati bila menyedari masa bersama semakin singkat. Nailufar telah menjadi pengganti arwah ibu. Tempatnya mencurahkan segala isi hati. Terlalu banyak memori yang mereka tempuh dan kongsi. Walaupun kekurangan kakaknya sering diperlekehkan orang luar, Nafisah selalu berbangga dengan Nailufar. Kakaknya sangat kuat dan tabah. Malah dia arif tentang kejadian di sebalik kebisuan kakaknya. Terlalu berat bagi Nailufar menggalas kedukaan dalam diri. Kini tiba masa Nailufar mengecapi kemanisan yang bisa memadamkan kepahitan lalu.
Sendu hatinya. Pelukan Nafisah meleburkan rajuk Nailufar. Lantas dia melepaskan kain batik ke dalam bakul. Kemudian dia meleraikan pelukan Nafisah dan memutar tubuh bagi berdepan adiknya. Melihat air mata Nafisah, Nailufar jadi sebak. Jemari segera menyeka basah di pipi adiknya.
'Kenapa Nana menangis sekarang? Kak Lofa masih ada dengan Nana. Membazir tumpahkan air mata sebelum waktunya. Kalau betul akak terpaksa pergi, kita masih boleh berhubung. Nanti setiap minggu Kak Lofa tulis surat. Okey tak?' usulnya memandangkan rumah mereka tak bertelefon dan dia juga tiada keupayaan untuk bercakap melalui telefon.
"Tulis surat? Lambatlah. Kak Lofa suruhlah Abang Amru pasang telefon dekat rumah kita ni," cadang Nafisah pula. Tersenyum manja membuat permintaan.
YOU ARE READING
Makmum Yang Paling Aku Cinta
RomanceDalam Tahajud Nailufar merintih hiba. Sesungguhnya dia keliru menghadapi lamaran Dato' Syed Qassim. Seorang lelaki yang telah beristeri lebih dari seorang. Malah lelaki berumur itu sudi melunaskan hutang keluarganya dengan syarat dia menerima pinang...