BAB 22

2.9K 19 1
                                    


Nafisah lepaskan basikal ke tanah sebelum terkocoh-kocoh berlari masuk ke kebun. "Kak Lofa, Kak Lofa!" jeritnya tak sabar.

Dia terperanjat bila muka lain yang terpacul. Langsung tergamam. Namun nafasnya masih berlumba-lumba masuk ke rongga pernafasan dek mengayuh basikal dengan kencang sekejap tadi.

"Kak Lofa dengan pak cik tengah tengok anak pokok pisang dekat hujung sana." Shukur memberitahu sambil tersenyum.

Nafisah angguk tanpa senyum. Kakinya menghala ke arah yang Shukur tunjukkan.

"Ada hal penting ke?" Shukur masih mahu melanjutkan perbualan.

Langkah Nafisah tergencat. Tanpa memandang muka Shukur, dia mengangguk lagi

"Kenapa tiba-tiba bisu? Tadi punyalah jerit macam isteri Tarzan." Shukur berjenaka tapi Nafisah sambut dengan muka cemberut.

"Jangan sibuk boleh tak? Pergilah buat kerja sana. Berani kau curi tulang, aku report dekat ayah. Biar ayah pecat kau," tukasnya geram.

"Nana!" tegur Hamdan yang muncul dengan Nailufar. "Shukur dah buat semua kerja sampai ayah dan Kak Lofa terasa macam mandur melawat kawasan. Jangan tuduh orang curi tulang."

Nafisah kemam mulut. Malu menyimbah serata muka. Makin bersalah bila tiga pasang mata merenungnya serentak. Nailufar siap bercekak pinggang disebabkan sikapnya.

"Tak apa, pak cik. Sesekali dapat amaran, saya tak terfikir nak curi tulang nanti." Shukur membalas santai.

"Abaikan cakap Nana, Shukur," tutur Hamdan kepada Shukur sebelum menoleh ke arah anak daranya. "Hah, kenapa tadi Nana terjerit-jerit macam isteri Tarzan?"

"Ayah, Nana bukan isteri sesiapa!" bentak Nafisah bila ayahnya juga menggunakan lawak Shukur yang tak lawak baginya.

"Yalah, kamu panggil Lofa macamlah luas kebun ni sepuluh hektar. Berdengung telinga ayah dengan kakak kamu."

Nafisah teringat semula tujuan asal dia berlari ke kebun. Pantas dia menekup mulut dengan mata terjojol.

"Kak Lofa, Abang Amru..." Tangan kirinya digenggam sambil ibu jari dan jari kelengkeng dikeluarkan. Kemudian Nafisah rapatkan tangan ke cuping telinga yang dilitupi tudung.

Terkedu. Nailufar pegun.

'Sungguh?' soalnya tak percaya dan anggukan Nafisah hampir menyesakkan dadanya. Perasaan gembira dan hiba mengocak jiwanya serentak.

"Lofa pergi balik sekarang dengan Nana," arah Hamdan sambil keluarkan kunci motosikal dari kocek seluar.

'Bila Abang Amru call?' Nailufar bertanya sebelum menghidupkan enjin motosikal.

"Sebenarnya Nana yang telefon. Nana sengaja mencuba nasib. Tak sangka Abang Amru jawab kali ni."

Lima minit kemudian, mereka sudah berada di pekarangan rumah. Nailufar bergegas menaiki anak tangga diikuti Nafisah dari belakang. Dia melihat Haziq sedang tergelak-gelak di corong telefon. Hanif pula sedang berusaha merebut gagang telefon daripada Haziq.

"Abang, Kak Lofa dah sampai rumah." Nailufar terdengar Haziq memaklumkan kedatangannya kepada Amru melalui talian telefon.

"Tengok tu, Kak Lofa dah sampai! Aku tak ada peluang nak bercakap dengan Abang Amru," rungut Hanif separa bengang.

"Hanif, biar Kak Lofa berbual dulu dengan Abang Amru," tegur Nafisah dan gagang telefon beralih ke tangan Nailufar.

Nailufar pejamkan mata sedetik. Menenangkan perasaannya. Hanya Tuhan yang mengetahui betapa berdebar dirinya saat ini. Sungguh tak keruan setelah seminggu lebih menanti panggilan seorang suami. Nafas dihela ketika merapatkan gagang telefon ke telinga.

Makmum Yang Paling Aku CintaWhere stories live. Discover now