Bahagia! Nailufar belum pernah menghadapi kebahagiaan yang berterusan. Amru sering dahulukan kepentingannya. Setiap destinasi yang mereka tuju, Amru akan bertanya perasaannya terlebih dulu. Bila dia angguk dan senyum, jelas kelegaan bertamu di wajah suaminya.
Manakala Nailufar bimbang jika tingkahnya mengecewakan Amru. Reaksi yang mampu dilahirkan sekadar angguk dan senyum. Dia tak mampu nyatakan kegembiraan dan keterujaannya melalui bicara. Hati Nailufar berdoa agar Amru sentiasa bersabar menangani dirinya yang sepi.
Selepas solat zuhur dan makan tengah hari di hotel, tempat pertama yang mereka tuju ialah Taman Rama-Rama. Teruja rasa hatinya saat melihat ribuan rama-rama dengan pelbagai spesies. Lebih teruja bila Amru tanpa jemu menggenggam kukuh tangannya. Seperti risau dirinya hilang di antara pengunjung-pengunjung yang lain.
"Cuba Lofa sentuh yang ini."
Matanya melekat di telapak tangan suaminya. Seekor rama-rama bertapak di situ. Jarinya menyentuh lembut sayap rama-rama. Cantik warna-warna yang Allah ciptakan untuk spesies itu. Kata ayahnya, bila melihat sesuatu yang mengagumkan maka ucapkanlah Subhanallah...
"Cantik, kan?"
Kepalanya angguk lalu tersenyum dekat Amru.
"Rama-rama ni macam Lofa. Cantik luar dan dalam. Bezanya, sentuhan rama-rama tak membawa sebarang makna. Manakala sentuhan Lofa sentiasa mendamaikan jiwa."
Sudahnya Nailufar tersipu-sipu. Suaminya bijak mencuit hatinya dengan madah begitu. Terasa ingin menekup muka yang panas dan merah. Alih-alih dia melontarkan pandangan ke arah lain.
"Jom, ambil gambar untuk anak cucu cicit kita tengok."
Nailufar kemam bibir. Segan dengan jenaka sang suami. Malah dia bertambah malu bila Amru terlalu banyak merakam imejnya di dalam telefon pintar. Nailufar hampir mati kutu hendak posing di depan kamera. Balik-balik dia berdiri macam mannequin. Langsung tak berkutik.
Setelah itu, mereka menuju ke Komtar. Menara tertinggi di Pulau Pinang dan terletak di tengah bandar Georgetown. Suasana sekitar agak ramai orang walaupun hari Isnin. Nailufar tiba-tiba teringat bahawa cuti sekolah sedang berlangsung. Tentu ramai ibu bapa mengambil kesempatan membawa anak-anak bercuti.
"Lofa pernah sampai sini?" soal suaminya lalu dia lekas menggeleng. Kemudian telunjuknya menuju ke dada Amru.
"Abang selalu datang sini," jawab Amru bila terasa Nailufar melontarkan semula soalan yang dia tanya tadi.
Nailufar diam tanpa reaksi. Dia terfikirkan sesuatu. Persoalan-persoalan yang mengundang rasa gundah di dalam jiwa. Adakah Amru datang seorang diri ke Penang atau suaminya ditemani seseorang? Pernahkah Amru membawa mana-mana perempuan sebelumnya ke sini? Dan mengapa dia berasa kurang enak? Cemburukah dia?
"Walaupun selalu sampai sini tapi semuanya urusan kerja. Abang tak pernah berjalan-jalan macam abang buat dengan Lofa sekarang. So practically, ini kali pertama abang sampai Penang."
Lapang dadanya menanggapi luahan Amru. Senyuman berputik lega. Kejujuran Amru telah memberi jawapan secara tidak langsung. Menghapuskan resah di dalam jiwa.
Kemudian mereka bergerak ke 1st Avenue yang berdekatan bangunan Komtar. Nailufar termangu saat melangkah masuk. Pertama kali menjejaki pusat beli-belah yang besar dan bertingkat-tingkat. Nailufar terpinga-pinga bila ditarik masuk ke sebuah kedai pakaian. Amru mula mencapai beberapa kemeja sifon lengan panjang, blaus dan kaftan. Dia tergamam bila kuantitinya agak banyak. Penjual wanita yang menghampiri turut tercengang.
YOU ARE READING
Makmum Yang Paling Aku Cinta
RomanceDalam Tahajud Nailufar merintih hiba. Sesungguhnya dia keliru menghadapi lamaran Dato' Syed Qassim. Seorang lelaki yang telah beristeri lebih dari seorang. Malah lelaki berumur itu sudi melunaskan hutang keluarganya dengan syarat dia menerima pinang...