Masa bersama begitu singkat. Baru semalam mereka menaiki kereta kabel sambil bersiar-siar di Bukit Bendera. Dan hari ini, suaminya akan bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Meninggalkan dia sementara di rumah ayahnya.
Usai mandi dan solat subuh, Nailufar bergegas ke dapur. Mahu menyiapkan sarapan sebelum Amru berangkat. Dia menggoreng bahan-bahan yang telah disediakan sebelum azan subuh tadi. Sementara itu, Amru dan ayahnya telah pergi ke surau dan akan pulang pada bila-bila masa.
"Kak Lofa nak Nana tolong apa-apa?"
Nailufar menoleh ke belakang. Nafisah sedang berdiri di tangga dapur sambil menggenyeh-genyeh mata. Nailufar senyum sebelum menyampaikan kata dalam gerak isyarat. 'Nana dah solat?'
"Belum."
Tangan mengarah adiknya itu ke bilik air kemudian bergerak mengangkat takbir. Menyuruh Nafisah ambil wuduk dan kerjakan solat dulu. Adiknya lantas menapak ke bilik air yang berada di sebelah kiri. Manakala ruang dapur terletak di sebelah kanan. Sementara menunggu rencah sebati dengan ikan bilis, dia sempat menjerang air di atas dapur. Kemudian dimasukkan semangkuk nasi ke dalam kuali pula.
Siap menggoreng nasi, Nailufar sambung kerja membancuh air. Dia tersentak. Terhenti gerakan tangan yang sedang mengacau air teh di dalam teko. Sesiapa pun pasti terkejut bila tiba-tiba dipeluk. Tangan sasa itu melingkari pinggangnya. Posisi kepalanya berada betul-betul selari di bawah dagu suaminya. Deruan nafas Amru menyapa telinga. Terasa seperti suaminya sedang mengeluh berat.
"Lofa buat apa lama-lama dekat dapur? Abang dah kesuntukan masa," luah Amru seolah-olah resah. Dia menarik nafas panjang. Menghidu haruman dari celah rambut isterinya yang masih lembap. Tak mungkin dia lupakan bau yang semakin sebati dengan derianya itu.
Tangan suaminya dileraikan. Nailufar putarkan tubuh bagi menghadap Amru. Dia menghantar isyarat makan, mengajak Amru bersarapan terlebih dulu.
Amru sebaliknya menggeleng.
"Dah tak sempat, sweetheart. Abang cuma nak peluk Lofa sekejap sebelum pergi." Seraya, dia meraih isterinya ke dalam rangkulan erat.
Nailufar hampir menangis. Birai matanya basah. Muka dibenamkan ke dada itu dan tangan membalas pelukan suaminya.
"I'm going to miss you, sweetheart," lafaz suaminya dan Nailufar angguk perlahan. Dia ingin menyatakan perkara yang sama tapi mana mungkin Amru memahami bahasanya.
Setelah pelukan terlerai, Nailufar pantas menarik tangan suaminya menuju ke meja makan. Kerusi ditarik lalu matanya mengisyaratkan supaya Amru duduk.
"Abang dah tak sempat nak makan, Lofa."
Nailufar lontarkan renungan sayu. Tangan mengunjuk perbuatan minum.
"Abang minum aje, okey?"
Kepala lekas mengangguk. Kaki segera melencong ke kabinet dapur lalu mencapai sebiji cawan. Teko air yang dibancuh tadi dibawa ke meja makan sekali dengan cawan. Sedang Amru menghirup minuman, Nailufar bergerak semula ke kabinet mencari sebuah bekas.
Amru kerling jam tangan lalu bangkit dari meja makan.
"Sweetheart, I should get going now. Abang tunggu Lofa dekat depan, okey?"
Nailufar angguk sambil tangan sibuk pindahkan nasi goreng dari kuali ke dalam bekas makanan. Kemudian dia naik ke bilik, menyarung tudung sebelum menapak laju ke bahagian depan. Halaman rumah dijejaki. Ayah dan adik-adiknya turut berada situ. Nailufar mendekati suaminya. Menyerahkan bekas makanan di tangan Amru.
"Thank you, sweetheart. Sampai KL nanti, abang habiskan bekal Lofa," tutur Amru seolah-olah berjanji.
Isterinya itu senyum seraya angguk. Banyak kata-kata yang tersemat di dadanya tetapi tidak terluah di bibir. Nailufar menggamit Nafisah yang berdiri di tepi tangga rumah supaya mendekati mereka.

YOU ARE READING
Makmum Yang Paling Aku Cinta
RomanceDalam Tahajud Nailufar merintih hiba. Sesungguhnya dia keliru menghadapi lamaran Dato' Syed Qassim. Seorang lelaki yang telah beristeri lebih dari seorang. Malah lelaki berumur itu sudi melunaskan hutang keluarganya dengan syarat dia menerima pinang...