"Tak guna!" getusnya baran. Tubuh dihempas ke sofa tanda protes.
"Abang, kenapa marah-marah ni?" Che Kiah menerpa ke ruang tamu. Lekas menempatkan punggung di sebelah suaminya.
"Habis jahanam rancangan aku!" bentak Haji Sufian. Kedua-dua belah tangannya mengepal penumbuk.
"Rancangan apa, bang? Kenapa abang naik angin tak tentu fasal?" Lembut tangan Che Kiah mengusap bahu suaminya.
"Hamdan dah bagi keputusan soal lamaran Dato' Syed."
Bulat mata Che Kiah. "Apa keputusannya?" soalnya agak teruja. "Dia setuju?"
Berkerut dahi Haji Sufian. Matanya menjegil. Geram bila isterinya tidak mampu menilai sendiri jawapan daripada tingkah lakunya. "Kiah ada nampak abang tengah gembira sekarang?"
Mati keterujaan Che Kiah.
"Hamdan tak setuju? Tapi kenapa?"
"Dia terima lamaran orang lain."
"Siapa pula yang hendakkan Nailufar yang bisu tu?" Che Kiah tak puas hati. Bengang tiba-tiba.
"Aku tak sangka Amru boleh pinang Lofa." Hidungnya mengeluarkan bunyi dengusan. Giginya mengetap demi menghadapi gelombang amarah.
"Amru?" Che Kiah terperanjat besar. "Abang jangan cakap budak Amru yang kita suruh Sara pikat tu?"
"Amru itulah aku maksudkan. Dia melamar Lofa dua minggu lepas. Jumaat lepas, diaorang dah bertunang secara tertutup. Paling aku tak sangka, hujung minggu ni diaorang terus nikah. Hamdan baru nak beritahu aku lepas semuanya hampir siap. Tak guna betul!"
Che Kiah terkulat-kulat.
"Habislah kita, bang! Musnah cita-cita Kiah nak beli barang kemas baru. Rumah ni pun tak dapatlah Kiah nak besarkan."
"Kau ingat aku tak terkilan, Kiah? Aku dah booking kereta Honda City dekat pekan tu. Siap cakap nak bayar cash lagi. Sekarang dah jadi lain. Malulah aku terpaksa cancel booking."
Che Kiah mencekak pinggang.
"Hamdan sesuka hati aje tolak lamaran Dato' Syed, dia dah bayar semua hutang abang?"
"Dah. Hamdan bayar jumlah penuh enam puluh ribu. Sepuluh ribu yang pernah dia bayar sebelum ni dia halalkan. Aku pergi jumpa Hamdan fasal nak risaukan dia dengan hutang dulu. Alih-alih aku yang terkejut dapat berita yang tak disangka. Duit tu aku rasa Hamdan dapat daripada Amru."
"Padanlah Hamdan pilih Amru. Budak tu muda tapi dah banyak duit. Rupa pun ada. Bukan calang-calang lelaki. Mana-mana perempuan mesti terpikat. Cuma tak sangka, Amru tu buta! Dia boleh dapat perempuan lebih baik daripada Nailufar. Lagi-lagi dekat KL tu. Apalah yang istimewa sangat anak Hamdan tu? Yang berebut Nailufar tu pula, dua-dua lelaki yang berduit. Rugi betul Sara tak dapat pikat Amru dulu!"
"Sekarang ni, kita dah sah jadi pihak yang rugi. Mana-mana pun tak dapat."
"Abang tahu kenapa Amru tiba-tiba pinang Lofa?" soal Che Kiah.
Haji Sufian mengeluh sebelum membuka mulut.
"Kata Hamdan, Amru nak jaga nama baik Lofa. Semuanya berkaitan insiden Amru selamatkan Lofa daripada Nabil. Amru risau kejadian tu boleh disalah tafsir penduduk kampung, sebab itu dia melamar Lofa. Macam awak kata, entah-entah Amru dan Lofa yang bermukah tapi Nabil yang sengaja dipersalahkan. Hamdan terima niat baik Amru demi menjaga maruah Lofa dan keluarganya."
Gulp! Cerita ringkas suaminya seakan-akan menjerut lehernya. Terasa bersalah membuat tuduhan rambang. Ekoran itu, Hamdan menerima lamaran Amru yang konon ingin menjaga maruah Siti Nailufar.

YOU ARE READING
Makmum Yang Paling Aku Cinta
RomanceDalam Tahajud Nailufar merintih hiba. Sesungguhnya dia keliru menghadapi lamaran Dato' Syed Qassim. Seorang lelaki yang telah beristeri lebih dari seorang. Malah lelaki berumur itu sudi melunaskan hutang keluarganya dengan syarat dia menerima pinang...