Amru resah di perbaringan. Terasa diri sangat tak berupaya dalam keadaan sekarang. Isterinya sedang berendam air mata gara-garanya. Inilah padah bila tak berlaku jujur dari mula. Akhirnya hati Nailufar yang disakiti.
"Abang, Kak Lofa tak nak buka pintu bilik. Nana tak dapat nak tolong."
"Nana please... tolong pujuk kakak, jangan marah dengan abang."
"Entahlah, Nana tak dapat janji. Kak Lofa tak pandai marah orang. Tapi bila Kak Lofa kecewa, susah nak pujuk. Abang call lain kalilah. Mana tahu hati Kak Lofa dah sejuk."
Lepas talian mati, dia termangu. Dari intonasi adik iparnya, Amru tahu Nafisah juga kecewa setelah dia membuat Nailufar berjauh hati. Amru ketap gigi dek jiwa yang galau. Buntu dengan keputusannya. Sebulan? Bagaimana dia boleh terfikir untuk berpisah sementara waktu?
Amru sendiri tak pasti mampukah dia bertahan tanpa Nailufar sebulan lamanya.
Dia gagahkan diri bangkit. Dengan leher dipasung neck brace, terasa sukar untuk dirinya bergerak. Tangan pula bercucuk wayar putih jernih yang bercantum dengan bag water drip yang tergantung pada sebatang besi beroda.
Amru merengus. Bengang dengan situasi yang tidak memihak kepadanya.
Pintu terkuak. Muncul Datin Amna. Menjojol mata wanita itu.
"Amru, nak pergi mana ni?" Pantas dia menerpa ke katil. "Kan doktor dah cakap, jangan banyak gerak. Kenapa degil sangat?" Datin Amna menegur.
Amru tidak terus menjawab. Matanya mengesan kehadiran seseorang di belakang mamanya. Yang pasti bukan adik-adiknya. Seorang gadis yang cantik. Namun dia tiada hati hendak bertanya. "Amru nak jalan, mama. Lemas baring kat atas katil."
"Dah, jangan degil sangat. Awak tu sakit. Orang duduk hospital kena dengar cakap doktor. Bukan buat suka hati. Betul tak, Kirana?"
"Yeah, you should really listen to your mom and doctor," sokong gadis yang baru muncul.
Amru terpinga-pinga. Dia seperti pernah mendengar suara itu. Cara gadis itu menjawab seolah-olah mengenalinya. Cuma Amru benar-benar tidak mengecam gadis itu.
"Siapa yang mama bawa ke sini?"
Mamanya jegilkan mata. "Kan mama dah sebut tadi namanya Kirana? Tak mungkin Amru tak kenal? Tengku Kirana, anak Tengku Karim dan Tengku Kursiah. Kawan satu sekolah kamu dulu."
Tercengang Amru. Bertambah musykil bila memorinya tak sepadan dengan manusia yang sedang berdiri di depannya. Tak mungkin dia tak mengenali gadis cantik di sekolahnya dulu. Walaupun tak buaya seperti daddynya, tapi dia tetap lelaki yang dilahirkan bernafsu. Yang cantik pasti menjadi perhatian. "Kirana?"
"Yang selalu bagi kad dan coklat waktu birthday you dari form one sampai SPM."
"Wah, nampaknya Kirana suka sangat dengan Amru!" celah Datin Amna, mengusik.
Kirana angguk lalu senyum meleret.
"Of course, auntie. Amru crush Kirana dari zaman sekolah. Dia ni hot stuff. Sangat menjadi perhatian students perempuan." Kirana menjawab berani tanpa berdalih. Langsung tak malu menyatakan rasa.
Sebaliknya Amru melongo. Mindanya telah mencapai jawapan sebenar. Dia terkejut bukan kerana telah mengingati Kirana yang sukakan dia sewaktu zaman sekolah. Tapi kerana Kirana dulu dan sekarang jauh bezanya dari langit dan bumi.
Dulu berkulit gelap tapi sekarang putih melepak. Dulu muka berjerawat tapi sekarang mulus. Dulu gemuk, sekarang kurus dan seksi. Dulu bentuk muka bulat tapi sekarang bujur sirih. Matanya sekarang bulat, tidak seperti dulu bermata sepet. Hidung yang kembang sekarang mancung. Paling ketara, bibirnya yang nipis dulu, bak Angelina Jolie sekarang.

YOU ARE READING
Makmum Yang Paling Aku Cinta
RomanceDalam Tahajud Nailufar merintih hiba. Sesungguhnya dia keliru menghadapi lamaran Dato' Syed Qassim. Seorang lelaki yang telah beristeri lebih dari seorang. Malah lelaki berumur itu sudi melunaskan hutang keluarganya dengan syarat dia menerima pinang...