Menjelang keesokan hari, Amru menyarung jaket hitam dan seluar track suit putih. Memulakan paginya dengan aktiviti jogging sekitar kampung. Sambil memakai sunglasses dan headphone, dia memulakan langkah tanpa ditemani oleh Haji Sufian.
Permandangan kampung yang bersawah bukan kali pertama baginya. Melalui projek dan tender yang diperolehi, dia banyak meredah kampung dan kawasan pendalaman. Amru pernah terfikir untuk memiliki kehidupan nyaman di kampung. Jauh daripada kesibukan kota raya. Ada kalanya dia letih mengejar sesuatu yang kurang pasti. Dia buntu menentukan matlamat sebenar yang memberi kepuasan maksimum. Segala-galanya cukup tapi hatinya masih wujud ruang kosong. Bukan dia tak berusaha mencari jawapan tapi hasilnya selalu mengecewakan. Oleh itu, Amru lebih gigih bekerja. Menenggelamkan diri dalam kesibukan yang mampu menyekat fikirannya daripada berfikir perkara yang tak pasti.
Tersentak. Lariannya tergencat bila sebuah motosikal melintas depannya. Hissyh! hatinya merengus. Kurang senang dengan pertemuan yang sering berlaku sejak kebelakangan ini.
" Abang Amru...! " namanya dilaung kuat dan mujur headphone mampu melindungi cuping telinganya. Ikutkan hati Amru ingin terus berlari tanpa pedulikan gadis yang sedang menghampirinya. Bibir menayang secebis senyum. Headphone di sangkut belakang leher. Spek hitam yang dipakai masih melindungi mata.
" Untungnya Sara dapat jumpa abang! Tadi Sara cari abang dekat homestay tapi abang tak ada. Sara kecewa sangat. Tapi sekarang Sara dah tak kecewa. Tak sangka jodoh kita kuat." Tingkah gadis itu, bereaksi manja dan mesra. Tapi Amru pula rimas dengan perhatian yang berlebihan.
" Kenapa Sara cari saya? "
" Semalaman Sara fikirkan abang sebab ayah cakap tangan abang terseliuh. Sara sangat risau. Tidur pun tak lena. Tangan mana yang terseliuh tu, abang? " mata Sara meliar di kedua-dua belah tangannya.
Amru diam sejenak. Dia agak terlupa tangan yang dipertaruhkan semalam. Tapi urutan Pak Cik Hamdan telah meninggalkan kesan sengal. Amru pantas mengunjuk tangan kirinya. " Tangan ni tapi dah sembuh."
Amru menarik tangannya dengan lembut bila Sara dengan berani memegang lengannya. Bimbang perbuatan itu diperhatikan penduduk kampung sehingga menular gosip liar. Sementelah dia berada di kampung bukan seperti bandar yang bebas laku dan kurang sensitiviti.
" Hari ni Sara ada buat sarapan special untuk abang. Kalau abang nak tahu hari ni Sara bangun awal pagi semata-mata nak buat sarapan yang paling best dalam hidup Sara. Khusus untuk abang."
Amru cipta senyum. Sekadar menghargai jasa baik Sara. " Thanks. Lain kali Sara tak payah susahkan diri bangun pagi. Abang boleh pergi sarapan dekat Warung Haji Sakor."
Maisarah bukanlah tak cantik bagi Amru. Gadis itu manis dan berkulit kuning langsat. Dia mengenali Sara sejak hari pertama tiba di kampung. Setiap kali waktu tengah hari dan petang, Sara akan muncul depan homestay dengan membawa makanan dalam mangkuk tingkat.
Selain itu, Haji Sufian selalu menjemputnya bertandang ke rumah untuk menjamu selera. Amru perasan anak-beranak itu berusaha mengambil hatinya. Layanan yang diberikan sangat istimewa. Cuma perhatian yang berlebihan menyebabkan Amru rimas. Terasa gerak-gerinya sentiasa dalam perhatian.
" Abang tak payahlah sarapan dekat warung. Makanan dekat warung tu mana sedap. Hari-hari benda yang sama. Sara pun dah muak. Apa kata Sara teman abang makan dekat homestay? Boleh Sara kenal abang lebih rapat." Usulnya dengan senyum lebar.
' No way! Itu menempah bala namanya! ' benak Amru meningkah. Dia semakin lemas dengan kehadiran Sara yang muncul bagai menembusi pintu Doraemon. Sekelip mata mampu hadir di depannya.

YOU ARE READING
Makmum Yang Paling Aku Cinta
RomanceDalam Tahajud Nailufar merintih hiba. Sesungguhnya dia keliru menghadapi lamaran Dato' Syed Qassim. Seorang lelaki yang telah beristeri lebih dari seorang. Malah lelaki berumur itu sudi melunaskan hutang keluarganya dengan syarat dia menerima pinang...