BAB 11

2.8K 21 0
                                    


Sah! Dia telah menjadi milik Amru. Tanggungjawab ayah telah berpindah ke bahu lelaki yang sedia menerima kekurangannya.

Nailufar terkedu menghadapi kesan sentuhan pertama. Saat cincin disarung, menggigil perasaan dalamannya. Lantaran itu, dia tersalah tingkah. Ketika Amru hulurkan tangan, Nailufar sebaliknya menyuakan dahi sambil mata tertutup. Seolah-olah tidak sabar menerima kucupan daripada seorang suami.

"Kak Lofa salam dulu," bisik Nafisah yang duduk di sisi.

Mata mencelik buntang. Saat itu wajah Amru betul-betul di depannya. Panas mukanya dengan rona kemerahan. Malu dengan tingkah yang tidak tertib. Dia tertunduk seraya menyambut huluran Amru. Bibirnya jatuh di atas tangan tegap itu.

Jiwa gadisnya bergetar bila Amru mencium jari manis yang tersarung cincin nikah. Nafas Nailufar jadi sesak saat bibir suami berlabuh di dahi. Hatinya seolah-olah diselimutkan rasa hangat dan syahdu.

"Akad tadi yang pertama dan terakhir selama abang hidup."

Gulp! Nailufar terkedu. Bisikan itu seolah-olah janji daripada Amru. Bahawa tiada yang kedua selepas dirinya. Genggaman suami dibalas erat dan padu. Tanda dia menerima kata-kata itu. Lantas senyuman bertakhta di bibirnya.

'Terima kasih... abang... ' Hatinya menyahut.

LENANYA diganggu seseorang. Amru perasan kakinya disentuh. Lembut. Mindanya pantas teringat kedudukannya sekarang tapi mata masih enggan mencelik. Sengaja menunggu tindakan seterusnya.

Deria baunya mampu menghidu haruman segar. Wangi. Amru yakin Nailufar sedang mendekatinya. Demi kepastian, dia mengintai dari celah kelopak mata yang tertutup. Isterinya nampak teragak-agak untuk menyentuh lengannya. Serba salah saja tingkah gadis itu. Mungkin malu. Apatah lagi dia hanya tidur dengan berkain pelekat selepas mandi.

Semalam akad nikah dan hari ini berlangsung kenduri. Majlisnya ringkas dan kecil saja. Namun aktiviti bergotong-royong selepas majlis agak lelah walaupun dibantu oleh beberapa orang penduduk kampung. Amru tak sangka majlis tersebut menggunakan seratus peratus khidmat orang kampung. Bermula daripada proses memasak, membuat air, menghidang juadah sehinggalah mencuci periuk belanga. Banyak kali ayah mentuanya suruh naik berehat tapi malu membataskan Amru. Segan bila yang lain bersungguh membantu.

"Sebenarnya ayah nak tempah katering. Tapi rasa tak seronok abaikan kebiasaan kat dalam kampung. Selalu bila dengar ada kenduri, ramai yang bersemangat nak datang tolong. Lagi-lagi keluarga yang baru pertama kali dapat menantu."

Itu kata-kata ayah mentuanya dan Amru hanya angguk. Usai semuanya, dia masuk mandi dan terlelap setelah itu. Kini azan maghrib sedang berkumandang sayup-sayup. Dan Nailufar masih tercegat di sebelah katil. Masih teragak-agak untuk menyentuhnya. Namun Amru sabar menanti.

Akhirnya dia menerima sentuhan halus dari telapak tangan yang mulus. Kulit lengannya digosok lembut oleh Nailufar. Amru mula hanyut dengan belaian indah itu. Rentak pernafasan dikawal sebaik mungkin. Bimbang nalurinya sebagai lelaki dan peranannya sebagai suami mendahului segalanya. Perlahan-lahan kelopak matanya terangkat.

Serta-merta Nailufar hentikan usapan lalu menarik tangannya jauh daripada Amru. Sungguh dia tak punya sebarang pengalaman. Ini kali pertama mereka duduk berdua di dalam satu ruangan. Betapa Nailufar bingung hendak berinteraksi dengan suaminya. Hanya sentuhan cara terbaik yang mampu difikirkan.

Amru dapat lihat jelas pipi isterinya berona merah. Mata lelakinya merayap lebih teliti. Melihat setiap lekuk ciptaan Tuhan di wajah Nailufar. Mata isterinya berbentuk almond, kening hitam beralun, hidung kecil serta mancung. Bila mata mula mendarat pada bibir sang isteri, halkumnya bergerak turun naik. Lama dia merenung dek sukar mencari ayat untuk menerangkan bentuknya. Bibir penuh dan mungil. Tak nipis dan tak tebal. Tanpa secalit gincu, bibir itu berona merah semula jadi. Semuanya indah di matanya!

Makmum Yang Paling Aku CintaWhere stories live. Discover now