Terkesima.
'Oh my God. Dia tak boleh bercakap? Siti Nailufar B.I.S.U!' Tak berkutik tubuh Amru lantaran terkejut. Seakan-akan jantungnya hampir luruh ke perut. Seolah-olah mimpi ngeri melanda diri.
"Kau... kau bisu?" Hatinya berdoa supaya sangkaannya tidak tepat sama sekali.
Hakikatnya dia benar. Gadis itu mengangguk. Amru meraup wajahnya. Tak menjangka dirinya telah dikejutkan dengan berita yang tak disangka-sangka. 'Daddy pilih perempuan bisu untuk dijadikan isteri? Mustahil daddy tak tahu siapa sebenarnya Nailufar! Apa yang daddy inginkan daripada seorang gadis bisu?' Benaknya sungguh tak percaya.
Nailufar berusaha berdiri. Perlahan dan pincang langkahnya ketika berjalan. Namun lengannya ditangkap oleh seseorang. Lelaki yang menjadi penyelamatnya kini berdepan dengannya. Menatapnya dengan renungan penuh erti.
"Aku hantar kau pergi hospital. Kemudian kita buat laporan polis."
Kepala Nailufar bergerak ke kiri dan ke kanan.
"Kenapa tak nak? Aku boleh jadi saksi Nabil cuba perkosa kau. Kalau kau biarkan Nabil bebas, dia akan ulang perbuatan yang sama."
Nailufar menggeleng lagi seraya menekup wajah dengan telapak tangan. Bahunya terhinggut-hinggut menangis.
Amru serba salah. Dia menarik kedua-dua belah tangan itu. "Kau malu dengan kejadian tadi? Kau risau orang akan bercakap bukan-bukan kalau jadi kes polis?" tekanya.
Nailufar perlahan angguk.
"Kenapa nak malu? Maruah kau dapat diselamatkan. Aku boleh jadi saksi."
Gadis itu bungkam. Tapi air matanya masih lebat menuruni lekuk pipi.
Melihat kepiluan Nailufar, hati Amru terhenyak sakit. Pedihnya merusuh jiwa. Terasa ingin disauk tubuh itu seraya memberi pelukan ketenangan. Amru ingin berbisik di telinga gadis itu bahawa segalanya telah selamat dan dia akan selalu melindunginya.
Kedu. Amru terkejut dengan bisikan hatinya. Sungguh dia tak faham mengapa emosinya mampu terjejas saat ini. Pantas dia membuang segala pemikiran yang tak masuk akal. Menidakkan rasa aneh yang bertamu di dalam jiwa lelakinya.
"Aku hantar kau balik rumah. Biar ayah kau yang putuskan tindakan selepas ni."
Nailufar tak memberi sebarang respons. Dia menarik tangannya yang dipegang oleh jejaka asing itu. Jemari mengesat wajah yang dicemari air mata. Kakinya bergerak perlahan lalu melencong ke sebelah kanan. Nailufar tunduk mengambil Hemo-Hemo dari tanah.
Amru melihat Nailufar mendekatkan Hemo-Hemo ke wajah. Kucing itu menggesel-gesel pipi Nailufar sambil mengiau halus. Seperti lega pemiliknya telah selamat. Amru berjalan sepuluh langkah untuk mengambil tudung yang tersadai di tanah. Kemudian dia menghampiri Nailufar semula.
Tercengang dan pegun. Nailufar tersentuh dengan tindakan Amru. Tudung yang direntap oleh Nabil tadi telah kembali kepadanya. Dan Amru yang sudi memakaikan tudung itu tanpa teragak-agak.
"Aku Amru. Orang luar yang baru masuk kampung ni. Selama aku dekat sini, aku cuma kenal keluarga Haji Sufian. Sebab itu aku kenal Nabil. Semalam petang aku jumpa ayah kau untuk mengurut. Adik-adik kau ada cakap yang kau juara tangkap ikan. Kita balik rumah dulu, okey?"
Kejujuran yang terbias di mata lelaki itu membuatkan Nailufar akur. Perlahan kepalanya mengangguk.
LAMA Hamdan terdiam di ruang tamu. Dia mengancing gigi dek menahan marah. Sudah lama dia perhatikan tingkah Nabil yang selalu mengintai rumahnya di hujung jalan. Kesalnya dia kerana membiarkan Nailufar ke kebun seorang diri.
"Maafkan ayah, Lofa. Kalau ayah tak biarkan kamu pergi kebun seorang diri, tentu perkara ini tak terjadi."
Nailufar menggeleng. Air matanya luruh lagi. Kedua-dua belah tangannya bergerak. Cuba berkata sesuatu kepada ayahnya. Manakala Amru melihat tanpa mampu mentafsirkan bahasa isyarat tersebut.
Hamdan terharu. Anaknya tak menyalahkan dirinya.
'Ayah jangan salahkan diri. Kita tak sangka perkara ini akan berlaku. Lagipun ayah tak sihat dan ayah perlukan rehat. Lofa dah selamat pun. Ayah tolong ucapkan terima kasih dekat dia bagi pihak Lofa.' Itulah kata Nailufar melalui bahasanya.
"Amru." Hamdan memanggil anak muda yang kebingungan melihat 'bicara' Nailufar.
"Ya saya, pak cik." Amru menala muka kepada Hamdan.
"Nailufar ucap terima kasih dekat kamu sebab selamatkan dia."
Amru toleh ke arah gadis yang duduk di kerusi rotan tunggal. Pandangan mereka bertembung. Sekali lagi hati Amru pedih melihat mata yang berkaca-kaca itu. Sekilas kepalanya mengangguk. "Sama-sama."
"Pak cik pun sama, Amru. Terima kasih banyak-banyak sebab sudi selamatkan Lofa. Pak cik sangat terhutang budi dengan kamu."
Amru angguk lagi. "Sama-sama, pak cik. Semuanya sebab Hemo-Hemo yang dorong saya ke kebun."
Hemo-Hemo mengiau halus seolah-olah mengiakan. Nailufar mengelus lembut Hemo-Hemo yang berbaring di ribanya.
"Syukurlah tak jadi apa-apa. Alhamdulillah," ucap Hamdan separuh lega. Marahnya masih wujud tapi nilai kesabaran dipertaruhkan terlebih dahulu.
"Tapi saya harap sangat pak cik buat laporan polis supaya perkara ni tak terjadi lagi."
Hamdan terdiam sejenak. "Nabil tu anak Sufian. Pak cik banyak terhutang budi dan duit dengan Sufian."
Rahang Amru mengetat. Menahan diri daripada merengus. Dia tak bersetuju jika Pak Cik Hamdan mendiamkan isu ini. "Kalau pak cik tak ambil tindakan, esok lusa Nabil masih berani lakukan perkara yang sama. Dia tak mungkin rasa takut selagi tak ada sesiapa yang berani laporkan perbuatan dia. Isunya antara pak cik dengan Nabil. Bukan Haji Sufian. Lagipun terhutang budi dan duit tak boleh dibandingkan dengan maruah Nailufar. Niat dia yang cuba merogol perlu kita dakwa."
Hamdan nampak bungkam. Senyap.
"Apa kata pak cik buat laporan polis dulu? Tunjukkan yang pak cik tak mungkin berdiam diri dengan sesiapa yang cuba merosakkan Nailufar. Selagi Nabil tak mohon maaf, pak cik jangan tarik dakwaan ke atas dia. Tunggu sampai dia betul-betul insaf dan tak ulang lagi perbuatan tu."
Amru berusaha memujuk. Hatinya cukup bimbang seandainya Nabil dibiarkan terlepas. Firasatnya kuat mengatakan bahawa Nabil tak mungkin berpuas hati selagi hajatnya belum tercapai. Kejadian yang sama mampu berulang.
Akhirnya Hamdan bersuara. Matanya merenung anak gadisnya.
"Lofa nak ayah lapor dekat polis tentang perbuatan Nabil?"
"Lofa, awak kena berani. Perempuan tak boleh malu demi pertahankan maruah. Sekali awak tunjuk lemah, ramai yang akan menindas. Sepatutnya orang yang berdosa perlu dihukum sebagai pengajaran untuk mereka yang nak buat perkara yang sama." Amru mencelah agar Nailufar pertimbangkan sebarang keputusan.
Nailufar renung riak Amru yang begitu cakna terhadapnya. Dia sangat senang dengan perhatian pemuda itu. Malah hatinya terusik apabila Amru menyeru nama timangannya. Lembut dan serak. Lantas dia 'berkata' sesuatu kepada ayahnya.
'Lofa serahkan segala keputusan kepada ayah.'
Hamdan mengeluh halus.
"Baiklah, Amru. Kita buat laporan polis."
Amru sungguh lega. Udara yang menyesakkan dada dibuang sejauh mungkin. "Kalau macam tu, kita ke klinik dulu. Lepas dapatkan report pemeriksaan doktor, baru kita buat laporan polis. Lofa pula tak boleh mandi atau tukar baju lain."
Nailufar akur dalam anggukan.
YOU ARE READING
Makmum Yang Paling Aku Cinta
RomansaDalam Tahajud Nailufar merintih hiba. Sesungguhnya dia keliru menghadapi lamaran Dato' Syed Qassim. Seorang lelaki yang telah beristeri lebih dari seorang. Malah lelaki berumur itu sudi melunaskan hutang keluarganya dengan syarat dia menerima pinang...