BAB 20

2.4K 11 0
                                    


"Good to see you."

"Tak sesuai ayat kau tu sekarang. Aku dah macam mumia hidup."

Mustafa melambakkan tawa tanpa bersalah. Teringat celoteh isterinya malam kelmarin.

"Aku ingatkan tengkuk kau kena kunci, anak tekak kau sekali terkunci. Lega aku dengar suara kau macam orang sihat walaupun keadaan kau dah serupa hantu bungkus ikat tepi."

"Tak lawak, Mus."

"Okay, fine. Aku lupa orang sakit ni jiwanya sensitif. By the way, selepas bangkit tidur lebih seminggu lamanya apa mimpi yang kau dapat?" soalnya lalu duduk di kerusi sebelah katil.

Amru menyepi.

"Kenapa senyap? Kau ada sakit mana-mana bahagian?" Mustafa tampak cuak.

"Aku tak sangka lama betul aku koma. Lebih seminggu aku hilang tanpa berita. Tentu Nailufar risau. Kau ada maklumkan apa-apa dekat Lofa?"

"Tak ada. Aku ingat nak tunggu kau sedar dulu. Walaupun sebenarnya setiap hari Yuna desak aku supaya maklumkan dekat Lofa. Biasalah orang perempuan. Pantang tengok kaum mereka tertindas. Dan aku bersyukur sangat kau tak amnesia macam bini aku bayangkan. Baguslah kau tak lupa yang kau ada isteri."

Masakan dia lupa isterinya, Siti Nailufar. Setiap kali mengingati wajah mulus itu, hatinya hanya merasakan kedamaian. Tiba-tiba jiwanya dirundung sayu. Betapa Allah masih mengurniakan kesempatan untuk dia hidup. Memberinya peluang untuk menikmati kasih sayang Nailufar. Terlalu besar rahmat Allah itu ke atasnya. Cuma dia yang buta, bongkak dan riak dengan kejahilan diri.

"Handphone aku mana, Mus?"

"Handphone? Kau ingat barang-barang peribadi kau dapat diselamatkan lepas kereta kau total loss? Mujurlah ada orang sempat tarik kau keluar sebelum kereta tu meletup."

"Shit!" Amru menggerutu, kesal.

Tercengang-cengang Mustafa.

"Apa yang penting sangat dengan handphone dibandingkan dengan nyawa? Sepatutnya kau bersyukur masih bernafas. Tengok dari kereta kau yang hancur, confirm semua orang ingat pemandunya dah arwah. Tapi hidup mati semuanya atas izin Allah."

"Gambar isteri aku banyak dalam handphone tu, Mus. Dengan keadaan sekarang, rasanya hampir mustahil aku dapat tatap muka dia secepat mungkin," keluhnya, sayu.

"Kau telefonlah ke sana. Maklumkan keadaan kau sekarang," usul Mustafa.

"Masalahnya Mus, aku tak ingat nombor telefon rumah sana. Balik dari Penang, aku terus pasang telefon dekat rumah tu. Nombornya aku cuma save dalam handphone. Aku tak save dalam otak. Aku risaukan Lofa, Mus. Lebih seminggu aku tak sedar apa-apa. Entah macam mana keadaan dia sekarang."

"Relakslah, bro. Aku tahu kau risaukan Lofa dekat sana. Tapi aku pasti dia baik-baik aje. Buat masa sekarang, kau mesti pentingkan diri dulu. Fasal handphone tu, memang kita tak boleh buat apa-apa. Kalau setakat renew nombor dulu aku boleh tolong kau. Tapi itu pun kalau kau ada simpan salinan IC. Yalah, dah tentu wallet kau hangus terbakar waktu accident tu."

"Mesti Lofa tertunggu-tunggu panggilan aku sejak hari pertama. Aku dah janji nak call dia. Tentu dia fikir bukan-bukan bila aku tak tunaikan janji." Amru pejamkan mata. Membayangkan wajah sugul isterinya saat perpisahan. Pedih hatinya. 'Lofa, sayang... abang tak pernah lupa janji abang!'

"Kau accident, Amru. Koma pula tu. Bukan kau sengaja nak abaikan dia."

Amru terdiam. Cuba memikirkan alternatif lain untuk menghubungi keluarga mentuanya tapi segala contact number berada di dalam telefon bimbit yang terkorban dalam kemalangan lepas. Termasuklah nombor telefon Megat, penyiasat upahannya.

Makmum Yang Paling Aku CintaWhere stories live. Discover now