Dia tengadah menerima kunjungan mengejut. Terkebil-kebil melihat susuk tubuh yang baru sampai. "Apa mimpi kau muncul dekat sini?" Dengan nada terkejut, dia menyoal.
"Jemputlah aku duduk dulu."
"Kau masuk sini gaya terjah, ada hati nak suruh aku jemput duduk. Kenapa tak buat sesuka hati macam ini pejabat kau? Masuk dan terus duduk!"
Walaupun disindir, Amru selamba duduk. "Aku ada hajat."
Tersandar Mustafa dengan mata bulat. Pertama kali telinganya disapa ayat itu dari mulut Amru. Janggal dan aneh mukadimahnya!
"Hajat apa? Kedatangan kau tanpa isyarat buat sel otak aku kurang berhubung pagi ni."
"Aku nak kahwin!"
Makin melotot mata Mustafa.
"Serius? Aku tak setuju!"
Amru terjegil. "Kenapa?"
"Yalah, kau tiba-tiba datang bawa hajat besar. Anak perempuan aku baru dua tahun. Walaupun kau sanggup tunggu dua puluh tahun lagi, aku tak berminat nak ada menantu sama umur dengan aku!"
Tercengang Amru dan Mustafa tergelak-gelak.
"Aku tengah serius, Mus."
Mustafa serta-merta kulum mulut. Menahan tawa yang masih bersisa. Bukan dia ketawa sebab lawaknya tapi sebab muka Amru berubah sungguh bila dia membangkang.
"Fine, aku tahu kau serius. Aku bersyukur sangat kau nak kahwin. Tapi calon mana kau rembat? Baru dua minggu lepas kau cakap tak ada perempuan yang boleh buat kau settle down. Tiba-tiba hari ni tepat pukul sembilan pagi, kau kata kau nak kahwin. Apa yang jadi sebenarnya?"
"Tak jadi apa-apa. Kalau kau nak cakap aku kena tangkap basah, tolong sucikan otak kau. Aku tak keji nak bersekedudukan sebelum kahwin."
"Sejujurnya adalah sikit terlintas dalam kepala tapi aku tak sanggup nak tuduh. Aku yakin kau masih suci." Sekali lagi Mustafa terkekeh-kekeh gelak. Masih dalam mod bercanda.
"Shut up, Mus! Aku tak pernah seserius ini sepanjang hidup aku. Tolong bagi kerjasama. Aku dah tak tahu nak rujuk dekat siapa lagi."
"Relaks, aku boleh tolong kau. Sebelum tu, cuba tenangkan diri dulu. Janganlah tunjuk sangat kau desperate nak kahwin. Sepanjang kita berkawan, aku tak pernah tengok kau gelabah macam ni. Selalunya kau maintain cool selesaikan satu per satu problem. Sampai aku sendiri rasa apa-apa masalah yang muncul tak jadi masalah bagi kau. Apa dah berlaku sampai kau tak keruan? Cuba fahamkan aku."
Amru mengeluh. "Entahlah, Mus. Masalah ni aku sendiri yang cari."
Terkulat-kulat Mustafa. Kehairanan.
"Kau yang cari masalah?"
"Aku nak kahwin tapi aku tak nak mama dan daddy aku tahu."
Rahang Mustafa tergelincir ke bawah.
"Kau nak kahwin senyap-senyap?"
Kepalanya angguk sekali.
"Dalam masa terdekat, Nailufar mesti jadi isteri aku."
"Wait!" Mustafa angkat tangan. "Nailufar? Siapa perempuan ni yang tiba-tiba muncul? Dah kenapa kau nak kahwin rahsia? Apa motifnya?" Bertalu-talu soalannya kerana musykil.
"Nailufar cuma gadis kampung. Aku pasti mama tak setuju. Mama aku mana berkenan pilihan yang tak setaraf. Mama selalu ingatkan aku supaya pilih perempuan yang sama darjat," rumus Amru secara ringkas. Terlalu rumit untuk menerangkan situasi sebenar. Sudahnya dia sediakan jawapan klise.

YOU ARE READING
Makmum Yang Paling Aku Cinta
RomanceDalam Tahajud Nailufar merintih hiba. Sesungguhnya dia keliru menghadapi lamaran Dato' Syed Qassim. Seorang lelaki yang telah beristeri lebih dari seorang. Malah lelaki berumur itu sudi melunaskan hutang keluarganya dengan syarat dia menerima pinang...