Bab 1

42.5K 2K 150
                                    

"DELTA ONE, point 89. Delta Two, point 75. Now!" Arahan dihadam lumat. Berbekalkan hanya sepucuk pistol Sig Sauer P226 dan jaket kalis peluru, pasukan pengaman yang disebut pergi ke titik panas pengeboman terbaru di bumi bergolak Syria.

Bunyi bom dan tembakan bukanlah perkara yang asing. Sejak tiba di sini seminggu lepas, bunyi-bunyian itu sudah menjadi 'halwa telinga'. Mata Irfan terpandang sesuatu di hujung blok bangunan. Seorang lagi pengebom berani mati menekan alat kawalan yang berada di tangannya.

"Run!" Jerit Irfan sepatah tetapi cukup untuk memberi amaran kepada skuadron Delta Two.

Bom meletus pada tiga penjuru. Momentum kuat yang terhasih menyebabkan Irfan tercampak ke belakang menghentam kereta orang awam. Badan Irfan terasa berat bagai ada satu tan beban menghempap dadanya. Nafasnya mula sesak. Bau hanyir darah dengan jasad manusia tanpa roh bergelimpangan.

Toleh ke kiri kelihatan si ayah sedaya upaya melindungi keluarga kecilnya. Dipaksa ibu yang sudah penat berlari bangun dan mula melangkah lagi. Anak kembar yang belum mumayyiz didukung kiri dan kanan. Kedua-duanya senyap di dalam dakapan ayah. Ayah, pelindung terbaik. Mereka cuba mencari perlindungan. Ah! Di bumi yang sedang bergolak ini, kawasan perlindungan ibarat sarang labah-labah. Terlalu rapuh bila-bila masa sahaja boleh musnah. Diam-diam si ayah menangis mengenang nasib keluarganya. Anak-anaknya mencium wajah keruh ayah bagai cuba menyalurkan kekuatan.

Toleh ke kanan, lebih sadis. Anak lelaki dalam lingkungan usia sembilan tahun menggoncang tubuh ibunya yang sudah kejang sejuk. Darah dan debu yang membasahi bajunya tidak diendahkan. Langsung tidak diperduli jerit pekik anak kecil itu. Lengan ibunya ditarik berkali- kali.

"Umi... Umi... Qum! Qum!" Si kecil berambut perang itu memaksa ibunya bangun daripada lena. Mana mungkin ibunya yang sudah tidak bernyawa mampu menyahut seruan anaknya itu.

Hati Irfan bagai dirobek-robek. Pedih! Terbayang Furqan yang baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke 8 minggu lepas. Aqil dan Aqilah si kembar enam tahun yang sentiasa menceriakan harinya. Tiba-tiba terlintas wajah Hani buah hati pengarang jantungnya. Wanita tabah yang sanggup dimadukan dengan berjuta nyawa manusia. Rindu terlalu rindu akan insan-insan tercinta itu.

Bunyi dua das tembakan menyentakkan Irfan. Dia kembali ke dunia realiti. Terleka! Waktu bertugas emosi perlu dicampak jauh-jauh kerana nyawanya menjadi pertaruhan. Lalai sesaat, ibarat menempah maut dan kematian bukanlah sesuatu yang diinginkan pada detik ini.

Irfan mendekati budak lelaki yang sudah berhenti meraung tetapi masih teresak-esak di sebelah jasad ibunya.

Si kecil itu mengumpul kerikil kecil di tanah dan mencampakkannya dengan sepenuh hati ke arah Irfan. Berulang kali sambil menyuruh Irfan pergi daripada situ. Jasad ibunya digenggam erat dengan sebelah tangan. Tidak cukup batu, apa sahaja yang mampu dicapai dibaling ke arah Irfan. Langsung tidak ada riak ketakutan pada wajahnya. Mungkin dia tidak mampu menggenggam senjata untuk mempertahankan negara tanah tumpah darahnya tetapi cukup dia melindungi jasad ibunya.

Irfan biarkan sahaja sambil terus mendekati anak itu. Biarlah, apalah sangat kesakitan yang dirasai berbanding keperitan anak itu. Irfan menunjukkan Jalur Gemilang yang tertampal pada lengan kanannya sambil menghulurkan tangan mengajak anak itu ke kem perlindungan.

Anak itu berhenti membaling. Dia kenal bendera itu. Pernah diberitahu dan ditunjuk oleh ibunya. Walaupun ada persamaan dengan bendera Amerika Syarikat, namun bulan dan bintang yang berada pada warna biru membezakan antara dua negara itu.

"Malayzia... Malayzia" Irfan menyebut nama negara kebanggaannya dengan lajhah arab kepada budak itu.

"Umi..."Si anak melihat ibunya sayu.

TSK : PermataWhere stories live. Discover now