Furqan mengeluh. Kenapa sukar sangat untuk masuk ilmu yang diajar? Huruf-huruf terlalu mengelirukan. Kadang-kadang dia merasa bahawa huruf itu terbalik sendiri. Tulisan yang kurang jelas dan sebutan bunyi yang tidak dapat ditangkap oleh otak menyebabkan dia agak tertekan.
Pensil dilepaskan daripada genggaman. Furqan termenung melihat papan putih dengan garisan-garisan membentuk huruf. Kepalanya pening. Tidak sabar menanti waktu loceng berbunyi supaya dia boleh keluar daripada tempat ini.
"Siapa tak hantar kerja ni, tak boleh balik." Ayat neraka bagi Furqan. Entah kenapa Cikgu Wan Nadim yang baru masuk ke sekolah itu suka sangat menyekat kebebasannya? Haritu ditangguh waktu rehat, hari ini ditangguh waktu balik pula. Lepas ni tak payah balik, tidur sekolah terus. Belajar 24 jam!
Bina ayat berdasarkan gambar. Kertas yang terlekat di dalam buku Bahasa Melayu ditenung hingga tembus! Kosong bersih kertasnya.
Seorang demi seorang bangun meninggalkan kelas dengan muka riang-ria setelah loceng berbunyi sehingga akhirnya tinggal Furqan sendiri 10minit setelah loceng berbunyi.
Cikgu Wan duduk bersilang kaki di hadapan Furqan. Budak ini lagi. Budak yang mendapat kedudukan paling corot dalam kelas.Sudah tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan budak ini.
"Kenapa tak balik?" Tanya Cikgu Wan.
"Tak siap." Mata Furqan tepat menikam mata Cikgu Wan. Karisma jelas terpancar pada mata Furqan. Budak ini bukan biasa-biasa. Auranya sudah kuat sejak kecil lagi..
"Awak betul-betul dengar cakap saya? Ramai je kawan yang tak siap balik." Cikgu Wan memusingkan buku tulis Furqan. Tak boleh jadi ni. Kosong langsung.
Furqan diam membisu. Dibiar sahaja Cikgu Wan menyelak lembaran buku tulisnya yang comot dengan tulisan cacing kerawit.
"Furqan nak balik?" Umpan Cikgu Wan. Guru muda itu cuba menarik perhatian Furqan.
Si kecil 8 tahun itu mengangguk. Tentulah nak balik!
"Tuliskan untuk cikgu, abc sampai habis." Cikgu Wan memberikan buku Furqan kembali.
Satu huruf mengambil masa yang agak lama untuk ditulis. Nampak sahaja huruf z ditulis, Cikgu Wan mengambil buku Furqan. Dia sudah melakukan kerja yang baik berbanding waktu rehat hari itu. Cuma kali ini huruf 's' terbalik dan 'b' masih tertukar dengan 'd'.
"Nanti polis d-datang." Furqan memandang luar. Sudah agak lama dia 'dikurung' pasti akan dicari hingga ke dalam.
"Mama awak ada dekat luar tengah tunggu." Cikgu Wan rasa kelakar dengan ugutan Furqan. Ingat cikgu darjah 2 macam kamu ke?
Cikgu Wan mengambil modul transisi darjah 1 yang dicetak khas untuk Furqan. Modul itu agak tebal kerana diambil daripada sekolah lamanya. Dengan modul itu dia mengajar murid LINUS sekolah lamanya. Sekolah ini tidak begitu menekankan Program LINUS, mungkin kerana sekolah bandar. Kasihan murid seperti Furqan.
"Bagi surat ni dekat ibu atau ayah Furqan. Cikgu ada letak nombor telefon cikgu dekat situ, apa-apa hal boleh telefon." Cikgu Wan menghulurkan surat meminta kebenaran pulang lewat untuk Program LINUS yang baru sahaja berada di bawah tanggungjawabnya.
"Balik a-ada kelas dengan Cik Naila." Keluh Furqan. Takkan hendak ditambah-tambah lagi waktu berhadapan dengan huruf-huruf yang mengelirukan? Cukuplah denyutan otaknya selama berjam-jam.
"Cik Naila ajar apa?" Tanya Cikgu Wan.
"Sama cikgu ajar." Jawab Furqan. Lebih tepat lagi benda yang sama diajar oleh cikgu darjah satu atau mungkin pra sekolah.
"Dah tu, kenapa Furqan tak boleh menulis lagi?" Cikgu Wan bermonolog sendiri. Lebih keliru dengan situasi Furqan.
"Sebab Furqan tak pandai! Tak boleh baca tak boleh eja tak boleh kira!" Matanya penuh dengan kemarahan. Marah kepada diri sendiri yang terlalu bebal. Marah kerana tiada siapa faham dunianya.
YOU ARE READING
TSK : Permata
RomanceDaripada filem aksi romantik ala islamik walaupun ikhtilat ke laut, dunia Irfan dan Hani kini berubah menjadi drama bersiri kekeluargaan apabila hadirnya permata dalam hidup mereka. Ahmad Furqan Aqil Aqilah Mampukah si brutal muslimah Hani menjadi...