Pusat Perkembangan Awal Kanak-kanak yang berwarna ceria itu menyambut kehadiran mereka dengan baik, Furqan dibawa berjumpa dengan Dr. Cinta yang akan melihat pekembangan mental Furqan melalui lukisan ataupun lebih spesifik dipanggil Interactive Drawing Therapy (IDT).
“Furqan suka melukis?” Tanya Dr. Cinta.
Furqan hanya mengangguk.
“Kalau macam tu, lukiskan untuk doktor rumah. Bukan apartment tapi rumah yang satu-satu tu.”
Crayon, pensil warna, pen, marker dan pelbagai lagi alat tulis yang mempunyai warna. Pilihan Furqan hanya pensil dan pemadam. Tekun dia melukis.
“Tak payah cantik sangat pun tak apa.” Jujurnya Dr. Cinta terkejut dengan lukisan Furqan yang tidak melambangkan usianya.
Furqan melajukan tangannya kemudian diserahkan kepada Dr. Cinta. Lukisan itu diteliti kemudian diletak tepi.
“Lukiskan doktor gambar keluarga Furqan tengah buat aktiviti. Tak kisah la apa-apa.” Kertas lukisan baharu dihulur.
Pensil dan pemadam juga menjadi pilihan. Warna-warna lain tidak disentuh. Selesai sesi mereka, lukisan Furqan dibawa ke pejabatnya. Irfan dan Hani sudah menanti. Si kembar dijaga oleh Furqan. Bukannya susah, letak sahaja di dalam bilik mainan pandai-pandailah mereka bermain.
“Sebenarnya kalau tengok dekat cara dia melukis, Furqan tak melukis macam budak tujuh tahun. Perincian dalam lukisan dia sangat baik dan skematik. Biasanya, kanak-kanak seusia Furqan akan lukis rumah 2D tapi Furqan lukis 3D. Dia memang dilahirkan berbakat dalam lukisan.” Dr. Cinta memulakan dengan baik dahulu.
“Kami pun baru dapat tahu dia boleh melukis daripada cikgu LINUS dia. Kalau boleh saya nak doktor sahkan ujian dyslexia yang cikgu Furqan buat untuk dia.” Irfan menyerahkan fail ujian yang diberi oleh Cikgu Wan.
Fail itu diambil. Butiran keterangannya dibaca. Mild dyslexia. Patutlah...
“Ujian dyslexia ni kena buat beberapa kali sebenarnya. Bagus juga cikgu ni memerhati. Tapi masalah Furqan yang saya nak terangkan ni mungkin juga ada kaitannya.”
Lukisan rumah Furqan ditunjukkan. Ada dua buah rumah besar dan satu rumah kecil di sudut bawah kertas.
“Rumah ni menunjukkan tempat dimana keluarga tinggal. Biasanya, budak akan lukis sebuah rumah yang besar di tengah-tengah kertas menggunakan warna-warna yang diberi. Furqan gunakan pensil dan asyik memadam sebelum saya kata tak perlu sempurna sangat. Pemilihan pensil menunjukkan dia kurang keyakinan diri dan dia cuba untuk kelihatan sempurna sebab tu dia asyik padam walaupun salahnya kecil.”
Dr. Cinta berjeda sebentar.
“Kalau tengok dekat sini ada tiga rumah. Dua besar dan satu kecil. Bila saya tanya, Furqan kata, dua rumah besar itu satu rumah Aqil dan satu lagi rumah Aqilah. Rumah yang kecil itu pula rumahnya. Apa yang boleh saya tafsirkan, Furqan rasa bahawa perhatian dalam rumah lebih tertumpu kepada kembar. Hanya mereka berdua yang menghidupkan suasana rumah. Lukisan rumah kecil dekat bawah ni menunjukkan rasa tak cukup dan insecure. Langsung tak ada tingkap atau pintu dekat rumah ni tanda dia rasa terperangkap dalam dunia dia. Dia tak tahu macam mana nak ekspresikan jiwanya. Kalau tengok, awan-awan gelap banyak dilukis, gambar burung-burung terbang. Ni menunjukkan anxiety yang tinggi.”
Hani terbayang wajah Furqan. Dia anak yang tidak pernah membimbangkan Hani kerana dia sendiri pandai menguruskan diri. Tak sangka pula si anak sedang tersiksa mentalnya. Irfan mengusap bahu Hani yang sudah mula mengalirkan air mata.
Lukisan yang kedua pula Dr.Cinta keluarkan. Lukisan orang lidi supaya Furqan tidak terlalu memakan masa yang lama. Disuruh lukis gambar keluarga dan gambar yang dilukis oleh Furqan sangat menyentuh hati. Papa, mama Aqil dan Aqilah berada di bawah payung daun pisang yang dipegang oleh Furqan pada waktu hujan. Lukisan muka tanpa mata hidung dan mulut.
YOU ARE READING
TSK : Permata
RomanceDaripada filem aksi romantik ala islamik walaupun ikhtilat ke laut, dunia Irfan dan Hani kini berubah menjadi drama bersiri kekeluargaan apabila hadirnya permata dalam hidup mereka. Ahmad Furqan Aqil Aqilah Mampukah si brutal muslimah Hani menjadi...