Pagi sabtu tiba dengan raungan Furqan apabila dia melihat Kippo bertompok coklat. Dia tahu itu kotoran baharu yang bukan dibuat olehnya. Ada orang lain sudah menggunakan Kippo tanpa kebenarannya!
“Yang Furqan nak meraung ni kenapa?” Tidak sabar Hani dibuatnya. Jadi matang boleh tak?
Furqan teresak-esak cuba berhenti menangis. Si kembar memerhati daripada sofa ruang tami. Irfan memegang Furqan dan didudukkan di atas ribanya.
Dengan sisa air mata, Furqan bangun daripada ribaan Irfan. Kippo ditarik bersama.
“Mama papa ajar Furqan minta maaf kalau buat salah, sekarang ada orang buat salah dekat Kippo tapi tak ada orang minta maaf!” Bentak Furqan. Dia terus menghentak kaki ke bilik dan pintu dihempas kuat.
Sudah pandai meradang dan merajuk budak ni.
Terdiam Hani dan Irfan dibuatnya. Si kembar pergi mengekori abangnya. Pintu dipulas. Aqil dan Aqilah masuk.
“Abang sedih?” Tanya Aqilah.
Furqan mengangguk. Kertas dan pensil diambil. Dia mula menconteng sesuatu.
“Aqilah jangan gerak!” Arah Furqan. Aqilah terus membeku pada kedudukannya.
“Abang, Aqil nampak papa guna Kippo abang sebab jari mama darah. Mama sakit. Masa tu Aqil turun nak minum.” Aqil mengunci pintu atas arahan Furqan kemudian dia duduk di sebelah abangnya. Sudah beberapa kali dia nampak abangnya melukis dan Aqil sangat menyukai lukisan Furqan. Namun selalunya lukisan itu cuma dapat dilihat sekali dua sahaja selepas itu hilang.
Jari Furqan terhenti. Lukisan wajah Aqilah yang baru sahaja nampak bentuk mukanya diletak tepi. Terus pintu dibuka dan dia mencari Hani. Dapur dituju. Kelihatan Irfan sedang menyusun pinggan di atas meja dan Hani sedang memasak.
Furqan melutut dan memeluk kaki Hani.
“Mama Furqan minta maaf. Furqan tak tahu jari mama sakit. Papa koyakkan Kippo untuk balut mama pun Furqan tak kisah. Furqan minta maaf.” Deras air mata Furqan, deras lagi air mata Hani.
Hani dan Irfan sedang dalam usaha memujuk Furqan. Hani sedang memasak bubur nasi kegemaran Furqan sebagai tanda maaf tidak disangka Furqan yang akan meminta maaf dahulu. Ya Allah, bersihnya hati anak ini. Langsung tiada dendam yang bersarang.
“Furqan tak salah sayang. Furqan tak salah.” Anak beranak itu berpelukan sambil menangis kalah Air Terjun Niagara.
Selesai makan sarapan, masing-masing bersiap untuk berjalan-jalan. Zoo Negara! Jom ke sana! Pergi zoo merupakan janji Irfan yang sudah tertangguh dua bulan lalu. Beginilah biasanya, janji yang sudah lapuk baru hendak ditunaikan, janji yang baru simpan untuk masa hadapan.
Kehadiran mereka di Zoo Negara disambut dengan harga tiket yang mengejutkan Irfan. Difikir berkali-kali berbaloikan harga tiket dengan haiwan yang berada di dalamnya? Namun apabila terpandang sinar mata anak-anak dan Hani yang teruja melihat poster panda, dibayar sahaja harga tiket dua dewasa, tiga kanak-kanak.
Trem membawa mereka mengelilingi zoo. Sampai ke kawasan panda, manusia bukan main padat lagi. Sebelum anak-anak mereka hilang ditelan lautan manusia baiklah mereka beredar dahulu. Muncung Hanilah yang paling panjang kerana dia yang beriya-iya mahu melihat panda dua ekor hadian kerajaan China itu. Kedai cenderamata khas untuk panda dikunjungi. Dibeli topi kepala panda satu untuk Hani, Aqil dan Aqilah. Furqan menolak topi panda sebaliknya dia tertarik dengan kiub rubik. Disuakan kepada Irfan.
“Furqan pandai ke main ni?” Tanya Irfan sengaja. Biasalah budak main pusing-pusing nanti patah harap separuh jalan.
“Furqan tak pandai.” Diletak balik kiub rubik pada tempatnya. Sensitif sungguh dia dengan perkataan pandai. Rasa bagai mahu menjerit sahaja biar satu dunia tahu dia tidak pandai! Sekurang-kurangnya dia mahu belajar. Dimana salahnya? Butakah manusia sehingga tidak nampak usahanya?
Furqan berlari keluar. Dompet yang berada di tangan dicampak kepada Hani kemudian dia berlari mendapatkan Furqan. Anak yang menguji stamina. Nasib baik belum pancit lagi! Furqan hilang dalam lautan manusia. Irfan hampir panik tetapi dia mengawal dirinya. Furqan dicari dengan teliti. Setiap sudut diperhati. Dia bertanya kepada orang jika ternampak budak kecil berlari. Masing masing menggeleng kepala. Logiklah sedikit dekat zoo ni bukan seorang sahaja kanak-kanak yang berlari.
Hani bersama Aqil dan Aqilah menyertai Irfan mencari Furqan yang lari.
“Abang cakap apa dengan budak tu? Dia tu dah la sensitif lain macam.” Hani risau. Apa-apa sahaja boleh terjadi kerana Furqan hanyalah tujuh tahun. Panjang mana akal budah tujuh tahun?
“Abang tanya dia pandai tak selesaikan kiub rubik lepastu dia jawab Furqan tak pandai. Biasa la kiub rubik kut bukan semua orang boleh buat.” Irfan menyesal. Betullah cakap orang, fikir dahulu sebelum bercakap dan ini termasuk apabila bercakap dengan budak-budak kerana mereka juga ada hati dan perasaan!
“Aqil rasa abang pergi tempat burung. Sebab abang suka tengok burung.” Teka Aqil.
Nampak sangat hubungan antara Hani, Irfan dan Furqan tidak begitu rapat dalam erti kata sehingga boleh tahu semua benda begitu. Furqan agak introvert, mereka ingat dia tidak mahu bercakap banyak jadi tidaklah mereka bertanya sangat. Lainlah Aqil dan Aqilah yang sangat pandai mengekspresikan diri.
“Aqilah rasa abang dekat surau sebab mama kata kalau hilang cari surau.” Si cerdik lima tahun itu ingat pesanan mamanya.
“Tapi abang tak hilang lah dia lari.” Jerit Aqil.
“Kalau lari...” Aqilah memandang Aqil.
“Kita kejar!” Aqil mengekek ketawa dan mereka berlari dengan riang ria.
Hani dan Irfan mula berlari sama. Nasiblah anak-anak semua kaki kuat berlari. Aqil dan Aqilah ditangkap sebelum mereka pula yang hilang.
“Burung!”
“Surau!”
“Burung!”
“Surau!”
Aqil dan Aqilah saling menjerit. Seorang didukung Irfan, seorang didukung Hani. Pekaklah telinga mereka berdua gamaknya!
Furqan berlari ikut sedap kaki. Dimana kaki berhenti, di situ dia berada. Larian kerana tersentap membawanya ke taman burung. Kebetuan, ada pertandingan melukis sedang dijalankan untuk kanak-kanak sepuluh tahun ke atas. Furqan tidak mendaftar kerana tiada ibu bapa bersama. Menggunakan kekacakan yang diwarisi daripada papa dan kebijaksanaan daripada mama dia berjaya mendapatkan pensil dan kertas. Gambar burung merak yang berada di hadapan para peserta menjadi gambar contoh. Furqan melukis dengan tenang setiap perincian burung merak. Setengah jam berlalu dan gambarnya sudah siap sebaik sahaja masa tamat. Diserahkan kepada kakak cantik di kaunter pendaftaran pertandingan. Terkejut mereka melihat lukisan Furqan. Belum sempat kakak cantik meminta namanya, Furqan telahpun hilang dari radar. Si Furqan pergi memerhati burung merak sebenar.
“Ahmad Furqan Bin Ahmad Irfan!” Keras kejang Furqan apabila mendengar namanya dipanggil oleh Irfan. Papa tidak pernah memanggil nama penuhnya dengan suara begitu pasti dia berada dalam masalah yang besar...
“Kan Aqil dah kata! Abang tengok burung!” Aqil mengekeh ketawa suka betul apabila dia berjaya meneka dengan tepat.
“Furqan...” Belum sempat Furqan memberi penjelasan, Irfan memeluk anak sulungnya erat.
“Papa minta maaf. Furqan anak papa sangat cerdik.” Dahi Furqan dicium. Jiwa Furqan yang sensitif agak membimbangkan kerana boleh melemahkan keyakinan dirinya..
Lawatan ke Zoo Negara sudah tamat. Furqan keluar dengan kiub rubiknya dan lukisan burung merak seorang budak dengan tandatangan Furqasso dibingkaikan dan dipamerkan di sangkar merak tanpa diketahui identiti pelukisnya.
YOU ARE READING
TSK : Permata
RomanceDaripada filem aksi romantik ala islamik walaupun ikhtilat ke laut, dunia Irfan dan Hani kini berubah menjadi drama bersiri kekeluargaan apabila hadirnya permata dalam hidup mereka. Ahmad Furqan Aqil Aqilah Mampukah si brutal muslimah Hani menjadi...