Pulau Langkawi, Kedah
Sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Irfan mengambil kereta sewa yang diusahakan oleh Syarikat Syukur Travel. MPV Proton Exora cukup luas untuk mereka sekeluarga. Mereka terus ke Bohok Guest House, Pantai Cenang. Segala urusan telah diselesaikan secara atas talian. Mereka hanya perlu mendaftar masuk sahaja.
“Kak Ina dah bersihkan bilik, kalau ada apa-apa yang kurang telefon je.” Isteri kepada pemilik Bohok Guest House sangatlah ramah orangnya.
“Terima kasih kak.” Hani salam berlaga pipi dengannya.
Abang Eddie, pemilik rumah tetamu ini ada menawarkan khidmatnya untuk menunjukkan kawasan sekeliling tetapi Irfan lebih suka memandu sendiri bersama keluarga kerana tiada sekatan masa.
Anak-anak berguling-guling di atas tilam. Selesa benar nampaknya. Keadaan bilik mereka sungguh kondusif. Pendingin hawa berfungsi dengan baik. Tandas juga selesa digunakan. Pemandangan Pantai Cenang yang bersih menjadi tarikan utama. Sungguh berbaloi harga yang dibayar untuk penginapan tiga hari dua malam.
Pintu gelangsar dibuka. Bayu laut menyapa wajah Hani lembut. Tudung labuh Koshibo yang dibeli secara atas talian melalui instagram JahTudung menggerbang ditiup angin. Irfan meletakkan tangannya di atas pinggang Hani. Udara segar bebas tekanan dihirup. Baru sahaja hendak ambil feel muzik video...
“Mama lapar!” Adu Aqil sambil menarik lengan baju Hani.
“Papa jom main pantai!” Aqilah pula menarik tangan Irfan.
“Solat asar dulu lepastu kita jalan dekat pantai.” Arah Irfan.
“Abang mana?” Hani mencari Furqan. Suara emasnya tidak kedengaran langsung sejak dari tadi.
“Ruang tamu.” Laung Furqan apabila mendengar namanya dipanggil.
Hani pergi mendekati Furqan. Anak itu disuruh ambil wuduk dan bersedia untuk solat berjemaah.Furqan patuh. Pensil dan buku nota ditinggal di atas meja. Hani ambil dan muka surat pertama menyentuh hatinya.
Lukisan wajah Hani secara lukisan kasar. Sudut kanan sebelah atas ditulis mama. Lukisan pertama Furqan dalam buku lukisan pertamanya.
“Dia lukis dalam flight tadi.” Bisik Irfan ke telinga Hani.
“Flight satu jam, bila masa dia lukis?”
“Bila mama dia letak kepala terus tidur. Melakarlah budak tu. Dah mamanya ambil wuduk cepat.” Jawab Irfan masih berbisik. Mereka begitu dekat sehingga nafas Irfan boleh dirasai Hani.
“Tepilah!” Hani menolak manja muka Irfan menjauhi wajahnya.
“Batal air wuduk abang!”
“Siapa lambat buat saf kena belanja makan!” Hani terus berlari masuk ke dalam bilik air setelah Furqan keluar.
Keluar sahaja Hani daripada bilik air, Irfan sedang menjelir lidah ke arahnya di atas tikar sejadah. Anak-anak juga sudah berada dalam saf.
“Malam ni...” Irfan memulakan.
“ Mama belanja makan!” Kata mereka serentak.
Macam manakah? Oh, paip luar dan aurat lelaki yang tidak rumit. Hani mampu ketawakan sahaja.
“Iyalah mama belanja.”
Solat asar berjemaah ditunaikan segera. Selesai solat, anak-anak sudah siap sedia untuk keluar. Mama dan papa pula bermalas-malasan di atas tikar sejadah. Mama bertelekung baring di atas lengan papa.
“Cepatlah mama!” Aqilah mengambil stokin dan sarung lengan Hani dan disuakan kepadanya.
Hani ambil dan letak di sebelahnya malas hendak bergerak lagi-lagi dia sedang berada di posisi selesa sekarang. Furqan bisikkan sesuatu ke telinga Aqil, Aqil pula berbisik ke telinga Aqilah. Gayanya seperti sedang bermain radio rosak!
YOU ARE READING
TSK : Permata
RomanceDaripada filem aksi romantik ala islamik walaupun ikhtilat ke laut, dunia Irfan dan Hani kini berubah menjadi drama bersiri kekeluargaan apabila hadirnya permata dalam hidup mereka. Ahmad Furqan Aqil Aqilah Mampukah si brutal muslimah Hani menjadi...