Bab 11

867 21 2
                                    

Pagi itu Hikmah kelam-kabut untuk ke pejabat. Sarapan yang disediakan oleh mama pagi itu langsung tidak dijamahnya. Turun dari tangga, perkara pertama dalam fikirannya adalah kasut.

Haqiem yang ketika itu sedang bersarapan di ruang makan agak kehairanan melihat sikap adiknya itu.

"Hikmah, kenapa tak nak breakfast dulu?" tanya mama.

Hikmah langsung tidak mengendahkan pertanyaan mama. Dia sibuk mengikat tali kasutnya.

Mama mengeluh. Sabar ajelah dengan perangai anak gadisnya itu.

Selesai sahaja mengikat kasut, Hikmah bangun. Lantas dia segera menghulurkan tangannya untuk bersalam. Tangan mama kesayangannya itu dikucup lembut. "Hikmah dah lewat sangat ni mama. Nanti Hikmah breakfast dekat ofis aje la ye."

Hikmah segera menekan punat alarm untuk membuka keretanya. Entah kenapa alarm kereta tidak berbunyi. Puas dia menekan banyak kali tetapi masih tidak berfungsi.

Hikmah mengerutkan dahinya. Alahai, time urgent macam ni la dia nak buat hal!

Hikmah mendekati keretanya lantas dibuka pintu kereta secara manual. Otak sudah terfikir mungkinkah bateri alarm sudah habis? Tetapi, kereta Proton Saga FLXnya itu baru dua tahun dibelinya, macam mana bateri boleh habis?

Mama yang sedari tadi mengagak ada yang tidak kena dengan kereta anaknya itu segera keluar ke laman rumah dengan hanya berkaki ayam. Diperhatikan Hikmah yang sibuk menghidupkan enjin kereta namun langsung tidak hidup.

Hikmah mendengus kasar. Sudahlah lambat, kereta buat hal pula.

"Kenapa sayang?" tanya mama.

"Entah la ma. Tiba-tiba kereta tak boleh start. Semalam okey aje." Hikmah sudah mati kutu. Hatinya sedikit gelisah memikirkan apa akan terjadi sekiranya dia lewat tiba di pejabat nanti. Sudahlah pagi ni ada mesyuarat.

"Cuba Hikmah start sekali lagi," suruh mama.

Hikmah menurut tetapi, enjin kereta masih tidak boleh dihidupkan.

"Tak boleh la ma. Macam mana ni? Hikmah ada meeting dengan bos kejap lagi. Mati la Hikmah kalau lambat ni!" Hikmah semakin gelisah. Peluh mula merecik di dahi.

Haqiem yang sudah bertali leher segera keluar dari pintu rumah untuk memakai kasut. Diperhatikan dua beranak di hadapannya itu berbual. Kasut yang sudah dikilatkan malam tadi disarungkan ke kakinya dengan kemas.

Haqiem segera mendapatkan Honda CRVnya . Cermin mata hitam yang tersisip di leher dipakai. Dari jauh terserlah ketampanannya. Selalu sales and marketing manager di syarikat yang agak terkemuka, penampilan amat penting buat Haqiem. Dia tidak sukakan pakaian yang agak selekeh.

Briefcase diletakkan ke dalam kereta. Dia mendekati mama dan adik tirinya itu. "Apa kecoh-kecoh ni mama?"

Hikmah yang dari tadi sibuk menghidupkan enjin kereta agak terkesima dengan penampilan Haqiem pagi itu. Tetapi, dia segera menyedarkan dirinya. Jangan hanyut! Dia tak mahu Haqiem sedar akan tindakan refleksnya tadi. Takkan jatuh cinta dengan abang tiri sendiri kut?

"Haqiem, cuba kamu tengok apa masalah kereta adik kamu ni? Risau mama sebab Hikmah ada meeting pagi ni," pinta mama lalu memberi laluan kepada Haqiem untuk membantu.

"Keluar kejap. Aku nak tengok."

Dengan riak selamba, Haqiem mengarahkan Hikmah keluar dari kereta. Wajahnya serius aje.

Kalau diikutkan hati, dia malas nak minta pertolongan abang tirinya itu tetapi dek kerana masa dah takde dan dia perlu ke pejabat dengan segera, diruntuhkan sahaja egonya daripada terus bermaharajalela.

Perfect Match!Where stories live. Discover now