Sebulan telah berlalu dan sekarang kami semakin sibuk. Pasukan Bryan telah dihantar bertugas ke kem pelarian Rohingya selama seminggu untuk memastikan keselamatan mereka di sana. Sepanjang itu juga dia langsung tidak mempunyai kesempatan untuk menelefon atau sms aku, tapi tak apa sebab aku faham. Aku juga sibuk untuk beberapa hari ini kerana mengikuti kursus. Mujur hari ini merupakan hari terakhir jadi dapatlah aku berehat awal.
Aku mengunci pintu utama sebelum masuk ke bilik. Selesai membersihkan diri aku ke dapur untuk menyediakan makan malam. Hanya meggie saja, tentulah kerana aku malas hendak memasak jika Bryan tidak ada di rumah. Mangkuk meggie aku bawa ke ruang tamu lalu memakannya sambil melayan drama di tv. Drama Kekasih Paksa Rela, walaupun ceritanya agak leceh tetapi aku tertarik dengan jalan ceritanya. Entahlah. Mungkin kerana perangai pak cik itu hampir sama dengan Bryan bila mood serius dia datang.
Apabila drama selesai, aku angkat mangkuk ke dapur lalu membasuhnya. Setelah itu tv aku matikan sebelum naik ke bilik. Badan aku rebahkan ke tilam dengan penuh rasa bosan. Ya hidup aku mudah terasa bosan apabila Bryan tak ada. Jadi untuk menghilangkan bosan, aku mendail nombor Ain untuk menganggunya. Dia sibuk aku tahu. Tapi aku tetap juga mahu kacau dia sehingga kadang-kadang dia abaikan aku di talian sementara dia menyelesaikan kerja ofisnya. Putus asa, aku matikan talian lalu mendail Lina pula. Tapi dia tak jawab. Mungkin sudah tidur ataupun sengaja tidak mengangkat panggilan aku. Tak apa.
Telefon aku lontar ke atas sofa. Comforter aku tarik menutupi badan. Telefon aku tiba-tiba berdering. Mula-mula aku malas mahu mengangkat tapi teringat, bagaimana jika itu Bryan? Kelam kabut aku bangun berlari ke sofa. Dan ya. Tersengih lebar aku apabila mendapati ia Bryan.
Dapatlah aku leraikan kerinduan yang menggunung gila seperti Kinabalu ini. Fuh aku semakin jiwang keranamu, Bryan. Entah apa yang aku melalut, tapi bercakap dengan Bryan mampu menceriakan kesuraman hidup aku ini. Tapi aku tertidur ketika mendengar ceritanya. Bila sedar paginya hampir aku menangis. Lagi-lagi cuaca hujan begini menjadikan aku agak feeling. Aku rindukan dia tapi bila ada peluang untuk bercakap dengan dia, aku boleh pula tertidur. Mesti dia ingat aku bosan mendengar ceritanya.
Selesai bersiap aku cuba mendail Bryan tetapi tak dapat. Mungkin tak ada talian. Jadi aku hanya meneguk hot chocolate sebelum mula memandu ke balai. Hujan yang lebat memaksa aku memandu dengan perlahan dan berhati-hati. Jalan agak sesak tetapi aku perasan kereta di hadapanku memandu dengan agak laju. Malah apabila kereta di hadapannya lambat bergerak, dia akan menekan hon dengan kuat menggesa. Aku berdecit melihat kelakuan kurang ajarnya.
Semua orang juga mahu cepat tiba ke destinasi, tapi adab perlu dijaga. Malah ikutkan hati aku juga boleh saja memotong atau menekan hon seperti itu, tetapi aku masih menghormati orang. Bukankah sabar itu separuh daripada iman? Aku selalu menuturkan kata-kata itu setiap kali hendak marah. Yalah meskipun aku bukan Islam, tetapi ayat itu seperti azimat untuk aku juga.
Kepala aku gelengkan apabila pemandu kereta di hadapanku tadi memecut laju setelah keluar dari kawasan lampu isyarat. Geram melihat kelakuannya. Mungkin kerana dia marah dengan pemandu kenderaan di hadapannya, dia memotong tanpa menggunakan lampu signal. Hati aku mula tak sedap apabila melihat tindakan beraninya. Sehingga tiba di sebuah selekoh, kereta yang dipotongnya tadi menekan brek mengejut. Nasib baik aku sempat menekan brek juga dan tidak ada kereta lain di belakangku.
Apabila melihat ke tepi aku sudah melihat sebuah kereta terbabas ke bahu jalan. Hujan yang lebat aku abaikan lalu keluar. Pemandu kereta di hadapanku tadi turut keluar dengan berpayung. Melihat seragam aku, dia menuding ke satu arah di hadapan. Bibir aku ketap apabila mendapati itu ialah kereta yang memotong tadi, sudah remuk bertembung dengan kereta lain.
Telefon dari poket aku capai. Talian kecemasan aku dail sambil memberi isyarat kepada kereta yang lain agar meneruskan perjalanan dengan perlahan sementara menunggu pihak trafik tiba. Wajah yang basah aku kesat. Pemandu tadi aku isyaratkan agar menunggu untuk memberi penerangan kepada pihak polis nanti.
YOU ARE READING
Be His Last Bride ✔ [UNEDITED]
Romance[TERSEDIA DALAM BENTUK E-BOOK] __________ LOVE, "Kau maksudkannya atau cuma untuk menenangkan hati aku?" "Kedua-duanya." #5 in care ••• Cover by @-THEWOLY