Teaser 6

3K 59 1
                                    

"Kau tak kenal suami kau?" soal Widad. Serius nadanya.

Suami?!

Dalam banyak-banyak jawapan yang cuba kulakar, langsung tidak terdetik yang lelaki asing itu suamiku. Sukar untukku percaya.

Mataku tunak memandang dia. Menilik seraut wajah itu. Mencari sebarang bukti yang dia benar-benar suamiku.

Kalau benar dia suamiku, kenapa aku langsung tidak ingat?

"Suami?" soalku perlahan. Hampir tidak kedengaran. Sukar untuk menerima hakikat itu.

"Dia suami kau," tutur Widad menyatakan hakikat itu. Hakikat yang tidak dapat ditolak.

"You don't love me."

Kenyataan itu meluncur laju di bibirku. Renungan dingin dia sudah cukup untuk memberitahuku tentang hakikat itu.

Lelaki itu tidak berkata apa-apa sebelum melangkah pergi. Seperti pesakit di bilik ini bukan isterinya. Tidak punya masa untuk berbicara dengan isteri sendiri.

Isteri? Aku tertawa bisu. Pelik benar bunyinya. Janggal sekali. Tentu berlaku kesilapan di sini. Mana mungkin aku memilih suami sedingin dia.

Dua hari aku di sini. Dan dia baru sekali muncul di hadapan mata. Itu pun tidak sampai 5 minit. Sudah cukup menjelaskan hubungan yang wujud di antara aku dan dia.

Lebih senang dikatakan aku dan dia seperti orang asing. Aku yang hilang memori. Dia yang tidak menganggap aku isteri.

"Qis... kau betul tak ingat dia?" soal Widad serba salah. Matanya terarah pada pintu yang terbuka luas selepas lelaki itu keluar tanpa sepatah kata.

"Aku tak ingat," balasku keliru.

Hilang memori? Kenapa aku masih ingat Widad? Masih ingat tentang keluargaku. Kenapa hanya lupa tentang dia?

"Aku panggil doktor. Kau tunggu sini," putus Widad.

Tidak sempat kutahan, Widad sudah menghilang dari pandangan. Aku hanya mampu mengeluh berat. Mungkin doktor ada penjelasan yang lebih logik.

Biarkan KulupaWhere stories live. Discover now