"KAU baru sangat sembuh. Patutnya kau ambil masa untuk berehat. Bukan mintak cerai dengan suami kau," tegur Widad kurang senang.
Aku tersenyum kelat. Tubuhku sudah sihat sepenuhnya. Sudah kembali bertenaga. Tidak perlu terus terbaring di katil.
"Cerai ni bukan perkara main-main," tambah Widad jelas tidak setuju.
"Aku tak main-main," bidasku.
Aku tahu Widad agak memberatkan soal hubungan suami isteri. Bagi Widad hubungan suami isteri pertalian yang suci. Perlu dijaga dan dibaja. Bukan dimusnahkan.
"Aku tahu kau dengan dia..."
"Lagi kuat alasan aku nak dia ceraikan aku."
"Tapi kau sendiri yang pilih dia. Aku tak nak bila kau ingatan kau pulih... kau menyesal berpisah dengan dia," nasihat Widad.
"Menyesal?" soalku sinis.
Penyesalan tidak pernah wujud dalam kamus hidupku. Biarpun aku tahu tentang apa yang telah kulakukan selama 3 tahun ini, tidak terdetik sebarang rasa kesal di hati.
Aku hanya mahu memilih jalan yang berbeza. Tidak mahu meneruskan jalan yang hanya membawaku pada kehancuran.
"Dulu aku nasihatkan kau jangan pilih jalan ni. Tapi kau degil. Sekarang ni kau sendiri yang nak tinggalkan dia."
"Kau nak aku terus hidup dengan lelaki yang takkan layan aku sebagai isteri?"
"Hari ni kau hilang ingatan. Kau rasa kau patut tinggalkan dia. Bila ingatan kau pulih... mungkin kau tak rasa keputusan kau hari ni yang terbaik. Waktu tu..."
"Waktu tu dah susah untuk aku kembali bersama dia?" potongku.
"Kau baru sangat sedar. Rehat dulu. Jangan fikir bukan-bukan. Ambil masa untuk tenangkan fikiran kau."
Widad terus menasihati. Tidak mahu si sahabat terburu-buru membuat keputusan. Dalam keadaan keliru kehilangan memori senang memutuskan keputusan yang salah.
"Aku tahu kau keliru. Kau tak ingat dia. Kau ingat kau masih kat kampus. Masih belajar lagi. Bukan senang untuk kau terima lelaki yang kau langsung tak kenal sebagai suami. Bagi diri kau masa, Qis."
Tawa sinis terletus di bibirku. Memang benar memoriku terhenti ketika aku masih di kolej. Namun akalku masih mampu berfungsi dengan baik.
Kisah yang diceritakan Widad sudah cukup untuk aku memutuskan hubungan di antara aku dan lelaki itu. Lelaki yang menjadi penyebab aku kemalangan.
Kalau bukan kerana dia, aku tidak akan terlantar koma di katil. Tidak akan hilang ingatan. Lalu satu keputusan yang baik untuk meleraikan ikatan yang tidak bernilai di mata aku dan dia.
Aku tidak menyalahkan dia. Malah aku tidak punya sebarang perasaan terhadap dia. Sebaliknya aku berterima kasih padanya menyebabkan aku hilang memori. Mudah untukku memutuskan.
"Aku bukan sengaja nak halang kau. Cuma aku rasa kau patut ambil masa untuk tenangkan fikiran kau. Lepas tu baru kau buat keputusan."
Masa? Aku tidak perlu masa untuk tenangkan fikiran. Emosiku tidak berkocak. Jauh sekali menyimpan kecewa, marah atau dendam. Hanya rasa kehilangan sesuatu yang berharga. Pelik.
"Okey."
"Okey?"
"Aku nak ikut kau balik," putusku.
"Kau nak ikut aku?" soal Widad serba salah.
"Aku ikut kau balik," putusku. Esok aku sudah dibenarkan keluar hospital. Tidak lagi perlu berada di tempat yang begitu membosankan.
"Suami kau macam mana?"
"Kau rasa dia kisah ke pasal aku?"
Dari apa yang diceritakan Widad, lelaki itu langsung tidak peduli tentangku. Tengoklah. Selepas dua hari aku sedar dari koma baru dia muncul. Itu pun tidak sampai 5 minit.
Yang hairannya, pagi tadi dia muncul pula. Untuk apa? Aku tidak pasti. Yang penting aku sudah menyampaikan hasratku.
"Aku rasa..."
"Kau tak sanggup bagi aku tumpang rumah kau?" soalku mempertikaikan kesanggupan seorang sahabat.
Aku tidak mahu tinggal bersama lelaki asing. Lagi tidak mahu kembali pada keluarga yang langsung tidak tahu menjengukku.
"Fine!" tingkah Widad geram.
"Aku ada kau aje sekarang," tuturku perlahan.
Wajah Widad yang tadi mula menyinga terus sirna kala mendengar bicaraku. Dia yang paling tahu tentang jalan hidupku.
"Kau jangan nak buat aku sedih pulak. Kau bukan tak tahu aku ni sensetif orangnya," bentak Widad geram. Matanya mula bergenang keranaku.
Aku tertawa bisu. Widad memang mudah buat drama air mata. Senang benar tersentuh. Sesuai dengan kelembutan wajah itu.
Widad meraih jemariku. Digenggam erat. Memberi kekuatan pada seorang sahabat.
"Kau ikut aku balik. Aku boleh jaga kau."
"Aku cuma nak tumpang rumah kau aje. Bukan nak suruh kau jaga aku. Aku cuma hilang ingatan. Bukan hilang upaya," bidasku.
Untuk sementara sahaja aku ingin menumpang rumah Widad. Sehingga aku mendapat rumah yang sesuai untukku.
"Fine!" tingkah Widad mencebik geram.
YOU ARE READING
Biarkan Kulupa
RomanceSekali salah melangkah, sukar untuk membetulkan segalanya. Lalu lebih baik melupakan dan mengorak langkah baru. Antara aku dan dia, tidak wujud rasa indah itu. Hanya satu jalan yang menjadi pilihan. Tiada apa yang diharapkan. Saat dia menjadi lelak...