MALAM. Sepi. Sunyi. Aku sendiri di sini. Mendongak ke dada langit. Merenung bulan penuh. Cantik dipandang dari jauh. Mengecewakan kala hampir. Berlopak-lopak mencacatkan di mata yang memandang.
Mungkin boleh disamakan dengan diriku. Kelihatan indah dari jauh. Seperti tidak punya sebarang masalah. Anak gadis dari keluarga berada. Hakikatnya terlalu banyak lompong yang mencela. Jauh dari sempurna.
"Mama."
Kutarik nafas dalam-dalam. Cuba menenangkan hati. Mimpi tadi terasa seperti benar. Bagai mama benar-benar datang melawatku.
Biarpun kutahu mustahil untuk itu berlaku, hati tetap terselit rasa gembira. Ingin hari-hari dibelai mimpi yang sama.
Malangnya aku perlu berpijak pada realiti. Perlu memikirkan jalan yang akan dijejak selepas ini. Yang penting bukan jalan sebelum ini.
Aku perlu memilih jalan lain. Mengubah takdir hidupku. Mahu hidup untuk diri sendiri. Tidak perlu memikirkan tentang manusia lain atau syarikat yang tidak akan jatuh ke tanganku.
Masih banyak pilihan di hadapan mata. Aku sahaja yang buta 3 tahun yang lalu. Bukan aku tidak punya sebarang harta. Kenapa perlu menyakitkan diri sendiri?
Tangan memainkan rentak di besi balkoni. Berfikir sedalamnya. Tidak mahu tersalah langkah.
Perkara pertama yang ingin kulakukan tentulah memutuskan hubungan yang ada. Namun aku tahu itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat.
Aku perlu memikirkan cara untuk buat dia setuju. Belum lagi punya idea untuk itu. Lalu pilihan kedua beralih pada aktiviti seharianku selepas ini.
Tidak ingin terperap sahaja di rumah. Masaku perlu dipenuhi dengan perkara berfaedah. Setiap detik yang berlalu merugikan aku.
3 tahun sudah dibazirkan begitu sahaja. Aku tidak mahu terus kerugian dalam hidup. Ingin mencapai sesuatu. Memiliki kejayaan sendiri.
Ketukan di pintu mengembalikan aku yang hilang dalam fikiran sendiri ke dunia nyata. Aku berpaling ke arah pintu yang dikuak dari luar. Wajah Kak Masni terjengul mencariku.
"Puan, tuan panggil makan," ucap wanita berusia lewat 30an itu. Pembantu rumah yang sudah bertahun-tahun bekerja di rumah agam ini. Namun tidak tertera di memoriku. Memoriku terhenti sebelum aku mengenali Zafran. Lalu apa pun yang berlaku selepas itu terpadam sendiri.
"Tak lapar."
"Tuan dah tunggu puan kat bawah," tambah Kak Masni tidak berganjak.
"Cakap kat dia I tak lapar."
Aku tidak punya selera untuk makan bersama lelaki itu. Janggal.
"Kalau puan tak turun... tuan sendiri akan naik jemput puan turun," tekan Kak Masni resah. Bimbang majikannya terus menolak.
Dahiku bertaut mendengar ugutan itu. Diktator benar!
Aku terdiam lama. Masih mendongak merenung bulan yang menerangi malam. Tidak peduli pada Kak Masni yang setia menanti.
Tiba-tiba sahaja ada tangan melingkar di pinggangku. Menarikku rapat melekap di dada lebar dia. Membuat jantungku hampir jatuh bergolek ke lantai. Tekakku serentak itu terasa kering.
Entah sejak bila dia naik ke bilik. Ugutan yang diungkap bukan ugutan kosong!
Memandangkan aku tidak sudi turun, dia sendiri naik mengheretku ke meja makan. Atau lebih tepat mencempung tubuhku menghalang sebarang bantahan.
Aku menjeling tajam pada dia setelah didudukkan di kerusi. Bengang dengan sikap yang terlalu selamba. Sesuka hati menyentuhku ibarat aku ini hartanya!
"Makan," arahnya tegas.
Mataku mendarat pada pinggan yang sudah berisi nasi putih. Tiada selera untuk menjamah. Lagi-lagi di hadapan lelaki itu. Kenyang dengan hati menyala marak.
"Nak I suapkan?" soalnya tanpa emosi.
Aku mendengus kasar. Ingin kembali ke bilik. Dia ingat dia boleh memaksaku begini?
Belum sempat aku bangun, suaranya mematikan hajatku. Memaksaku untuk menelan makanan yang sudah siap diceduk Kak Masni.
"You tak nak makan? Nak naik bilik? I tak kisah temankan you di bilik."
Temankan aku di bilik? Ayat itu tidak salah pada pendengaran sesiapa memandangkan aku dan dia merupakan suami isteri. Namun ayat itu terlalu salah padaku yang tidak mengenalinya!
Melihat aku mula menyuap makanan, sekali lagi bibirnya bersuara. Sinis menyapa telinga.
"Tak nak I temankan you? Selalunya... you tak sabar-sabar ajak I naik ke bilik. Tak silu merayu..."
"You!" Aku menghempas sudu di tangan. Wajahku mula berbahang. Malu dengan bicaranya. Malu dengan perbuatan sendiri.
"You mungkin tak ingat... tapi itu yang berlaku. You tak pernah silu menggoda. Tak tahu malu," tuturnya senada. Tajam menikam.
Aku mengetap rahang sekuat hati. Menahan amarah dan malu bercampur menjadi satu. Marah pada dia yang sengaja mempersendakanku. Malu dengan diri sendiri yang pernah memperbodohkan diri sendiri.
"Kalaupun I tak tahu malu... I cuma macam tu depan suami I sendiri. Tapi you tak perlu risau. Perkara yang sama takkan berulang lagi. I dah tahu malu sekarang. In fact... I can't even remember you. Bermakna.... you langsung tak penting dalam hidup I sebelum ni!" balasku kasar.
Aku bingkas bangun. Meninggalkan dia sendiri tanpa berpaling lagi. Tidak peduli reaksi dia. Yang penting aku tidak perlu berdepan dengan lelaki ego seperti dia. Seolah dia sahaja yang penting di dalam dunia ini. Dan aku hanya melukut di tepi gantang.
Dulu mungkin begitu. Sekarang tidak lagi. Aku punya harga diri. Tahu apa yang kumahukan dalam hidup. Tidak perlu berpaut pada lengan sesiapa. Mampu berdiri di atas kaki sendiri.
'You can go to hell!' jeritku. Hanya bergema di dalam hati.
YOU ARE READING
Biarkan Kulupa
RomanceSekali salah melangkah, sukar untuk membetulkan segalanya. Lalu lebih baik melupakan dan mengorak langkah baru. Antara aku dan dia, tidak wujud rasa indah itu. Hanya satu jalan yang menjadi pilihan. Tiada apa yang diharapkan. Saat dia menjadi lelak...