TERAGAK-AGAK kaki melangkah masuk ke dalam rumah agam tiga tingkat yang serupa istana itu. Seni bina mewah mengagumkan. Menyatakan kekayaan si pemilik.
Kaki masih terpaku di hadapan pintu kayu jati yang indah berukir. Tidak membuntuti langkah lelaki yang sudah lebih dulu melangkah masuk.
Kepala mula diburu idea untuk cabut lari. Tidak selesa untuk masuk ke rumah lelaki asing itu. Sungguh aku tidak dapat menerima hakikat yang dia bergelar suamiku.
Baru sahaja idea itu menjentik benak, tanganku lebih dahulu ditarik dia. Mahu tidak mahu aku terpaksa juga melangkah masuk.
Aku mendengus kasar. Menyatakan protes yang tidak terluah di bibir. Pelik sebenarnya dengan layanan dia. Tidak selari dengan apa yang diceritakan Widad.
Kata Widad, lelaki itu tidak pernah peduli. Hubungan aku dan dia begitu dingin. Dan dia jarang sekali pulang ke rumah. Terlalu jelak untuk memandang wajah isteri sendiri.
Menyentuh isteri sendiri pun boleh dibilang dengan jari tangan dan kaki. Nampak benar kedudukan aku di mata dia terlalu kerdil. Tidak bermakna apa-apa. Hubungan yang wujud hanya tertulis di atas kertas.
Yang hairannya, hari ini dia berlagak seperti suami penyayang. Sanggup pula merangkul tubuhku.
Kini siap menggenggam kemas pergelangan tanganku. Seolah takut benar aku cabut lari.
Aku tertawa bisu. Permainan apakah yang cuba dicipta dia? Cuba menipu aku yang hilang memori? Untuk apa?
Aku merentap kasar tanganku. Tidak sudi terus dimonopoli dia. Terasa berdenyut tangan yang direntap kasar.
Mata kuliarkan pada segenap ruang tamu yang luasnya seperti apartment. Belum lagi melihat ruang makan dan ruang dapur. Bilik sahaja mungkin tidak terkira dengan jari.
Mata terus memerhati rumah yang asing di mataku. Namun dapat kurasa yang aku pernah mendiami rumah ini. Terlalu familiar.
Dapat kurasakan sepasang mata yang merenungku tajam. Meminta perhatian daripadaku yang sengaja tidak menghiraukan kehadiran pemilik rumah ini.
Tidak betah terus direnung begitu, aku mengalah akhirnya. Menentang sepasang mata yang menuntut perhatian.
"You isteri I... dan akan terus kekal jadi isteri I."
Belum sempat aku membuka mulut, dia lebih dulu bersuara. Nadanya kedengaran cukup serius. Tidak mahu aku menidakkan hakikat itu.
"Isteri you?" soalku bersulam sinis.
Aku tidak punya perasaan terhadap dia. Tidak bermakna aku tidak bengang terpaksa berdepan dengan lelaki diktator seperti dia.
Siapa dia untuk menentukan hidup aku?!
"Isteri yang you tak pernah peduli? Isteri yang you sendiri tak suka?" Nadaku semakin sinis. Mempersoalkan status yang tidak perlu dipertahankan.
Dia tidak membalas. Hanya sepasang matanya tajam merenungku. Tiada riak marah di wajah itu. Tidak punya sebarang emosi.
Bengkak hatiku dengan reaksi dia. Bagaimana aku boleh hidup dengan lelaki seperti dia selama 3 tahun ini? Dah hilang akal agaknya aku ketika itu?
Baru sekejap sahaja pun aku sudah rasa mahu menghamun dia. Belum lagi berhari-hari. Lagilah jika berbulan-bulan. Bagaimana pula bertahun-tahun?
"I mungkin tak ingat apa yang berlaku. Tak bermakna I tak tahu macam mana you layan I sebelum ni. Dan I tak rasa kita perlu teruskan hubungan yang tak punya masa depan."
"Masa depan?" soalnya sinis.
"I tak nak terus buang masa hidup dengan you," tingkahku. Tidak peduli jika bicaraku menyakitkan hati dia.
Melihat wajah dia yang masih sama seperti tadi, kukira tiada apa pun yang mampu mengocak emosinya.
Sangkaanku meleset sama sekali. Walau reaksinya tidak berubah, tindakannya jelas menunjukkan aku telah memijak ekor harimau.
Dalam sekelip mata jurang di antara kami dihapuskan. Daguku dicengkam kemas. Memaksa aku memandang tepat ke wajahnya.
"You dengar sini, Balqis," deramnya penuh amaran. Nada yang mampu menggerunkan sesiapa yang mendengar.
"Selagi I bergelar suami... you akan terus bergelar isteri. Faham?"
Suaranya tidak meninggi. Namun itu sudah cukup untuk membuat aku mengangguk berkali-kali lagak isteri yang mendengar kata.
Tekakku terasa kering ketika ini. Emosiku berkecamuk. Soalan demi persoalan menghujam benak. Mempersoalkan keputusanku memilih dia sebagai suami.
Menjadi isteri dia terlalu menggerunkan. Tidak baik untuk kesihatan hati dan jantung. Aku bukan pengecut. Malangnya, saat ini aku hanya mampu mengiakan sahaja kata-kata dia. Kecut!
"Good," ucapnya seraya melepaskan cengkaman di daguku.
Aku pantas mencipta jurang. Jantung yang melantun kencang perlu ditenangkan. Lalu aku terus menuju ke tangga. Memanjat naik ke bilik yang aku sendiri tidak pasti di mana. Yang penting jauh dari dia!
YOU ARE READING
Biarkan Kulupa
RomanceSekali salah melangkah, sukar untuk membetulkan segalanya. Lalu lebih baik melupakan dan mengorak langkah baru. Antara aku dan dia, tidak wujud rasa indah itu. Hanya satu jalan yang menjadi pilihan. Tiada apa yang diharapkan. Saat dia menjadi lelak...