Teaser 22

167 6 0
                                    

"AKU tak faham, Wid," keluhku. Puas berfikir tentang alasan lelaki itu. Tidak juga kena dengan logik akal. Sepatutnya dia laju bersetuju untuk bercerai denganku. Apa perlunya menyeksa diri?

"Mungkin dia rasa bersalah kat kau. Kau kemalangan ada kaitan dengan dia. Kalau bukan sebab dia..."

"Aku tak rasa sebab tu."

Alasan itu terlalu lemah. Tiada rasa bersalah tertulis di wajah mahupun sepasang mata hitam lelaki itu. Layanan dia terhadapku masih dingin. Malah bicara dia mengandung amarah. Membiratkan hati yang mendengar.

Akal ligat berfikir. Sebenarnya jika difikirkan balik masih boleh diterima akal. Pertamanya, kala aku memerangkap dia, tidak perlu pun dia mengambilku sebagai isteri jika dia berkeras untuk menolak. Aku tidak punya kuasa untuk memaksa dia.

Kini aku ingin berpisah. Tidak bermakna dia perlu bersetuju mengubah jalan yang sudah diambil.

Tentu ada kepentingan bagi dia membiarkan aku terus menjadi isteri. Kalaulah aku tidak hilang memori, mudah untukku mencerna apa yang berlaku. Malangnya segala maklumat yang kutahu datang dari Widad. Tidak cukup terperinci.

Kalaulah aku masih ingat...

Argh, untuk apa ingat kembali perkara yang menyakitkan hati? Biarkan terus keliru dengan sikap lelaki itu. Yang penting memori tentang dia lenyap selamanya.

Soalnya sekarang aku perlu mencari jalan untuk memastikan perpisahan tetap terjadi. Aku tidak sudi terus menjadi isteri. Lagi pula lebih baik berbuat baik dengan dia. Biar dia dapat bersama dengan kekasih hati.

"Kau masih dengan keputusan kau?" Aku angguk sekilas. "Masih nak bercerai?" tekan Widad. Aku angguk lagi.

Widad menghela nafas berat. Untuk seketika dia membisukan diri. Tenggalam dalam fikiran yang rumit.

"Kau sanggup menjanda?" tekan Widad serius.

Aku tertawa sinis. Kenapa pula tak sanggup? Bukannya status itu membawa makna apa-apa pun bagiku.

"Lebih dari sanggup."

"3 tahun kau dengan dia. Aku rasa kau patut tunggu sampai ingatan kau pulih semula," nasihat Widad lembut.

"Kau rasa aku patut terus jadi isteri dia ke? Kau lebih tahu apa yang berlaku antara aku dengan dia. Itu pun kau masih nak aku tunggu sampai ingatan aku pulih."

"Aku bukan sokong dia. Tapi aku rasa kau patut buat keputusan dalam keadaan kau sendiri sedar apa yang berlaku."

"Kalau boleh... aku tak nak ingat semula. Tak perlu ingat memori tentang lelaki yang tak penting dalam hidup aku. Aku nak mulakan hidup baru," ucapku tenang.

"Aku faham, Qis. Cuma aku rasa kau tak perlu terburu-buru. Dia pun tak ganggu hidup kau. Dia buat hal dia. Kau buat hal kau. Kau boleh ambil masa fikir baik-baik."

Aku gelak besar mendengar bicara Widad. Tak ganggu? Bagaimana lelaki itu tidak dikatakan mengganggu bila ada sahaja larangan yang keluar dari bibir dia?

Aku dilarang memandu sendiri. Dibenarkan keluar jika membawa Hatim sekali. Dan diberi amaran agar tidak cuba mencari kediaman lain.

Tidak diganggu? Siapa pula yang mengambil kesempatan ke atasku tempoh hari? Siapa yang begitu selamba merapatkan jurang setiap kali bertentang mata hingga membuat aku sukar bernafas bebas?

Setiap saat hubungan ini diteruskan, setiap detik itu juga aku berdepan dengan bahaya. Bila-bila masa sahaja dia boleh bertindak melampaui batas.

Bukan aku tidak lihat sendiri keinginan yang beralun tertulis di sepasang mata hitam dia. Biarpun dia cuba mengawal diri, aku tetap dapat menangkap semua itu.

Sekilas pandang pun aku dapat membaca tarikan yang wujud di antara aku dan dia. Dan dia punya hak untuk melunaskan keinginan itu jika dia mahu. Sedangkan aku tidak punya daya untuk menghalang.

"Kenapa? Dia ada buat apa-apa kat kau ke?" soal Widad menjongket kening.

Aku mendengus halus. Nampak benar hobi suka bergosip Widad belum pudar.

"Dia buat apa kat kau? Jangan cakap dia tidur dengan kau," tebak Widad cuba mengorek rahsia.

Aku mengunci bibir rapat. Tidak berminat untuk bercerita tentang hal bilik tidur. Lagi-lagi melibatkan lelaki itu.

"Did he kiss you?" teka Widad tidak berputus asa. Melebar senyuman Widad memikirkan kemungkinan itu. Kubalas dengan jelingan tajam.

"He did!" ucap Widad teruja. Mata bersinar galak memandangku seperti aku spesis terancam.

"So, what?" bidasku geram. Kalaupun benar, kenapa perlu teruja begitu.

"Dia tak pernah mulakan dulu sebelum ni. Setiap kali kau yang..."

"Shut up!" bentakku. Tidak rela mendengar tentang kebodohan masa lalu.

Aku bingkas bangun. Mahu kembali ke bilik. Secara tak langsung menghalau Widad pulang.

"Nak lari mana?" soal Widad separuh bersenda.

"Diamlah kau!"

"Tak hairan pun kalau tiba-tiba dia berminat dengan kau," tutur Widad mematikan langkahku.

"Sebelum ni kau macam perempuan terdesak. Lelaki macam dia mungkin tak suka perempuan yang..."

"Kenapa kau tak halang aku?" potongku pantas.

Dahi bertaut rapat membayangkan diri yang tanpa silu menggoda seorang lelaki. Sukar untuk kukaitkan imej itu dengan diriku.

Aku yang tidak pernah melayan lelaki, jauh sekali untuk berkasih, tiba-tiba sahaja bertukar menjadi seorang penggoda. Lawak jenis apakah ini?

"Dah berbuih mulut aku, Qis. Kau terdesak. Keadaan mendesak kau jadi macam tu. Sebab kau tak nak perempuan tu dapat semuanya. Kau berubah sebab kau hilang tempat bergantung. Mama kau baru pergi waktu tu. Kau..."

Kata-kata Widad seterusnya tidak tembus ke pendengaran. Kaki lebih dulu melangkah laju ke bilik. Tidak sudi mendengar realiti sebenar.

"Mama," seruku lirih.

Kehilangan mama rupanya membuat aku hilang arah. Memilih jalan salah. Membuat aku terdesak untuk membuktikan kewujudanku.

Stupid. So stupid!   

Apa yang cuba kubuktikan sebenarnya? Yang aku mampu merampas lelaki yang diingini perempuan plastik itu? Atau mahu lelaki veteran itu sedar tentang kewujudan anak bongsunya?

Tawa sinis terletus di bibir. Bergema memenuhi ruang bilik. Mempersendakan diri yang cuba hidup bermotifkan orang lain.

Sepatutnya bukan itu yang kulakukan. Hidup biar untuk diri. Tidak perlu membuktikan apa-apa pada sesiapa. Tidak perlu merampas sesuatu yang bukan milikku.

Jalan di hadapan mata terlalu luas. Dan aku memilih untuk memilih jalan menyeksa diri. Jika diri dipanggil bodoh, tiada siapa boleh kusalahkan.

"You're so stupid." Bibir terus menghamun diri. Memberi peringatan agar perkara yang sama tidak akan berulang kembali.

Biarkan KulupaWhere stories live. Discover now