"Ayah tengok Kinah dah banyak berubah sekarang. Dulu tak suka merayap. Sekarang ni ayah tengok pantang ada peluang, tahu-tahu dah lesap."
Mata menyorot pakaian yang tersarung di tubuh Sakinah. Seakan tidak percaya anak yang dulunya mengharamkan pemakaian singkat dan terdedah kini telah menjadikan pakaian itu sebagai persalinan harian.
"Ayah macam tengah bercakap dengan diri sendiri aje tu."
"Kinah..." Tajam mata Sufandi merenung Sakinah. Namun sedikit pun tidak berjaya menggugat keberanian gadis itu.
"Kinah berubah sebab ayah. Ayah macam dah lupa ada orang lain yang masih hidup kat dalam rumah ni," sambung Sakinah lagi.
"Jangan ubah topik. Kinah adalah topik utama perbincangan kita."
Tergeleng-geleng kepala Sakinah. Itulah yang selalu terjadi. Dia tidak pernah diberi peluang meluah rasa. Dia hanya boleh mendengar. Tak boleh melontarkan pendapat atau meluahkan segala rasa yang terpendam. Mungkin Sufandi lupa Sakinah sudah 21 tahun. Sakinah mahu dilayan seperti seorang remaja. Remaja yang perlukan perhatian. Lebih-lebih lagi dengan pemergian insan tersayang beberapa bulan yang lalu. Pastinya kehidupan Sakinah terlalu sunyi tanpa perhatian seorang ayah.
"Ayah tak benarkan Kinah keluar malam ni. "
"Ala, Kinah dah janji dengan kawan. "
"Kalau nak jumpa sangat suruh aje kawan tu lepak kat sini. Sufandi yang sedia berdiri di pintu utama mengunci pintu. Kunci rumah di simpan di dalam kocek seluar.
"Huh! Sakinah mendengus tanda protes."
Kuat dia menghenyak punggung di sofa bertentangan dengan Sufandi. Wajahnya keruh berserta tangan yang berpeluk tubuh. Entah apa mimpi ayahnya nak berehat-rehat pula di rumah malam ini. Selalunya Sufandi akan sibuk dengan urusan kerja sehingga lewat malam. Punyalah sibuk seakan lupa kewujudan Sakinah.
"Maafkan ayah Kinah. Ayah tahu Kinah sunyi. Ayah tak marah kalau sekali-sekala Kinah nak keluar jumpa kawan-kawan. Tapi kenapa perlu sampai larut malam? Tengok pakaian tu."
Sakinah buat-buat tak dengar. Alat kawalan jauh televisyen dicapai. Dengan sekali tekan terpancar gambar di skrin televisyen berlayar lebar. Satu demi satu siaran ditukar. Namun tak ada satu pun yang menarik minat Sakinah. Televisyen senyap semula. Sakinah sudah bersedia untuk meninggalkan Sufandi di ruang tamu.
"Nak ke mana pula tu?" tanya Sufandi.
"Kinah nak masuk bilik. Tidur," jawab Sakinah malas.
"Hmm, tiba-tiba mengantuk pula ya? Nampak sangat yang ayah ni dah tak penting untuk Kinah, kan?"
"Tak, ayah nak Kinah buat apa sebenarnya?" Sakinah bercekak pinggang. Pedih telinga terpaksa menadah sindiran Sufandi sejak tadi.
"Ayah nak Kinah duduk situ. Kita berbincang dari hati ke hati. Beritahu ayah kenapa anak kesayangan ayah ni dah berubah? Dah tak macam Sakinah yang ayah ada sebelum mak Kinah meninggal."
"Ayah tanyalah diri ayah sendiri. Kinah dah cakap tadi, kan? Semua ni sebab ayah. Ayah tak hiraukan Kinah sejak mak meninggal. Kalau ayah boleh cari cara untuk hilangkan kesedihan, Kinah pun pandai juga. Tapi cara Kinah tak adalah sampai usung betina ke sana ke mari."
Mencerlang mata Sufandi. Nampaknya Sakinah dah tahu sesuatu yang belum sempat dia umumkan. Nak marah, rasa tak patut pula dia buat begitu. Nak beri penjelasan, dia yakin dalam keadaan emosi masing-masing yang tidak stabil sekarang pasti sukar untuk dia dan Kinah berfikir secara rasional.

ANDA SEDANG MEMBACA
GALAU
Non-FictionMemadam sejarah silam tidak semudah membuang kotoran di belacu usang. Makin dihindar makin mendekat. Mungkin hanya maut yang mampu menghalau segala musibat