Tiada sesiapa di ruang tamu. Sejak makan malam tadi masing-masing melakukan aktiviti sendiri di dalam bilik. Sakinah mengusap perut. Menyesal pula berkurung di dalam bilik sejak siang tadi. Bukan menyombong tetapi dia malu. Malu dengan sikap jengkel diri sendiri. Malu kerana telah menyusahkan Pak Udanya sekeluarga. Malu kerana bersikap dingin terhadap Auni.
"Laparnya..." Sakinah ke dapur. Senyap-senyap dia mencari sesuatu yang boleh dimakan.
Tudung saji di tengah-tengah meja diangkat. Lebar senyum Sakinah melihat masih ada lebihan lauk makan malam. Tidak berlengah, dia ke sinki membasuh tangan. Di bawah cahaya suram lampu di belakang rumah Sakinah memulakan suapan. Sengaja tidak dinyalakan lampu dapur. Bimbang disedari oleh isi rumah yang lain.
"Erkkkk..." Panjang sendawa Sakinah. Tapi dia masih belum kenyang. Semua lebihan lauk yang terhidang dia letak di dalam pinggan. Dia benar-benar kebuluran. Manakan tidak? Rasa-rasanya sudah beberapa hari dia tak jumpa makanan. Jika dihitung,sejak peristiwa hitam itu dia sudah mengabaikan makan dan minumnya.
Krekkk!
"Ops!" Agak kuat pula Sakinah menolak kerusi. Sedar terlepas laku, Sakinah mengemas meja dengan penuh hati-hati. Air di sinki juga dia buka seperlahan mungkin supaya bunyinya tidak kedengaran.
"Kinah..."
Sakinah menoleh laju.
"Argh! Hantu!!!" Terlepas pinggan di tangan. Mujur jatuh di dalam sinki. Sakinah menutup muka dengan kedua-dua tangan. Dia menyangkung rapat ketakutan.
"Mak Udalah Kinah. Ya rabbi!Kinah buat apa tu?"
Perlahan-lahan Sakinah merenggangkan tekupan tangan. Dapur dah terang-benderang. Spontan dia mengurut dada kelegaan. Dia berdiri semula dan sambung membilas pinggan.
"Mak Uda bertelekung malam-malam ni buat apa?" tanya Sakinah. Tak berani menentang mata Lydia. Segan kerana dia berseluar pendek.
"Mak Uda baru selesai solat sunat. Terdengar bunyi kat dapur. Kinah lapar ke? Lauk Mak Uda ada tinggalkan kat bawah tudung saji."
"Dah licin pun. Terima kasih Mak Uda. Sedap Mak Uda masak," puji Sakinah ikhlas.
"Subhanallah. Terima kasih. Kenyang tak?"
"Kenyang sangat Mak Uda." Sakinah senyum. Tapi masih melarikan pandangan dari Lydia. Dia mengeringkan tangan. Rasa canggung diperhatikan Lydia sejak tadi.
"Kinah, mari duduk sekejap. Mak Uda nak berbual sikit dengan Kinah boleh kan?" Lembut tutur kata Lydia. Tidak tergamak pula Sakinah nak membantah. Dia turutkan sahaja bila tangannya diraih untuk kembali duduk di meja makan.
"Mak Uda tahu Kinah masih segan-segan lagi kat sini."
Sakinah tunduk melihat peha sendiri. Alas meja ditarik perlahan, cuba dijadikan lapik penutup peha.
"Kinah buatlah rumah ni macam rumah sendiri. Tak perlu malu-malu. Kalau teragak nak makan apa-apa, cari ajelah barang-barang kat dapur ni. Kalau nak apa-apa, beritahu Mak Uda."
Sakinah mengangguk faham.
"Hmm, satu lagi."
"Kinah tahu. Mak Uda tak suka tengok Kinah pakai macam ni, kan?" Sakinah membuat telahan sendiri.
Tangan Sakinah yang berada di atas meja Lydia tindih dengan tangannya. "Kinah dah dewasa. Tentu akan rasa tak selesa Pak Uda tegur cara Kinah berpakaian, kan? Lagi pun sebelum ni Kinah dah cantik bertudung. Mak Uda rasa pasti ada sebab kenapa Kinah pakai macam ni, kan? Dan..."
Lydia merapatkan diri. Bahu Sakinah dipeluk. "Mak Uda rasa pasti akan ada sebab juga untuk Kinah menjadi seperti dulu."
"Huh! Sebab apa pulak?" Sakinah cuba menjauhkan diri. Tetapi Lydia masih memeluk erat bahunya.
YOU ARE READING
GALAU
Não FicçãoMemadam sejarah silam tidak semudah membuang kotoran di belacu usang. Makin dihindar makin mendekat. Mungkin hanya maut yang mampu menghalau segala musibat