GALAU BAB 19

1K 15 2
                                    

KISAH GALAU AKAN DIHENTIKAN SEHINGGA BAB 20. LAYARI FB YINYEEN SEKARANG. DAPATKAN NOVEL GALAU  SEKIRANYA BERMINAT UNTUK MENGETAHUI PENAMAT KISAH SAKINAH.

"Silakan sayang..."

Huzir bukakan pintu kereta untuk Sakinah.

"Terima kasih, ujar Sakinah perlahan. Sungguh pun bibir mengulum senyum namun hatinya sedang berdetak dengan kuat.

"Abang masih tinggal kat sini?" tanya Sakinah. Perasan cuak tidak dapat disembunyikan dari raut wajah.

"Buat masa ni, rumah teres ni aje yang abang mampu. Inshaa Allah kalau ada rezeki, abang cari banglo pula untuk sayang."

Sakinah senyum kelat. Kata-kata Huzir masih belum dapat meredakan ritma jantungnya yang semakin kuat berdetak. Kaki bagai dirantai untuk turut mengikut Huzir masuk ke rumah.

"Perempuan cina yang selalu datang tu..."

"Dia dah tak ada kena-mengena dalam hidup abang lagi. Sekarang abang cuma ada sayang. Tak ada perempuan lain lagi yang layak masuk ke rumah ni selain sayang."

Kata-kata Huzir ikhlas. Namun Sakinah membalas dengan juihan. Mujurlah keadaan sekeliling agak gelap. Kalau Huzir melihat wajah sinis Sakinah pasti dia pula yang tersinggung nanti.

Liar mata Sakinah melihat keadaan sekeliling.Tidak berapa lama dahulu dia pernah berada di sini. Kini dia berada di sini lagi. Namun keadaannya cukup berbeza. Bersama status yang berlainan, sebagai isteri Huzir.

"Assalamualaikum." Huzir lebih dahulu memberi salam.

Semua suis lampu ditekan. Rumah yang sudah beberapa hari bergelap terang-benderang dengan simbahan cahaya lampu di segenap ruang.

"Tak nak masuk ke Puan Aisyatul Sakinah?" Huzir luaskan bukaan daun pintu utama.

Sakinah senyum takut-takut. Teringat kali pertama dia dibawa ke mari. Saat kaki memijak lantai mata terus terarah ke tangga yang menuju ke tingkat atas. Tak semena-mena tubuhnya menggigil. Kuat pegangannya di tombol pintu. Mencari kekuatan untuk terus masuk bersama Huzir sebagai pasangan suami isteri.

"Nak minum apa-apa tak?" tanya Huzir. Seakan faham kegusaran Sakinah di saat ini.

"Tak apalah. Tak haus," jawab Sakinah.

"Kalau nak minum, ambil kat dapur ya. Abang nak simpan beg-beg ni kejap."

Huzir tinggalkan Sakinah yang masih tegak berdiri di tengah-tengah ruang tamu. Tangga didaki satu demi satu menuju ke tingkat atas. Namun matanya dapat melihat kecanggungan Sakinah di bawah sana. Huzir berhenti di tengah-tengah tangga. Sengaja nak memerhatikan tingkah Sakinah.

"Ehem! Ehem!"

Sakinah menoleh laju. Huzir senyum. Lucu pula melihat wajah kalut Sakinah. Sengaja dia berdeham kuat untuk menarik perhatian isteri yang belum disentuh itu.

"Rumah ni dah jadi rumah sayang juga. Tak perlulah nak takut-takut. Buatlah apa sayang nak buat."

Sakinah senyum kelat mendengar kata-kata Huzir. Dia bukan takut. Cuma teringat peristiwa pahit yang memang sukar nak dilupakan melainkan dia nyanyuk atau hilang akal.

"Ke mana abang nak bawa beg-beg Kinah tu?" tanya Sakinah. Baru perasan barang-barang peribadinya sudah diangkut oleh Huzir.

"Abang nak bawa masuk ke biliklah. Abang dah siapkan almari baru untuk sayang. Sayang rehatlah dulu. Biar abang kemaskan barang-barang sayang." Huzir sambung mendaki tangga.

"Eh, kejap!" Sakinah berkejar mendaki tangga. Seakan faham apa yang ingin Sakinah lakukan, Huzir bergegas masuk ke bilik bersama beg-beg pakaian Sakinah.

GALAUTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang