http://novelkisahbenar.wasap.my KLIK DI SINI UNTUK TERUS BERURUSAN DENGAN SAYA
"KAU RASA-RASA DIA KENAL KITA TAK?"
"Sampai mati pun dia takkan kenallah. Memang dia tak pengsan. Tapi dia tengah high. Mana larat nak melawan."
"Kenapalah kau lempang dia tadi? Dah macam gomol pokok getah aje tau. Tak best langsung! Biarlah dia melawan. Baru rasa ada cabaran sikit. Lagipun kita ramai, kan?"
"Eleh! Sekarang baru nak cakap tak best? Yang tadi tu apa? Berapa round kau tala budak Kinah tu?"
Berderai tawa Huzir dan kawan-kawan. Seronok betul masing-masing bersarapan di warung hujung kampung pagi ini. Seakan sedang meraikan kejayaan. Kejayaan menghancurkan masa depan seorang gadis. Kepuasan jelas terpancar di wajah Huzir, Enal, Basir dan Darus. Terbalas juga dendam mereka terhadap gadis yang mereka gelar Merpati Liar itu. Sudah lama mereka perhatikan Sakinah. Cubaan untuk merapati gadis itu juga sudah berkali-kali dibuat. Namun apa yang mereka dapat hanyalah maki-hamun. Akhirnya ini sahaja cara yang dapat mereka fikirkan untuk menundukkan ego Sakinah. Tidak peduli walau sudah mengetahui Sakinah adalah jiran sekampung. Apa yang penting adalah untuk menyedarkan Sakinah. Biar gadis itu tahu tak ke mana pun perangai bodoh sombongnya itu.
"Eh! Kalau dia report polis macam mana?" tanya Basir. Suara direndahkan. Bimbang didengari oleh pengunjung warung yang lain.
"Dia takkan berani punya. Mana ada bukti." Laju Darus menukas.
"DNA?" Basir masih sangsi.
Bungkam seketika perbualan antara mereka. Enal dan Huzir menggeleng-geleng bersama senyum sinis. Diikuti dengan tawa yang berdekah-dekah. Semakin lama semakin kuat. Lucu benar melihat wajah kalut Basir dan Darus.
"Kenapa kau orang berdua tak fikir benda-benda ni sebelum kerjakan budak Sakinah tu? Dah hilang sedap baru nak menggelabah? Apa daaa..."
Enal menunjal kepala Basir. Terbatuk-batuk Huzir melihat Basir diperlakukan begitu. Darus yang masih belum mengerti menjongket bahu. Sungguh dia pun tidak tahu apa-apa. Apa yang mereka lakukan malam tadi merupakan pengalaman pertama dalam hidupnya sebagai seorang anak jantan.
"Jangan risaulah. Dia takkan berani buka mulut dengan sesiapa pun waima bapak dia. Betina tu yang cari pasal. Siapa suruh dia goda kita, kan? Cuba pakai elok-elok. Tak dedah sana sini. Kita cuma nak berkawan. Tapi dia menyombong tak tentu pasal. Macam tu aje cara nak mengajar bohsia sombong tu."
Kata-kata Enal disambut dengan anggukan rakan-rakannya yang lain. Cukup mudah mereka lepas tangan. Tiada sekelumit pun rasa bersalah dan berdosa di dalam hati hitam masing-masing.
"Apa-apa pun aku ada ucapan khas untuk kau orang bertiga dan diri sendiri." Huzir berdiri tegak. Tenungan serius disorot ke mata sekutu-sekutu setianya
"Selamat pengantin baru!"
"Yeah! Semoga bahagia hingga ke anak cucu." Agak serentak Basir, Enal dan Darus memberi ucapan kepada diri sendiri. Cawan masing-masing dilagakan tanda selamat.
Siapa sangka rancangan untuk menghabiskan cuti tahunan masing-masing di kampung memberikan pengalaman yang cukup berharga. Walaupun ada di antara mereka yang sememangnya menjadikan hubungan bebas sebagai amalan hidup di bandar namun apa yang berlaku malam tadi adalah satu-satunya pencapaian terbesar bagi budak kampung yang berpendidikan tinggi seperti mereka berempat. Dari sekadar rancangan nakal bertukar menjadi rancangan jahat. Niat untuk mengusik Sakinah bertukar menjadi dendam. Tercabar kejantanan masing-masing apabila dengan beraninya gadis genit itu memperlekehkan kewibawaan mereka berempat.
YOU ARE READING
GALAU
Non-FictionMemadam sejarah silam tidak semudah membuang kotoran di belacu usang. Makin dihindar makin mendekat. Mungkin hanya maut yang mampu menghalau segala musibat