"Betul ke kau tak salah tengok Zir?"
"Aku bukannya buta huruf Enal. Kan aku dah cakap aku hantar dia sampai ke rumah. Semak-samun kat kiri kanan rumah dia tu pun masih ada." Huzir mendengus kasar. Bosan disoal berkali-kali.
"Kita orang bukannya tak percaya Zir. Tapi, kebetulan ni macam dirancang-rancang pulak." Enal menyampuk. Parut di tangan kanan yang baru tertanggal kulit keringnya beberapa minggu lalu dia usap perlahan. Parut itu ditinggalkan oleh Sakinah sebelum Enal melempang gadis itu sehingga pengsan.
"Mustahil dia kenal aku. Dia pengsan masa kita buat kerja tu, kan?" Tak tahu kepada siapa Huzir tujukan soalan itu. Apa yang pasti Enal, Basir dan Darus mengangguk serentak mengiakan kata-katanya.
Semua diam. Suasana restoran mamak yang agak sibuk langsung tidak berjaya mengusir gundah di hati. Makanan pilihan masing-masing yang sudah lama terhidang pun masih belum bersentuh. Hilang selera makan Enal, Darus dan Basir sebaik sahaja Huzir mengkhabarkan berita mengejut itu.
Andai dihitung bulan dan hari, sudah beberapa bulan juga mereka berempat tidak pulang ke kampung. Bukan takut tembelang pecah. Masing-masing sibuk dengan kerja. Hanya gajet canggih yang menjadi penghubung dengan orang tua di kampung. Kecuali Huzir yang baru sahaja pulang menghantar Sakinah. Itu pun cuma sekejap. Ibu dan abahnya pun langsung tidak tahu.
"Ah, tak ada apa yang nak dirisaukanlah. Budak dalam perut dia pun dah tak ada, kan?" Enal menyedut laju nescafe ais sambil mata melihat kawan-kawan yang lain.
"Memanglah dah tak ada. Tapi aku rasa tak sedap hati. Kalau kau orang tengok dia, memang kau orang akan rasa apa yang aku rasa sekarang." Huzir menolak gelas berisi teh o ais yang sudah cair aisnya ke tengah meja.
"Rasa apa? Hish! Kau jangan cakap yang kau dah jatuh cinta pula dengan dia Zir."
Tak semena-mena kata-kata Darus disambut dengan tawa terbahak-bahak Basir dan Enal. Huzir menggenggam buku lima. Bibir terkemam menahan geram. Mengecil anak mata merenung Darus.
"Kau jangan buat lawak bodoh boleh tak? Aku tengah susah hati ni." Huzir menghentak meja.
Kawan-kawan Huzir yang bertiga itu kembali serius.
"Tak kena dengan kau orang bolehlah perli-perli aku. Benda sedap nak share ramai-ramai. Sekarang aku pula yang kena hadap benda sedap yang dah basi tu. Macam ni ke kawan?" Huzir menyambung bebelan.
Enal mendaratkan tangan di bahu Huzir. Tangannya ditepis kasar. Basir yang duduk bertentangan dengan mereka berdua menggeleng, tidak setuju dengan cara Enal memujuk Huzir. Cerek air yang sedang panas jangan disentuh. Bimbang akan melecurkan tangan sendiri pula nanti.
"Apa lagi yang kita orang nak cakap Zir? Nak mengaku depan budak tu, apa nama dia tadi?"
"Sakinah!" Huzir menempelak. Senang sangat Enal melupakan nama itu. Tidak semudah Huzir. Sehingga ke saat ini wajah dan nama Sakinah masih berlegar-legar di fikiran.
"Ha, Sakinah. Hmm, nama sedap. Yang tu pun sedappp..." Enal menyorot pandangan kepada Darus dan Basir. Mohon sokongan untuk menyertai usaha untuk mengembalikan ketenangan Huzir. Tetapi mereka berdua hanya senyum kelat, tidak berani bersuara mahupun memberikan sebarang reaksi.
Tajam tenungan mata Huzir. Enal mengangkat dua tangan tanda maaf. Dia sekadar ingin mengendurkan suasana yang tegang sejak tadi.
"Lagi sekali kau sebut benda-benda tak senonoh tu aku bagi kau dengan ini." Huzir menayang buku lima yang tergenggam sejak tadi.
"Sejak kau hantar dia balik kampung, dia ada contact kau lagi tak Zir?" Darus cuba mengalihkan perhatian Huzir. Untung-untung ada jalan untuk menyelesaikan kekusutan yang belum terungkai.
YOU ARE READING
GALAU
Non-FictionMemadam sejarah silam tidak semudah membuang kotoran di belacu usang. Makin dihindar makin mendekat. Mungkin hanya maut yang mampu menghalau segala musibat