GALAU BAB 18

1K 17 1
                                    

Sepuluh jemari yang merah berinai Sakinah tenung lama.

Seperti tidak percaya dia sudah bergelar isteri. Tangan yang sejuk kesan bersentuhan dengan Huzir ketika majlis membatalkan air sembahyang tadi masih belum hilang kedinginannya. Laci meja kecil di tepi katil ditarik. Botol-botol berisi ubat penenang diambil. Dia bangun dan membawa botol-botol itu ke bilik air. Habis semua isi botol itu dibuang ke dalam lubang jamban.

"Selamat tinggal..."

Bersama senyum lebar dia tekan butang flush. Berbiji-biji ubat penenang yang dibuang tadi hilang bersama pusaran air tandas yang dipam. Sakinah sudah berjanji pada diri sendiri untuk tidak bergantung harap dengan ubat penenang lagi.

"Kinah..."

Terdengar Huzir memanggil di luar. Kelam-kabut Sakinah membuang botol-botol ubat ke dalam tong sampah. Tangan dicuci dengan pantas. Huzir sudah tiada di dalam bilik ketika Sakinah keluar dari bilik air.

"Betul ke dia panggil tadi?" Sakinah bercekak pinggang. Rasa-rasanya dia tak salah dengar. Keadaan bilik diamati. Pintu bilik bertutup rapat. Tiada pula tanda-tanda ada orang masuk.

"Hmm, betullah aku salah dengar kot." Sakinah mengalah. Ada baiknya dia mandi sekarang sebelum Huzir benar-benar masuk ke bilik sebentar nanti.

Veil labuh ditanggalkan. Jarum-jarum yang melekat di tudung Sakinah cabut dan letak di dalam bekas jarum. Dibawanya veil yang baru ditanggalkan ke almari. Busana pengantin yang tersarung juga perlu ditanggalkan sebelum dipulangkan semula ke butik pengantin.

Elok-elok sahaja pintu almari dibuka...

"Haaa!"

Huzir muncul di celahan pakaian yang bergantungan. Tubuh Sakinah didukung tanpa sempat gadis itu berbuat apa-apa. Huzir ketawa senang. Tidak peduli dengan veil yang terlepas dari tangan Sakinah. Suka benar dia melihat Sakinah yang tergamam.

"Turunkan saya Huzir," pinta Sakinah. Tak tahu mana nak diarah pandangan mata. Malu memang terserlah di wajah yang merona merah.

"Haip! Apa pula Huzir? A..bang."

Sakinah ketap bibir. Tangan yang berpaut di bahu Huzir ditarik rapat ke dada sendiri.

"Cepatlah sebut. A...bang." Huzir mengemaskan lagi dukungannya.

"Turunkan saya dulu boleh tak?" Pinta Sakinah sekali lagi. Tangan menolak dada Huzir yang semakin rapat. Badan sudah menggigil menahan seram sejuk. Terbayang apa yang bakal berlaku selanjutnya nanti.

"Panggil saya abang dulu. Baru saya turunkan awak. Itu pun bergantung pada cara awak panggil saya." Huzir masih tidak mahu mengalah.

Sakinah menarik nafas dalam-dalam. Beri peluang pada diri sendiri Kinah. Dia suami kau. Bukan jantan-jantan yang telah merosakkan kau dulu.

Kata hati Sakinah cuba memujuk. Namun ayat terakhir telah membuatkan Sakinah berubah tingkah. Tak semena-mena dia meronta kuat.

"Lepaslah!" Sakinah mengherdik.

Dukungan terlepas. Giliran Huzir pula terperanjat. Tak sangka Sakinah akan mengherdik sebegitu.

"Tolong jangan paksa saya buat perkara yang saya belum sedia," ujar Sakinah tegas. Perlahan-lahan dia berundur menjauhi Huzir.

Hilang senyum di wajah Huzir. Baru sedar yang dia sudah terlepas laku. Sepatutnya dia lebih peka dengan keadaan Sakinah. Tetapi dia tidak ada niat lain. Cuma ingin bergurau.

"Maaf. Abang tak ada maksud apa-apa. Tak apalah kalau Kinah belum bersedia nak panggil abang."

Sakinah tunduk merenung lantai. Curi-curi pandang juga pada Huzir. Wajah garang semakin hilang dan berganti dengan wajah takut. Tidak dipedulikan Huzir yang berlalu masuk ke bilik air. Tubuhnya melurut ke lantai sebaik sahaja pintu bilik air tertutup rapat.

GALAUWhere stories live. Discover now