Sejak subuh tadi Sakinah hanya keluar dari bilik untuk bersarapan sahaja. Itu pun hanya sekejap. Atas alasan mengaji dan membaca tafsir Al quran, Sakinah masuk semula ke bilik lebih awal. Namun sejak dia selesai melakukan solat Duha tadi, apa sahaja yang dia lakukan jadi serba tak kena.
"Ya Allah, kenapa aku yang kena tanggung semua ni?" Sakinah meramas rambut sendiri sekuat hati. Walaupun perit dia tidak peduli. Kerana hatinya lebih terseksa di saat ini. Ubat penenang juga tidak mampu mengurangkan kerisauan Sakinah.
"Aku baru nak jadi baik, tapi budak ni... hish!" Sakinah mendesah lagi. Perut yang beralas baju kurung ditumbuk-tumbuk. Tak cukup dengan menumbuk dia menghenyak-henyak punggung sekuat hati di atas katil. Andai dia mengalami pendarahan pun dia sanggup menghadapinya. Asalkan penghuni yang tidak diundang di dalam rahimnya itu dapat dikeluarkan.
"Aku ni memang tak layak jadi budak baik agaknya." Sakinah menghempas kepala ke bantal. Namun beberapa saat kemudian dia bangun menuju ke almari pakaian.
Sehelai demi sehelai pakaian dikeluarkan dari almari. Sehelai t-shirt bergetah dicapai. Senget-benget mulut Sakinah meneliti pakaian rasminya satu ketika dahulu. Tak lama mana pun lagi baju-baju sendat dan tak cukup kain itu dia tinggalkan. Baru beberapa bulan Sakinah berjinak-jinak dengan pakaian yang menutup aurat. Kegiatan hariannya juga kini lebih banyak terisi dengan aktiviti-aktiviti yang berunsur keagamaan. Apa yang dia lakukan sekarang sedikit sebanyak telah berjaya mengurangkan kemurungan Sakinah. Kecuali yang satu ini.
"Hmm, muat lagi ke tidak baju-baju ni?" Sakinah bersoal-jawab sendiri.
Baju kurung dilepaskan dari tubuh lalu dia menyarung t-shirt berwarna merah menyala itu. Dia mengadap cermin muka setinggi tubuh sendiri. Serta-merta mata mencerlang. Bentuk perut yang disorokkan selama beberapa bulan ini jelas kelihatan.
"Sial!" Tak semena-mena Sakinah membentak. T-shirt yang bagaikan sarung nangka itu ditarik-tarik sehingga menjadi cebisan kain.
"Mampuslah cepat! Mampuslah! Mampuslah!!!" Sakinah menumbuk-numbuk perut sendiri.
Dia berlari semula ke katil dan menyembam muka ke bantal. Sakinah tidak mahu sesiapa pun terdengar raungannya. Selagi rahsia boleh disimpan selagi itulah dia tidak akan buka mulut. Dia serik. Buat masa ini dia hanya percaya kepada diri sendiri sahaja.
"Lebih baik aku mati dari aku simpan kau. Matilah! Jangan menyusahkan hidup aku."
Airmata diseka. Mungkin ada cara lain untuk membuang bayi durjana yang semakin membesar di dalam rahim Sakinah. Bersama niat yang satu itu dia kembali menyarung baju kurung dan siap bertudung. Beg yang selalu dibawa untuk ke kelas mengaji diambil. Dia keluar dari bilik dan menuju ke bilik Auni. Gadis itu harus dimaklumkan terlebih dahulu. Sakinah tidak mahu kehilangannya disedari lebih awal.
"Eh, nak ke mana ni?" soal Auni sebaik sahaja melihat Sakinah di depan pintu bilik.
"Kinah nak pergi pejabat. Baru teringat ada kerja yang belum siap." Begitu mudah dia berbohong
"Lah, pergi esok ajelah." Auni cuba menahan.
"Besok buat kerja lain pula. Lagi pun Kinah ingat nak tidur kat sana malam ni. Ustazah Ramziela ada buat qiamulail, kan?" Sakinah cuba mereka cerita untuk melepaskan diri.
"Tak ada pula abah cakap pasal tu..." Auni masih sangsi.
"Ada. Auni lupa agaknya. Auni nak ikut tak?" Tergagap-gagap Sakinah mengajak Auni. Itu bukannya pelawaan yang ikhlas. Jauh di lubuk hati Sakinah mengharapkan Auni menolak pelawaannya.
"Alahai Kinah. Minta maaf banyak-banyak. Auni rasa kurang sihatlah. Period pain. Auni uzur. Baru aje kena tadi. Tapi kalau Kinah nak guna kereta ambillah kunci kereta kat tempat kunci."

ANDA SEDANG MEMBACA
GALAU
Não FicçãoMemadam sejarah silam tidak semudah membuang kotoran di belacu usang. Makin dihindar makin mendekat. Mungkin hanya maut yang mampu menghalau segala musibat