"Buat apa lagi kat dalam bilik tu sayang oi? Kita dah lambat ni."
Sufandi melihat jam Casio yang terlilit di tangan. Masih ada masa lagi untuk mereka ke lapangan terbang. Mereka sudah bersedia untuk terbang ke Brunei. Bekerja sambil berbulan madu. Itulah untungnya bila sama-sama bekerja di bawah satu bumbung.
"Kamsiah!"
"Ya, ya saya datanglah ni." Terkocoh-kocoh Kamsiah keluar dari dapur. Agak mencuka juga wajahnya.
"Saya tengah check suis-suis lampu dan pluglah. Abang bukannya nak tolong Kam. Asyik menggesa aje dari tadi. Kamsiah merungut.
"Abang dah checklah tadi." Sufandi cuba bela diri.
"Habis tak abang check? Kam masuk bilik Kinah, suis water heater tak bertutup. Kepala gas kat dapur tak bercabut. Check apa macam tu?" Kamsiah mengerling geram. Menonong dia berjalan menuju ke kereta. Tak kuasa melihat sengihan Sufandi. Dia kenal benar lelaki itu. Dari seorang bos hingga dah jadi suami, susah nak mengaku kesilapan sendiri.
"Bismillahirahmanirrahim..." Sufandi menutup pintu kereta. Tangan terlebih dahulu mendarat di atas peha Kamsiah. Isteri yang masih jengkel itu menepis perlahan tangan Sufandi. Mungkin tersinggung dijerit-jeritkan tadi.
"Ala, janganlah buat muka macam tu sayang. Kita nak berjalan jauh ni." Jemari Kamsiah diraih. Sedar dia dah tersilap. Tapi dasar ego lelaki. Rasanya perkataan MAAF tu tak perlu diungkapkan selalu agaknya. Sebab itulah perkataan keramat itu terlalu sukar keluar dari mulut Sufandi.
"Abang ni kan, dari zaman saya jadi setiausaha abang sampailah dah jadi isteri. Bila dah buat salah, susah betul abang nak minta maaf. Cuba ringan-ringankan sikit mulut tu minta maaf. Tak jatuh pun maruah abang bila sebut perkataan tu."
Perlahan-lahan Sufandi melepaskan tangan. Batang gear ditarik ke D. Pemanduan dimulakan. Hanya senyum kelat sahaja yang dia pamerkan buat Kamsiah.
"Abang ni tak pandai nak romantik-romantik Kam. Cukuplah Kam tahu yang abang sayang kat Kam. Sebut ajelah apa yang Kam nak. Selagi abang mampu inshaa Allah abang akan adakan."
Kereta berhenti sekejap sebaik sahaja melepasi pintu pagar. Kamsiah keluar untuk mengunci pintu pagar. Sebal hati dengan kata-kata Sufandi. Pasti beginilah yang Sakinah rasakan. Mana dengan kesunyian ditinggal berseorangan. Ditambah pula dengan sikap Sufandi yang suka mendominasi semua perkara. Kamsiah yang lebih matang dari Sakinah pun hampir hilang sabar, apatah lagi dengan gadis semuda Sakinah. Kalau tak betul-betul boleh mengalami tekanan perasaan.
"Hmm, sabar ajelah Kam. Safura dah bagi amaran awal-awal dulu, kan..." Kamsiah memujuk diri sendiri. Rasa bengang cuba dibuang jauh-jauh. Dia masuk semula ke dalam kereta dengan senyum manis. Harap-harap mood bercuti muncul semula seperti sebelum-sebelum ini.
"Astaghfirullahalazim... Bila kenanya tu Uda?" Sufandi sedang bercakap di telefon ketika Kamsiah menghenyak punggung di sebelahnya.
"Kinah kena sawan malam tadi." Perlahan suara Sufandi melaporkan kepada Kamsiah yang kelihatan tertanya-tanya.
"Ya Allah! Teruk tak bang?"
Sufandi menjongket bahu. Dia sentuh skrin di bahagian loud speaker dan telefon dia letak di atas getah dashboard. Biar Kamsiah dengar sekali suara Subran.
"Keadaan Kinah tak teruk mana pun. Doktor ada cadangkan Sakinah masuk wad. Tapi Kinah sendiri yang tak nak." Subran menjelaskan di dalam talian.
"Budak Kinah tu memang degil Uda. Kau jangan ikutkan sangat kata dia tu."
YOU ARE READING
GALAU
Non-FictionMemadam sejarah silam tidak semudah membuang kotoran di belacu usang. Makin dihindar makin mendekat. Mungkin hanya maut yang mampu menghalau segala musibat