GALAU Part 2

3.3K 20 3
                                    

Sakinah menyalakan api rokok. Dia terbatuk-batuk. Agak lama juga dia mengambil masa untuk membiasakan diri dengan benda yang nampak sinonim dengan kaum lelaki ini. Sekarang baru dia faham kenapa susah sangat perokok-perokok di luar sana nak menghentikan tabiat buruk ini. Penangannya pada percubaan pertama memang agak memeningkan kepala. Kali kedua dicuba, barulah keseronokan tiba. Lebih-lebih lagi bila digiat oleh rakan-rakan yang lain.

Sakinah meninjau halaman rumah melalui tingkap bilik. Kereta Sufandi tiada di dalam garaj. Bersama rokok yang terkepit di tangan Sakinah turun ke ruang tamu. Bilik Sufandi dijenguk. Gelap.

"Huh! Tak bagi aku keluar merayap. Dia sendiri dah macam ulat bulu. Itu kalau dah bertukar jadi rama-rama tua memang langsung lupa jalan balik ke rumah." Kuat dengusan Sakinah di saat dia menutup semula pintu bilik utama.

Disedut lagi rokok yang tinggal separuh. Televisyen dihidupkan sebelum dia berbaring di sofa panjang. Telefon pintar dikeluarkan. Sebelum jemari menari-nari di skrin mata Sakinah terpandangkan pelakon lelaki di skrin televisyen. Fikiran terus menerawang ke insiden semalan di saat melihat pelakon lelaki itu melakonkan babak di dalam pusat hiburan.

"Siapa jantan tu ya?" Sakinah berteka-teki sendiri.

Dari senyum meleret bertukar menjadi tawa mengekek. Memutar semula cerita Fifi siang tadi membuatkan tawa yang ingin surut tercetus lagi. Tak sangka dia menjadi seberani itu. Entah apalah yang lelaki itu rasa selepas dimalukan oleh Sakinah.

"Padan muka!" Puntung rokok ditenyeh ke dalam bekas abu rokok kepunyaan Sufandi. Tidak perlu risau. Setakat dua tiga batang Sufandi takkan perasan Sakinah merokok. Sementelahan lagi Sakinah yang akan membersihkan bekas abu rokok itu nanti.

Telefon pintar Sakinah berbunyi. Senyum yang sudah reda meleret kembali.

"Helo mak cik, dah membuta ke?" Fifi yang lebih dulu menyapa di dalam talian.

"Apa barang tidur awal-awal ni beb? Aku tengah tengok tv lah," balas Sakinah.

"Hek eleh! Apa barang tengok tv. Jom keluar. Aku bosanlah duduk rumah."

"Malaslah. Kepala aku ting tong lagi ni." Spontan jemari Sakinah mengurut dahi. Dia tidak berbohong. Sememangnya kepala rasa tidak selesa sejak dia bangkit tengahari tadi. Tak pasti pula samada terlebih tidur atau kesan jajan yang ditelan semalam.

"Ala, jomlah beb! Kita ronda-ronda aje." Fifi masih berusaha memujuk.

"Hmm.. " Sakinah mula berkira-kira. Kalau setakat meronda-ronda dengan kereta, rasa-rasanya tiada masalah. Dia juga sedang kebosanan. Tiada rancangan televisyen yang menarik minatnya untuk terus menonton.

"Lagi setengah jam kau datang ambil aku."

"Yes! Macam tu lah kawan. Setengah jam lagi aku sampai." Riang suara Fifi di sebelah sana.

"Ronda-ronda aje tau. Aku malas nak lepak mana-mana malam ni." Sakinah mengingatkan.

"Tak apa. Kita ronda-ronda aje dulu. Kalau ada plan kita cakap kat dalam kereta nanti. Setengah jam lagi tau. Bye."

Terherot bibir melihat skrin telefon pintar. Pandai betul Fifi. Dia tamatkan perbualan sebelum Sakinah sempat membidas.

"Assalamualaikum." Pintu utama terbuka. Sufandi muncul.

"Walaikummussalam." Walaupun agak tergamam Sakinah cuba berlagak tenang. Dikerling bekas abu rokok. Agak lega kerana asap rokok sudah tidak kelihatan.

"Kinah dah makan?" tanya Sufandi lembut.

"Diet." Pendek jawapan Sakinah. Dia tahu Sufandi sekadar berbasa-basi. Tak semudah itu Sakinah dapat melupakan pertengkaran kecil yang berlaku semalam. Tak tahulah dengan Sufandi. Mungkin apa yang berlaku sana tidak memberi kesan pada dirinya.

GALAUWhere stories live. Discover now