Lembik rasa kepala lutut. Masuk kali ini sudah lima kali Huzir muntah. Pandangan juga berpinar-pinar. Apa sahaja yang masuk ke dalam perut pasti akan terkeluar balik. Tekak tidak mahu menerima sebarang makanan. Denyutan di kepala masih tidak surut malah makin kuat sejak awal pagi tadi.
"Apa kena dengan aku ni?" Keluhan berat dilepaskan. Lenguh-lenguh segala sendi akibat berulang kali keluar masuk tandas.
Huzir cuba melelapkan mata. Namun memikirkan timbunan kerja yang menanti di meja pejabat, Huzir kuatkan hati untuk bangkit dari sofa. Kasar henyakan punggung di kerusi menampung berat tubuh Huzir yang tidak bermaya. Fail-fail yang masih belum habis dibaca dia tenung sambil memicit-micit dahi sendiri.
"Encik Huzir, jangan lupa sesi interview hari ni. Pukul 2 petang." Interkom di hujung meja mengeluarkan suara setiausaha Huzir yang berada di luar sana.
"Huzir..."
"Ya, ya I dengar!" Huzir separuh menjerit. Butang interkom dilepas kasar.
Barisan ayat dari fail proposal yang belum habis disemak Huzir baca sebaris demi sebaris. Rasa loya yang datang semula cuba ditahan. Pandangan semakin lama semakin kabur dan berpinar-pinar semula.
"Argh!" Huzir menolak fail dan bingkas berlari keluar dari bilik.
"Huzir.. " Tercengang Cecilia melihat Huzir yang kelam-kabut berlari sambil menekup mulut. Dia turuti Huzir hingga ke tandas. Pintu tandas yang tidak sempat ditutup memudahkan Cecilia melihat apa yang berlaku.
"You tak sihat ke?" Cecilia bertanya. Ibu jari dan jari telunjuk mengepit hidung, menghalang bau muntah hasil lambakan isi perut Huzir masuk ke rongga pernafasan.
Huzir tidak mampu menjawab. Dia masih mengadap mangkuk tandas. Huluran tisu dari Cecilia diambil lemah. Kepala semakin berat. Hampir-hampir sahaja dia rebah. Mujur Cecilia lebih pantas menarik tangan Huzir lalu diampu ke bahu. Dengan sekuat tenaga yang dia ada, Huzir di bawa semula ke bilik.
"Tolong cancel semua meeting hari ni Lia," arah Huzir ketika dibaringkan ke sofa panjang.
"Kalau you tak suruh pun memang itulah yang I akan buat. You tak boleh bekerja dalam keadaan ni," ujar Cecilia.
Butang baju Huzir di bahagian atas dibuka. Cecilia keluar ke ruang kerjanya dan kembali bersama dua biji panadol dan segelas air kosong. Sambil Huzir menelan ubat dia sapukan minyak angin ke dada lelaki itu. Tidak seperti selalu, tiada tindak balas nakal dari Huzir. Ternyata bos merangkap kekasih gelap setiausaha berbangsa Cina itu benar-benar tidak sihat.
"Bagi sini." Botol minyak angin diambil. Laju tenyehan Huzir ke hidung sendiri. Terpejam mata menyedut aroma serai wangi dan kayu putih yang berangin itu. Dahi juga di sapu minyak angin. Makin lega rasa rongga hidung.
"Jom pergi klinik. Risau pula I tengok you macam ni," ujar Cecilia.
"Tak naklah. I nak balik."
"Takkan nak balik dalam keadaan macam ni."
"Hantar I balik, please. I tak larat nak drive.
"Ya, I boleh hantar. Tapi kita pergi klinik dulu."
"Diamlah! I kata hantar I balik. Itu pun susah nak faham ke?" Terjegil mata Huzir.
Cecilia mendengus kasar.Tersinggung dengan perbuatan Huzir, dia bangun dan cuba menjauhi Huzir. Namun tangannya sempat diraih dan dia terduduk di atas peha Huzir.
"Sorry babe. I betul-betul tak larat ni. You dah bagi ubat tadi, kan? Hantar I balik dulu. Nanti kalau tak okey baru I pergi klinik." Huzir berlembut. Susahlah kalau gadis itu merajuk nanti. Dialah pekerja, dialah penglipur lara. Mujurlah setiausaha yang sudah berkhidmat selama 2 tahun itu akur. Kalau tidak mahu terlantar keseoranganlah Huzir di situ sepanjang hari.
YOU ARE READING
GALAU
Non-FictionMemadam sejarah silam tidak semudah membuang kotoran di belacu usang. Makin dihindar makin mendekat. Mungkin hanya maut yang mampu menghalau segala musibat