Sakinah tak salah tengok.
Betul, kereta ayahnya berada di perkarangan rumah Subran. Lebar senyumnya ketika menarik brek tangan. Hubungan anak-beranak yang kembali jernih berjaya mengembalikan perasaan rindu Sakinah terhadap ayah dan ibu tirinya. Kedatangan mereka langsung tidak dijangka. Tetapi cukup menggembirakan hati Sakinah.
"Assalamualaikum." Salam diberi. Laju dia menanggalkan kasut. Saat melangkah masuk, mata Sakinah mencari dua insan. Bagaikan anak kecil, dia berlari mendapatkan Kamsiah yang sudah berdiri di tepi meja makan.
Ibu! Tangan wanita itu dikucup lalu mereka berpelukan.
"Ya Allah, seronoknya tengok ibu dan ayah. Bila sampai ni?" Sakinah dapatkan Sufandi pula. Selepas tangan lelaki itu dikucup, tanpa segan tubuh Sufandi dipeluk dari belakang. Sufandi senyum senang melihat keletah Sakinah. Rasa dihargai pula bila Sakinah menyambut mereka berdua sebegitu rupa.
"Dia orang baru aje sampai. Air pun tak habis minum lagi tu." Lydia yang memerhati dari tadi mencelah. Dia juga senang hati melihat perubahan keluarga Sufandi. Tidak seperti pertama kali Sakinah ditinggalkan di sini.
"Baru balik kerja ke?" tanya Sufandi. Tangannya masih digenggam Sakinah yang mengambil tempat di antara dia dan Kamsiah. Betul-betul bagai anak manja yang kerinduan.
"Kinah habis kerja pukul 4.30. Tadi singgah kat pusat tahfiz. Saja belikan barang-barang sikit untuk budak-budak kat sana."
"Terima kasih Kinah. Susah-susah aje Kinah ni," ujar Subran. Walaupun sudah tidak bekerja dengan Subran, Sakinah tidak pernah lupa untuk menziarahi anak-anak di sana. Pantang ada kelapangan pasti dia ke pusat tahfiz dan rumah perlindungan kepunyaan Subran. Samada mengajak Auni makan tengahari bersama atau menghabiskan waktu rehatnya di situ.
"Tak susah mana pun Pak Uda. Kinah guna duit yang ayah kirim," ujar Sakinah. Sakinah menyeringai suka tatkala melihat wajah terkejut Sufandi.
"Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ayah tahu duit ayah tu digunakan ke jalan yang betul. Macam tu lah anak ayah." Bangga Sufandi mencelah. Tangan anak gadis kesayangan ditepuk-tepuk mesra.
Sakinah senyum senang. Dia menoleh pada Kamsiah yang senyap dari tadi. Bagai ada sesuatu yang mahu ibu tirinya perkatakan.
"Ibu sihat?" tanya Sakinah.
"Alhamdulillah. Sihat sangat. Bertambah sihat bila dapat tengok Kinah ceria macam ni. Abang, rasa-rasanya mesti makin ceria anak dara kita ni lepas dengar berita yang kita nak sampaikan ni, kan?" Kamsiah menggerak-gerakkan kening.
Subran dan Lydia ketawa. Sakinah juga turut tertawa. Namun ada kerutan di dahi. Tidak berapa faham dengan maksud kata-kata Kamsiah.
"Berita apa tu?" Akhirnya Sakinah buka mulut. Tak pandai dia nak meneka-neka.
"Ni." Kamsiah mengunjukkan bekas cincin yang siap terbuka kepada Sakinah.
Kening semakin berkerut. Sakinah mengambil bekas cincin itu lalu ditenung lama. Rasa-rasanya dia tahu siapakah gerangan si pemberi cincin. Seseorang yang tidak pernah kenal erti putus asa sejak mereka ditemukan semula. Seseorang yang tidak pernah kenal erti bosan untuk cuba memenangi hatinya walau terpaksa berhujan berpanas di depan tempat kerja Sakinah sepanjang hari. Seseorang yang tidak henti-henti memberikan keyakinan pada Sakinah tentang kehidupan baru.
"Keluarga Huzir ke ibu?" Sakinah meneka. Wajah yang ceria tadi semakin pudar.
"Hmm, betul tak abang cakap tadi Uda? Kinah ni memang pandai berahsia. Macam mak dia juga. Mujurlah abang kenal keluarga Huzir tu. Kalau tidak memang dah lama abang tolak mentah-mentah. Bertuah betul budak ni. Dah ada teman istimewa pun tak nak cerita kat ayah," ujar Sufandi. Tiada nada keras kali ini. Cuma kepalanya sahaja yang tergeleng-geleng bersama senyum senang.
YOU ARE READING
GALAU
SachbücherMemadam sejarah silam tidak semudah membuang kotoran di belacu usang. Makin dihindar makin mendekat. Mungkin hanya maut yang mampu menghalau segala musibat