GALAU BAB 9

1.4K 14 1
                                    

Auni melihat botol-botol ubat kepunyaan Sakinah. Puas hati, dia serahkan kembali botol-botol ubat anti depresi itu. Sakinah menyambut tanpa reaksi. Dia tersandar lesu. Tidak pernah terjangkau di benaknya akan menjejakkan kaki di bilik konsultansi pakar psikiatris hari ini.

"Makan ubat tu seperti yang disyorkan aje tau. Jangan terlebih pula." Auni cuba berseloroh.

"Terima kasih Auni," ucap Sakinah perlahan. Botol-botol ubat dia simpan ke dalam beg selepang.

Ada sedikit kelegaan selepas dia meluahkan hampir kesemua masalah dan tekanan yang dihadapi selama ini. Segala nasihat dan pandangan pakar psikiatris Sakinah terima dengan baik. Cuma yang satu itu sahaja yang belum mampu diluahkan. Sakinah bimbang kisah dia dirogol beramai-ramai akan tersebar hingga ke pengetahuan umum. Lebih menakutkan apabila memikirkan dia bakal berhadapan dengan pelbagai siasatan sekiranya perkara ini dilaporkan kepada pihak polis. Maruah yang sedia tercalar pasti akan bertambah tercemar.

"Next appointment Kinah bila?" tanya Auni sambil mengenakan tali pinggang keledar.

"Bulan depan. Pendek jawapan Sakinah. "Kalau Auni sibuk Kinah boleh pergi sendiri," sambung Sakinah lagi.

"Inshaa Allah, tak sibuk rasanya. Auni boleh minta cuti awal dengan abah."

"Tapi Auni dah janji takkan ceritakan hal ni pada sesiapa. Pak Uda mesti akan syak sesuatu kalau Auni ambil cuti. Tak apa, Kinah boleh pergi sendiri."

"Tak apa. Inshaa Allah Auni boleh temankan." Auni masih bertegas. Tetapi masih dengan nada yang lembut.

"Jangan layan aku macam budak-budak boleh tak? Aku kata boleh pergi sendiri, kan?" Tak semena-mena hilang sifat tenang Sakinah. Terjegil matanya memarahi Auni. Dia masih belum berjaya mengawal emosi.

Auni angkat kedua-dua tangan tanda mengalah. Dia memulakan pemanduan tanpa sebarang kata. Orang tengah marah tak elok dilayan berbual. Dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan. Dia hanya memegang amanah Subran. Sakinah sudah dititipkan kepadanya untuk diperhatikan dan tidak dibiarkan sendirian. Bukan untuk mengawal pergerakan Sakinah. Tetapi sekadar meyakinkan gadis itu yang dia tidak berseorangan.

"Nak ke mana ni?" Sakinah bertanya setelah agak lama mendiamkan diri. Baru perasan jalan yang mereka lalui bukan menuju ke rumah Subran.

"Auni nak ke pusat tahfiz kejap. Tadi abah ada call. Dia minta Auni bawa Kinah ke sana."

"Pusat tahfiz? Pakai macam ni ke?" Sakinah menarik hujung baju yang tersarung di tubuh. Auni menoleh. Baju dah okey, berlengan panjang. Pandangan Auni naik ke kepala Sakinah. Spontan dia menepuk dahi sendiri. Baru perasan Sakinah tidak bertudung. Bukan dia tidak meminjamkan tudung sendiri pada Sakinah. Koleksi tudung Auni semuanya labuh-labuh. Tak ada yang menepati citarasa Sakinah.

"Astaghfirullahalazim..maaf Kinah. Okey, kita pergi beli tudung dulu ya. Petang-petang sikitlah baru kita jumpa abah kat sana."

Sakinah tidak menjawab. Ikutkan hati dia mahu bersendirian sahaja di dalam bilik. Tetapi tidak tergamak pula nak menyinggung hati sepupunya. Mulai sekarang dia perlu belajar mengawal emosi. Hanya dengan cara itu sahaja dapat mengurangkan tekanan yang mengganggu fikirannya.

"Kinah nak pakai tudung macam Auni atau yang biasa-biasa aje?"

"Apa-apa ajelah." Sakinah menjawab malas. Harap-harap dengan cara itu Auni tahu dia tidak berminat nak ke mana-mana melainkan pulang ke rumah.

"Kita pergi sekejap aje. Lagipun abah kata ada penghuni baru mendaftar masuk ke sana. Auni nak uruskan pendaftaran dia."

Sakinah mengangguk tanpa sepatah kata. Dia berpeluk tubuh dan membuang pandang ke luar tingkap. Mata terpaku ke arah seorang wanita bersama anaknya yang berada di perhentian bas. Kereta yang berhenti di lampu isyarat merah memberi peluang kepada Sakinah untuk terus memerhatikan perlakuan wanita itu. Cara dia melayan anaknya yang mungkin dalam lingkungan umur 2 tahun lebih itu menyentuh hati Sakinah. Walaupun anak kecil yang comel itu agak aktif dan lincah ibunya kelihatan amat sabar mengekorinya ke sana ke mari. Sesekali anak itu didukung bagi mengelakkan dia berlari ke jalanraya.

GALAUWhere stories live. Discover now