"Kenapa tak hubungi saya lagi?"
"Tak ada kepentingan pun. Buat apa saya nak ganggu encik?"
Huzir senyum kelat. Betul juga cakap Sakinah. Urusan mereka selesai sebaik sahaja Huzir menghantar Sakinah pulang ke rumah orang tuanya. Itu bagi Sakinah. Tidak bagi Huzir. Urusan mereka berdua masih panjang. Bukan setakat mereka berdua. Kawan-kawan Huzir pun terlibat sama.
"Dah lama ke kerja kat sini?" Huzir melihat-lihat sekilas persekitaran kedai percetakan itu. Terlalu kecil kalau nak dibandingkan dengan pejabatnya. Rasa-rasanya Sakinah lebih layak bekerja di tempat Huzir berbanding kedai percetakan yang baru nak hidup ini.
Kebetulan yang tidak dirancang ini sangat bermakna bagi Huzir. Entah kenapa hatinya tergerak untuk menempah sendiri kad perniagaannya hari ini. Selalunya hal-hal begini Cecilia yang akan lakukan. Memandangkan gadis itu bercuti panjang, maka terpaksalah Huzir turun padang. Tak sangka rezeki berpihak padanya. Bagaikan mimpi tatkala melihat Sakinah di sini.
"Encik nak apa?" tanya Sakinah tanpa menjawab soalan Huzir tadi.
"Okey, kita selesaikan hal kerja dulu. Saya nak tempah business card."
Tanpa suara Sakinah mengambil album koleksi sampel kad-kad perniagaan. Dia letakkan di depan Huzir.
"Encik pilih dulu sampel yang encik nak. Nanti panggil saya." Sakinah beredar ke meja kerja.
Tangan menyelak helaian album. Tetapi lensa mata Huzir leka memerhatikan Sakinah. Gelaran formal yang Sakinah gunakan tadi Huzir mengandaikan gadis itu cuba menghindarinya. Huzir tunduk membelek album apabila Sakinah menoleh. Untuk beberapa ketika dia pura-pura leka mencari sampel yang sesuai untuk kad perniagaan yang ingin ditempah. Dia tidak mahu Sakinah menyedari dirinya diperhatikan.
"Tak ada yang berkenan ke encik?"
Huzir mendongak. Dia menggeleng seraya menegakkan duduk. Berkali-kali dia berdeham untuk menghilangkan rasa gugup. Tidak perasan sudah berapa lama Sakinah berdiri di situ. Wajah serius gadis itu makin menyukarkan mulut Huzir menyusun kata-kata.
"Maaf. Itu sahaja sampel yang kami ada. Mungkin encik boleh ke kedai seberang jalan sana. Kedai tu lagi banyak contoh-contoh business card." Sakinah mengambil album di atas meja. Tiada senyum, dia pergi ke pintu.
"Err, di sini tak ada pereka grafik ke? Kalau saya nak buat design sendiri tak boleh ke?" Huzir mencari alasan untuk berada lebih lama di situ.
Sakinah menutup semula pintu kedai yang diperbuat daripada kaca itu. Dia ke meja kerja. Sehelai kertas putih ditarik dari dalam laci. Tanpa pelawaan, Huzir menarik kerusi di depan meja Sakinah. Dia sudah bersedia untuk melakarkan sesuatu di atas kertas yang dihulur Sakinah.
"Saya nak design macam ni. Kalau boleh buat, letakkan semua maklumat yang saya bagi tu."
Sakinah melihat kertas lakaran yang Huzir buat sebentar tadi. Kesempatan yang ada Huzir gunakan untuk menatap wajah polos gadis itu. Ada perasaan halus yang sedang menjalar di hati lelakinya. Tak semena-mena perasaan sayu menyinggah. Teringat kesalahan besar yang telah dia lakukan terhadap Sakinah.
"Saya nak berkawan dengan awak boleh tak?"
Hanya anak mata sahaja Sakinah gerakkan. Wajahnya serius merenung Huzir.
"Kita belum sempat nak kenal betul-betul lagi sejak hari pertama jumpa, kan?" Huzir memberanikan diri untuk mencuba lagi.
Sakinah tidak menjawab. Kertas lakaran dia letak di meja sebelum berpeluk tubuh.
YOU ARE READING
GALAU
Non-FictionMemadam sejarah silam tidak semudah membuang kotoran di belacu usang. Makin dihindar makin mendekat. Mungkin hanya maut yang mampu menghalau segala musibat