DAPATKAN NOVEL GALAU UNTUK MENGETAHUI PENAMAT KISAH SAKINAH. LAYARI FB YINYEEN UNTUK URUSAN PEMBELIAN. TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGIKUTI KISAH SAKINAH DI SINI.
Hari ni genap dua bulan Huzir dan Sakinah bergelar suami isteri.
Selama itulah mereka bagaikan orang asing di rumah sendiri. Sakinah masih seperti hari pertama Huzir dinobatkan sebagai suaminya yang sah. Pantang berdua di dalam bilik, Sakinah bagaikan cacing kepanasan. Melihat Huzir tidak berbaju pun dia sudah menjauhkan diri. Sehingga saat Huzir mengaturkan pertemuan dengan Basir, Sakinah masih belum berjaya disentuh. Malah makin sukar untuk didekati.
Namun segala keperluan makan dan pakai Huzir tidak pernah diabaikan. Tanggungjawab lain Sakinah lakukan dengan baik. Kecuali tuntutan batiniah Huzir. Keperluan yang satu ini memang akan ditolak sekeras-kerasnya.
"Biar betul kau ni Huzir. Takkanlah dia langsung tak bagi kau sentuh?"
Huzir mengangguk lemah.
"Dah macam-macam aku buat. Bawa dia candle light dinner. Pergi bercuti. Ikut dia pergi usrah. Sama-sama buat kerja rumah dengan dia. Semua aku dah buat. Depan orang dia nampak okey. Siang-siang hari kat rumah pun dia nampak relaks aje. Tapi bila muncul aje malam, dia mengasingkan diri. Pantang nampak kelibat aku dia akan lari. Dah macam nampak pencuri." Huzir meluah rasa.
"Hish! Macam tak percaya pulak aku. Kau kan Mat Romeo. Takkanlah perempuan macam tu pun kau tak dapat tundukkan?"
Tak semena-mena Huzir merenung tajam. Laju gerakan rahang menahan geram. "Perempuan macam tu? Apa maksud kau?"
"Yang macam tu lah. Ala, kau pun tahu dia macam mana dulu, kan?" Kening Basir bergoyang-goyang bersama senyum sinis. Mustahillah Huzir tidak faham apa yang dia maksudkan.
"Aku ajak jumpa ni untuk bincang masalah aku. Bukannya nak dengar kau menghina isteri aku Basir. Eee, ringannya rasa tangan aku ni." Huzir mengepal penumbuk. Cepat-cepat Basir menjarakkan diri. Kalau Huzir meluruskan tangan memang tepat buku lima kawan baiknya itu ke muka sendiri.
"Sorrylah..." Basir beralah.
"Okey sekarang ni kau nak buat macam mana? Takkan selamanya kau nak melayan trauma dia tu. Tak pun cuba kau bawa dia pergi berubat." Basir memberi usul.
Cadangan Basir Huzir tolak mentah-mentah. Berubat? Isterinya bukan sakit. Dia cuma mengalami tekanan. Sekarang dia perlukan pertolongan Basir dan rakan-rakan yang lain untuk mengembalikan keyakinan Sakinah.
"Sebenarnya kan, kau ni tengah membahayakan diri sendiri tau tak?" Basir buka mulut. Bosan pula melihat Huzir yang cemberut dari tadi.
"Apa maksud kau?" tanya Huzir.
"Kau tak terfikir ke keadaan akan bertambah buruk kalau dia tahu siapa kau yang sebenar?"
"Aku memang nak dia tahu. Tapi bukan dalam masa terdekat ni." Dengan yakin Huzir menjawab. Membulat mata Basir. Tidak faham apa yang sedang Huzir rencanakan.
Dulu ketika Huzir menghantar kad jemputan, tak ada yang tidak terkejut apabila melihat nama pengantin perempuan. Selain Basir, kawan-kawan yang lain mula menjauhkan diri. Seakan mahu cuci tangan. Huzir buat kerja gila. Itu yang mereka katakan sebaik sahaja menerima jemputan itu. Namun demi semangat setiakawan mereka turut sama-sama meraikan majlis perkahwinan Huzir dan Sakinah. Walaupun masing-masing tidak lama berada di dalam majlis. Semua ada alasan tersendiri untuk tidak melihat wajah Sakinah. Tebal rasa bersalah, namun tebal lagi ego mereka berempat untuk mengaku perbuatan biadap dan tidak bermoral yang telah mereka lakukan.
"Aku ikhlas memperisterikan dia Basir. Dulu lepas kehilangan dia sekejap, aku dah bertekad nak berubah. Aku belajar-belajar dekatkan diri dengan tikar sejadah. Aku memang dah berniat nak jadikan dia makmum aku. Sekarang ni aku cuba menjinak-jinakkan diri dengan surau pula. Mungkin da sampai masanya aku tinggalkan benda-benda lagha ni, kan?"

ANDA SEDANG MEMBACA
GALAU
Literatura FaktuMemadam sejarah silam tidak semudah membuang kotoran di belacu usang. Makin dihindar makin mendekat. Mungkin hanya maut yang mampu menghalau segala musibat