GALAU BAB 12

1K 19 3
                                    

"Saya Huzir."

"Panggil Kinah aje."

Berkerut kening Huzir. Nama itu sama dengan seseorang. Seseorang yang pernah dia jahanamkan beramai-ramai.

Ah! Bukan betina tu sorang ada nama macam tu.

Fikiran Huzir menyanggah andaian sendiri. Stereng kereta tergenggam kemas. Berkali-kali Huzir menggeleng. Sengaja menguji samada kepalanya masih mengalami pening-pening atau tidak. Menghairankan, sejak kemalangan yang tidak disengajakan petang tadi rasa mual, loya dan petang-petang langsung lenyap. Huzir cuma kepenatan. Itu pun sebab ke sana ke mari mencari klinik yang dapat menunaikan kehendak Sakinah.

"Awak hantarkan saya ke mana-mana surau atau masjid yang ada dekat-dekat sini," arah Sakinah.

"Awak nak bermalam kat masjid? Dalam keadaan awak macam ni? Kalau jadi apa-apa nanti siapa nak tolong?" Bertalu-talu soalan Huzir ajukan.

"Saya berada di bumi Allah. Ke mana pun saya pergi DIA tetap ada menjaga saya."

Spontan Huzir ketawa. Makin lama makin berdekah-dekah. Sakinah menoleh. Huzir ditenung tajam. Namun tawa lelaki itu seakan sukar untuk surut.

"Jangan acah-acah alim dalam keadaan sekarang ni boleh tak?" Huzir berubah serius.

"Awak fikir awak tengah buat program kembara bermusafir ke? Awak sedar tak yang awak tu perempuan? Betul, awak nak bermalam dalam masjid. Tapi awak fikir tempat tu seratus peratus selamat ke?" Makin panjang pula bebelan Huzir. Entah mengapa dia rasa perlu bertanggungjawab terhadap Sakinah. Selepas apa yang mereka lalui sejak siang tadi Huzir merasakan adalah amat tidak wajar membiarkan Sakinah berseorangan malam ini.

"Kalau macam tu hantar saya ke hotel." Pantas dan tegas arahan Sakinah.

"Lagilah tak boleh. Awak tu baru makan ubat. Kalau awak pengsan sorang-sorang kat dalam bilik hotel tu nanti macam mana?"

Sakinah mendengus kasar. Ada benarnya juga kata-kata Huzir. Dia mati akal. Ikutkan hati mahu sahaja menentang kata-kata Huzir. Tapi Sakinah tahu dia pasti akan kalah.

"Takkanlah awak tak kenal sesiapa langsung kat sini?" Kali ini Huzir lebih berlembut. Risau juga kalau-kalau Sakinah mengamuk secara tiba-tiba pula nanti. Dia tahu tinggi tekanannya bagi seorang gadis yang menghadapi keadaan ini bersendirian.

"Kalau ada pun saya tak nak dia orang tengok saya dalam keadaan macam ni. Sebab itulah saya nak duduk kat masjid. Pagi-pagi esok saya keluarlah dari situ."

Huzir meraup muka berkali-kali. Kusut juga memikirkan masalah Sakinah. Hanya satu jalan sahaja yang dia nampak. Tetapi dia diamkan dahulu rancangan yang terlintas di kepala.

"Saya nak isi minyak. Nak ke tandas tak?" tanya Huzir ketika kereta masuk ke stesen minyak.

Sakinah mengangguk. Sebaik sahaja kereta berhenti, dia yang lebih dahulu turun.

"Hati-hati." Sempat lagi Huzir menitip pesan.

Sakinah hanya menoleh sekilas. Sedar diperhatikan, dia melangkah lebih perlahan dari tadi. Dia sendiri pun sedang menahan ngilu. Mungkin kesan ubat yang dimakan semakin menampakkan kesan. Masuk sahaja ke tandas, nombor Auni didail.

"Assalamualaikum Kinah. Ya ALLAH, Kinah kat mana ni? Abah kata dia tak nampak pun Kinah kat sekolah."

Sakinah senyum. Faham Auni sedang risau. Mungkin Subran dan Lydia juga sedang kalut mencarinya.

"Waalaikummussalam. Kinah ada kat dalam bas ni Auni. Kinah nak balik jenguk ayah. Tiba-tiba rindu pulak kat dia." Dengan lancarnya Sakinah berbohong. Hanya itu sahaja modal yang terlintas di kepala ketika ini.

GALAUWhere stories live. Discover now