GALAU BAB 14

1K 15 2
                                    



Lama Sakinah merenung nama yang tertulis di batu nisan.

Tanah yang masih merah dibasahkan dengan sebotol air yang dibawa bersama. Walaupun masih tidak percaya dengan apa yang dia lihat, Sakinah tahu itulah hakikat yang sedang terbentang di depan mata.

"Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kau Fifi," ucap Sakinah perlahan.

Tidak ada airmata yang mengalir. Bukannya dia tidak sedih. Perasaannya lebih kepada gerun. Gerun memikirkan dosa-dosa yang pernah dia dan Fifi lakukan sebelum ini. Namun masih terdetik rasa bersyukur. Ternyata ada hikmah di sebalik musibah yang berlaku pada dirinya. Andai dia terus hanyut bersama Fifi dulu mungkin dia juga menjadi penghuni liang lahad bersebelahan Fifi.

"Astaghfirulah hal azim..." Berulang kali Sakinah beristighfar. Tidak sanggup membayangkan keadaan Fifi ketika menghadapi sakaratul maut. Gadis itu diberitakan telah mengambil pil khayal yang berlebihan. Dia ditinggalkan sendirian di dalam kereta di tempat letak kereta berhadapan kelab malam yang menjadi tempat wajib mereka berlibur dulu.

"Ya ALLAH ampunkan dosa-dosa Fifi." Tak puas-puas lagi Sakinah berdoa untuk Arwah sahabat baiknya. Walaupun satu masa dahulu Fifi lepas tangan dan Sakinah dibiarkan sendirian menangani masalah yang dihadapi, dalam keadaan begini bagi Sakinah sudah tidak ada gunanya untuk bermusuh. Sekurang-kurangnya Sakinah masih ada peluang untuk berubah.

"Dah siap ke Kinah?" Seseorang menyapa Sakinah. Bahunya disentuh lembut.

"Dah ibu. Jomlah." Sakinah senyum dan menyambut huluran tangan Kamsiah. Mereka jalan beriringan keluar dari kawasan tanah perkuburan.

Hubungan antara Kamsiah dan Sakinah yang dulunya keruh kini beransur jernih. Semuanya bermula pada hari Sakinah dihantar pulang oleh Huzir. Rahsia yang ditutup terhidu juga oleh Kamsiah. Melihat keadaan Sakinah yang pucat lesi dan tiba-tiba sahaja muncul membuatkan nalurinya kuat mengatakan ada sesuatu yang buruk telah berlaku pada gadis itu. Tanpa prejudis, Kamsiah dengan rela hati menjaga Sakinah. Beberapa hari kemudian dengan sendirinya Sakinah buka mulut. Segala yang terjadi diceritakan kepada Kamsiah. Penerimaan positif Kamsiah membuatkan kepercayaan dan keyakinan Sakinah terhadap ibu tirinya itu semakin tinggi.

"Kinah jadi ke balik ke KL hari ni?" tanya Kamsiah ketika kereta bergerak meninggalkan kawasan perkuburan.

"Inshaa Allah jadi. Dua hari lagi Kinah dah nak mula bekerja."

"Kinah memang tak nak bekerja dengan Pak Uda ke?" Kamsiah cuba mengorek rahsia. Dia perlu mencari sebab. Atau Sufandi akan fikir anak tunggalnya itu buat hal lagi semasa berada di rumah Subran.

"Seganlah ibu. Kinah ni bukannya baik sangat. Setakat nak pergi kelas mengaji setiap hujung minggu tu masih okey lagi. Tapi nak bekerja dalam satu pejabat dengan Pak Uda, Kinah rasa kekok. Kinah masih nak tinggal dengan Pak Uda. Cuma tak nak bekerja dengan dia aje." Panjang lebar penjelasan Sakinah.

Kamsiah faham. Sudah berkali-kali dia memujuk Sufandi supaya membenarkan Sakinah bekerja di syarikat sendiri. Tetapi susah benar Sufandi menerima perubahan Sakinah.Walaupun sudah bertudung tetapi bagi Sufandi masih banyak lagi yang hal-hal kehidupan yang Sakinah perlu belajar bersama Subran.

"Pak Uda dah tahu ke hal ni?" Kamsiah bertanya lagi. Lembut tutur katanya membuatkan Sakinah rasa selesa untuk terus berbual.

"Dah. Sebelum Kinah cari kerja lain Kinah dah minta izin Pak Uda dulu. Alhamdulillah dia faham dan dia dah izinkan. Lagipun tempat kerja tu tak jauh pun dengan rumah."

"Alhamdulillah. Eloklah macam tu. Nanti kerja elok-elok tau. Kalau rasa kerja tu tak sesuai, Kinah beritahu ibu. Nanti ibu pujuk ayah ambil Kinah bekerja dengan dia."

GALAUWhere stories live. Discover now