[ 26 ]

2.1K 63 5
                                    

Entah sudah berapa lama semua itu berlaku. Ia berlaku terlalu pantas sehingga aku sendiri rasa semua itu berlaku dalam sekelip mata. Aku saksi kebencian suami aku sendiri. Aku saksi jenazah daddy ditimbus tanah. Aku saksi Mirza dibawa pergi. Aku menjadi saksi penderitaan hidupku sendiri.

Tidak akan ada seorang pun yang faham tentang perasaan itu kecuali diri aku sendiri. Cukuplah. Aku sudah penat dengan semua permainan ini. Bahagia yang aku dapat cuma seketika, tapi derita yang banyak menyinggah.

Bukan mudah menjadi aku, Raja Nurul Elisa. Hanya kerana nama yang aku bawa sejak aku lahir, hidup aku sentiasa dirundung malang. Bukan mudah juga menjadi pengiran bini untuk seorang putera raja yang satu ketika dulu digilai ramai gadis. Bukan mudah untuk menjadi menantu dan ahli keluarga Bolkiah.

Namun semua itu aku telan, aku hadap perihnya hanya kerana satu rasa.

C.I.N.T.A

Hanya kerana cinta aku pada seorang lelaki yang bernama 'Abdul Mateen. Hanya kerana dia dan janjinya untuk setia bersamaku, aku memilih untuk mengabdikan kehidupan aku bersamanya.

Tetapi pengorbanan aku selama ini dibalas dengan dusta dan pengkhianatan. Depan mata aku sendiri, suami aku curang bersama perempuan lain. Perempuan yang mengambil kesempatan di atas goyahnya tiang bahtera aku dan Mateen. Dia menjadi badai yang datang menghempas bahtera kami dan akhirnya, bahtera yang retak itu pecah jua.

Takdir?

Aku tidak salahkan takdir. Mungkin sudah tertulis kebahagiaan aku bersama lelaki itu hanya untuk enam tahun saja. Aku redha dan aku perlu terima ketentuan Ilahi untuk aku.

Ini, satu lagi kisah duka tercatit dalam lipatan sejarahku. Akan aku simpan kemas, menjadi pegangan dan pedoman aku di masa akan datang.

*

"Lisa? Dah siap ke? Mama nak turun dulu, jumpa dekat lobi ya", kata mama lembut. Aku hanya angguk perlahan dan mengukir senyum manis untuk mama.

Hari terakhir aku dan mama di Mekah. Satu tempat yang sudah lama aku impikan untuk pergi bersama Mateen suatu ketika dulu. Kini aku pergi bersama yang halal juga, tapi hanya bersama mama dan Eddie.

Aku bersyukur dikelilingi manusia-manusia ini. Mama yang sentiasa menyokong dan abang kandung yang sentiasa memahami. Eddie tahu aku hilang jiwa tatkala aku perlu berpisah dengan anakandaku, Mirza walau Lily masih bersama aku. Selepas menanggung sakit akibat perbuatan khianat itu, aku mengambil keputusan untuk menetap di Dubai.

"Okay, ma. Nanti Lisa turun", kataku perlahan. Mama berlalu hilang di sebalik pintu hotel. Aku bangun dan menuju ke jendela. Aku melihat ribuan manusia dari Executive Suite, Hotel Al Safwa Tower Dar Al Ghufran ini. Setiap hari ribuan umat Islam datang ke tempat ini untuk beribadah, mengabdikan diri pada yang maha Esa. 

Allahu! Masih banyak rupanya khilaf aku sebagai hambaNya di muka bumi ini. Aku pernah lalai mengingatinya ketika aku senang. Dan kini, ketika jiwa aku sudah hilang, aku mencari-cari sinar kebahagiaan baru dalam kasih sayang yang Allah berikan kepada hambaNya.

Jiwa aku masih kosong, Ya Allah. Ada satu kepingan yang masih aku tidak jumpa. Aku mencari tetapi hampa. Jika Engkau tahu di mana letaknya kepingan itu, tunjukkanlah pada aku. Aku hambaMu yang lemah, aku perlukan petunjukMu untuk aku lalui lorong yang gelap ini.

Aku pejam mata lama. Itu doa aku. Semoga Tuhan makbulkan doa aku kali ini. Di tanah suci ini, aku minta ketenangan dan kebahagiaan baru yang tiada penghujung.

***

Aku menatap monumen di puncak Jabal Rahmah ini. Di sinilah tempat pertemuan semula Adam dan Hawa yang terpisah bertahun lamanya. Hanya kerana kesalahan masa lampau, mereka dibuang dari syurga Allah yang kekal abadi. Namun dengan takdir Allah juga, mereka dipertemukan di sini. 

Love You, My Prince II: Alasan Untuk BahagiaWhere stories live. Discover now