Mirza duduk di atas kabinet dapur dengan kaki digoyang ke kiri dan kanan. Di tangan, cheese tart kesukaannya. Sengaja aku buat lebih tempoh hari kerana aku tahu pastri itu yang akan dicari puteraku ini.
Sesekali aku kerling Mirza dengan ekor mata. Ralit sungguh dia menikmati cheese tart itu membuatkan aku tersenyum sendiri. Teringat memori lama semasa di Nurul Izzah. Seminggu sekali aku pasti buatkan cheese tart untuk Mirza. Semasa di St. John juga, selalu diminta. Jika ada keraian di sekolah, itu saja yang Mirza minta aku bekalkan. Cheese tart saja sudah mampu membuatkan anakadanda sulungku ini gembira.
Gulai kari ayam di dalam periuk aku kacau perlahan. Sudah empuk ayamnya. Bekas garam di tepi dapur aku capai lalu mencedok setengah sudu garam dan aku taburkan ke dalam periuk. Aku kacau perlahan supaya ayam yang sudah empuk tadi tidak hancur. Setelah aku rasa garam yang aku tabur tadi sudah larut, aku mengambil sedikit kuahnya dengan sudu dan rasa.
"Ermm... tawar. Kena tambah garam sikit lagi". Aku menggumam lalu mengambil sedikit lagi garam dan aku tabur sekali lagi di dalam periuk lalu aku kacau dengan senduk.
"Ami"
Aku menoleh, "Ya, sayang?""Ami letak apa tadi dalam periuk?", tanya Mirza. Aku mengukir senyum. Dalam ralit dia menikmati cheese tart kegemarannya, nampak juga apa aku buat dengan gulai aku ni.
"Garam", jawabku ringkas sambil menggaul perlahan kuah dan sesekali aku rasa dengan sudu.
"Untuk apa?", tanya Mirza lagi. Senduk di tangan aku letakkan di atas alasnya, api dapur aku padamkan dan aku berdiri depan Mirza."Untuk sedapkan rasa. Garam kan masin. Kalau tak letak garam, nanti kuah tawar je. Macam air kosong", jawabku lancar lalu mencuit hidung Mirza. Berkerut batang hidungnya dicuit aku. Aku berlalu ke sinki pula, mencuci segala perkakasan yang aku gunakan untuk memasak tadi. Selalunya begitulah, sudah habis masak baru aku cuci semua perkakas.
"Ohh.. tapi kenapa Ami letak garam dekat situ? Kenapa Aunty Nat letak garam dalam poket seluar dia", kata Mirza bersahaja tapi penuh tanda tanya. Aku yang asyik mencuci terhenti dan menoleh memandang Mirza.
"Mir cakap apa tadi? Aunty Nat letak garam dalam poket seluar?", tanyaku untuk memastikan aku tidak salah dengar. Tangan yang bersabun aku lalukan pada air dan menapak semula ke arah Mirza.
"Iya. Ami kan letak garam dekat situ", jawab Mirza. Bibir dijuihkan pada bekas garam yang terletak pada tepi dapur. "Tapi Mir selalu nampak Aunty Nat ambil garam dari dalam poket seluar dia, lepas tu dia masukkan dalam periuk", sambung Mirza lagi.
Berkerut-kerut dahiku cuba memahami tutur kata Mirza. Bukan kerana dia pelat. Mirza langsung tidak pelat. Tutur katanya lancar. Cuma aku keliru dengan apa yang cuba dia sampaikan kepadaku.
"Mana Mir tahu tu garam?". Sengaja aku tanya begitu meski pun aku tahu itu pasti bukan garam. Kotak memori aku mula mengimbas kembali segala perkara yang berlaku selama setahun aku menetap di St. John Palace.
Sejak Mateen tidak mahu diuruskan olehku, kerja itu diambilalih oleh Natrah walaupun itu bukan tugasan hakiki wanita itu. Segala keperluannya, makan minum dan pakainya disediakan Natrah. Aku tahu Mateen berubah kerana bencinya kepadaku. Tapi aku tidak pernah tahu perubahan sikapnya mungkin disebabkan perkara lain.
"Aunty yang cakap. Dia kata untuk tambah sedap masakan", jawab Mirza lancar. Aku masih ingin tahu. Aku berdiri rapat dengan Mirza, cuba membaca bahasa matanya. Tentu banyak yang disaksikan anakandaku ini.
"Garam tu dia letak dalam apa? Maksud Ami, bukan macam ni?", tanyaku lagi seraya mengarah jari telunjukku pada bekas garam di tepi dapur. Mirza menggeleng.
"Dalam kain kuning", ringkas jawapannya.Seraya itu aku rasakan jantungku seakan berhenti mengepam darah. Paru-paruku pula seakan berhenti mengepam oksigen. Aku menjadi kaku seketika.
Tidak mungkin! Tidak mungkin Natrah meletakkan guna-guna dalam masakannya yang dimakan Mateen hampir setiap hari.
YOU ARE READING
Love You, My Prince II: Alasan Untuk Bahagia
Romance~Sekuel Love You, My Prince~ "Promises are made to be broken" - ELISA Ribut bisa datang menggoyah bahtera. Gelora bisa menghempas tanpa mengira masa. Ketika bahagia menyulam cinta, badai datang membawa derita. Bencana yang menimpa menyebabkan bahter...