Bab 14: Demerit Pertama

972 30 8
                                    

Fiona buka mata perlahan - lahan. Tulang pipinya rasa sengal berdenyut - denyut. Matanya pula kabur kelabu. Suasana cukup dingin, bau ubat dan pencuci disinfektan segera menyedarkan Fiona, yang dia kini sedang berada di hospital.

Di hujung katilnya, Hans sedang berbicara dengan seorang doktor separuh usia. Namun tidak dapat Fiona tangkap ruas perbualannya itu. Dilihatnya Hans mengangguk berkali - kali sebelum bersalaman dengan doktor itu.

"Ha, kau dah sedar rupanya. Kau rehat dulu sini. Kawan - kawan kau ramai dah kat bawah tu." Hans membetul - betulkan selimut Fiona. Kepala Fiona yang berbalut, Hans pegang perlahan.

"Kau kenal tak sapa aku ni?" Hans dekatkan wajahnya ke wajah Fiona. Fiona mendengus.

"Kenallah." Suara Fiona serak.

"Bagus. Muka kau bengkak. Bibir pecah. Nak tergelak pulak aku tengok." Hans tiba - tiba ketawa. Fiona geram. Dalam keadaan seperti inipun Hans masih mahu mengusik dirinya.

Fiona memerhati kedua belah tangannya yang kemas berbalut. Rasa nyilu menjalar segenap tubuh.

"Terima kasih." Fiona senyum paksa. Pipinya rasa cekang dan sengal.

"Aku dah pesan jangan dekat dengan jantan tu. Kalau bukan sebab aku memancing dekat sana semalam and ternampak korang berdua, rasanya mati dah kau kena dengan babi tu." Hans menggeleng kepala. Jauh di sudut hati, kesal juga kerana Fiona terlalu degil. Sudah dipesan berkali - kali, namun pesanannya berlalu ibarat air dalam longkang.

"Mujur tak mati jantan tu aku kerjakan." Dengus Hans.

"Terima kasih." Sekali lagi Fiona ucap pada Hans, mahu lelaki itu berhenti membebel.

Ella, Linda, Suriya, Hazim dan beberapa rakan lain datang melawat dengan membawa pelbagai cenderahati.
Hazim bawa ayam goreng pedas Mc Donalds namun dua ketul besar ayam goreng itu habis dikerjakan Hans dengan sekali hadap saja.

"Budak sakit mana boleh kunyah ayam," Alasannya. Kemudian dia sambung makan fries dan nugget pula.

Jason, Naresh, Adam, Bobo, Rafid, Azie dan Syamam datang melawat lewat petang itu. Pendek kata walaupun dia tiada ahli keluarga, namun katilnya tidak pernah sunyi dengan pelawat. Malu juga dia saat dilihat dalam keadaan hodoh sebegitu.

Fiona menerima enam puluh dua jahitan di serata tangannya. Tiada keretakan tulang dan kecederaan lain. Bermakna, dua hari lagi dia sudah boleh pulang dan menyambung MC di rumah saja.

DARI awal kemasukan dan saat mendaftar keluar, semuanya ditanggung Hans, Jason dan kawan - kawan nya yang tak sampai lima orang itu.

Sedikit sebanyak, Fiona rasa sebak dan terharu sebenarnya. Bagaimana orang yang baru dikenali sanggup berkorban sebanyak ini, terutamanya Hans. Sungguh tak terbalas jasa teman - temannya di kampus ini.
--
Baki cuti sakit selama dua minggu Fiona gunakan dengan berehat di asrama saja. Ella dan Linda membantu dari segi pelajaran manakala Julia juga turut membantu di bilik.

"Fie, apa habaq agaknya lelaki yang buat Fie tu." Julia termenung sambil menyapu krim antiseptik ke luka di tangan Fiona.

"Entah Ju. Report polis dah buat. Tapi apapun dia buat, orang tak boleh charge dia. Dia tak sihat." Fiona membuat andaian. Sebenarnya, dia malas mahu perbesarkan hal ini jika melibatkan Firdaus.

Julia hanya mengangguk, wajahnya jelas rasa seriau melihat kedua belah tangan Fiona yang berjahit teruk.

"Sat lagi makan ya. Tadi Ju ada beli nasi air yang Fie suka tu." Julia senyum, kemudian dia mengemas peralatan mencuci luka lalu disimpan dalam satu bekas plastik.

HARI itu merupakan hari pertama Fiona ke kelas setelah dua minggu dia bercuti di asrama. Ramai juga yang mengerumuninya bertanya khabar, ada juga yang membelek - belek lukanya yang cuma tinggal parut itu. Peliknya, di asrama tiada pula pelawat. Dah ke kelas, ramai pula yang acah prihatin.

A diary OF A FRATBOYWhere stories live. Discover now