"Nah, gaji untuk harini.." Pak Samad menyerahkan wang sebanyak RM50 kepada Daniel. Daniel menyambut dengan hormat. Wajahnya beriak gembira kerana memperoleh gaji dari kerjanya hari ini. Tak rugi dia mengerah peluh mudanya hari ini.
"Terima kasih, Pak Samad.." Lelaki yang berusia kira-kira 50an, berbadan kurus dan bertopi hitam itu hanya mengangguk.
"Hang balik rehat cukup sat lagi. Badan sikit bukan main sado kalah aku, tapi buat kerja lebih sikit aku tengok tak larat dah. Nampak sangat hang tak besa buat kerja berat ni." Bidas Pak Samad bersahaja. Daniel tidak membalas. Benarlah apa yang dikatakan oleh orang tua itu. Dia mana biasa membuat kerja sebegini. Sekarang dia berkerja sebagai penolong menjual ikan-ikan segar di pasar basah di Sungai Lalang.
Satu pekerjaan yang tak pernah dia fikir untuk lakukan sebelum ini. Hendak tak hendak, dia terpaksa juga lakukan untuk mencari duit menyara kehidupan seharian. Sekarang dia hanya menyewa sebuah bilik kecil di sekitar bandar Sungai Petani. Dia tidak lagi tinggal di hotel bajet kerana sudah tidak mampu. Mujurlah dia berjumpa dengan Pak Samad. Orang tua itulah yang mengambil dia berkerja.
Dia mengaku orang tua itu banyak membantunya selama dia bekerja di sini. Meskipun, mulut Pak Samad agak lantang bersuara dan garang. Tak apalah, dia tidak kisah. Janji dia ada tempat mahu mencari rezeki. Dia bersyukur Pak Samad mengambil dia bekerja di sini. Mahu mencari pekerjaan yang lebih elok, dia mana bawa segala sijil-sijil dan kelulusannya. Semuanya ada di vila Tan Sri Iskandar.
Tidak sesekali dia akan pulang ke situ semata-mata mahu mengambilnya. Biarlah dia belajar hidup susah.
Daniel membalas dengan senyuman.
"Terima kasih Pak Samad. Saya minta maaf kalau saya kerja tak memuaskan hati Pak Samad. Saya janji saya akan kerja dengan penuh semangat mulai esok."
Pak Samad membalas dengan menepuk perlahan bahu Daniel.
"Takpa lah.. Benda tak biasa lagi nak buat macam mana. Ni pun dah kira bagus dah bagi orang macam hang. Sat lagi, pi kedai Mak Nah. Aku dah suruh dia simpan nasi lemak kat hang dah. Aku tau tadi hang tak makan lagi, kan?" Mak Nah tu adalah isterinya yang turut membuka gerai nasi lemak kecil berdekatan dekat pasar basah itu.
Keenakan nasi lemak isterinya sememangnya sangat sedap.
Setiap pagi, pasti jualannya akan habis. Mak Nah juga sangat baik dengan Daniel. Dilayan Daniel itu macam anaknya sendiri. Tambahan pula, beberapa tahun dulu anak mereka meninggal semasa melahirkan di hospital. Peristiwa itu memberikan tamparan hebat buat Mak Nah dan Pak Samad. Betapa bertuahnya Daniel berjumpa dengan pasangan berhati mulia ini. Daniel membalas lagi dengan senyuman.
"Terima kasih lagi, Pak Samad. Pak Samad dengan Mak Nah banyak tolong saya. Saya tak tahu macam mana nak balas budi Pak Samad dengan Mak Nah."
"Allah... Hang tak payah lah cakap macam tu. Aku ni tolong hang sebab hang dalam kesusahan. Esok lusa bila aku susah hang pula tolong aku. Lagipun, semenjak hang kerja dengan aku. Bukan main laku ikan-ikan semua ni.
Anak-anak dara pun ramai mai beli. Sebelum ni tak besa nak ada pun. Yalaa, hang pon segak ada rupa. Tu yang depa pakat mai memborong ikan-ikan aku ni. Tapi, hang jangan salah anggap aku ambil hang kerja sebab nak ambil kesempatan dekat hang. Aku tolong ikhlas." Daniel termalu dengan pujian yang dilemparkan oleh Pak Samad. Betul lah, apa yang dikatakan oleh Pak Samad. Ramai anak-anak dara dan mak dara yang ingin berbual mesra dengan. Tapi, dia hanya melayan mereka sebagai pelanggan. Tidak lebih dari itu.
"Segan saya, Pak Samad..."
"Segan apa sangat. " Pak Samad ketawa kecil. Sedang mereka berdua membersihkan tempat meletak ikan-ikan, tiba-tiba Pak Samad teringatkan sesuatu.
"Hang dah jumpa dah ka pak cik jual tasbih tu?" Daniel memberhentikan tangannya seketika.
"Belum. Tak tahu dah kat mana nak cari. Dah banyak kali saya ke pasar malam tu. Tak jumpa pula dia."
"Tak dak rezeki lagi la tu..." Pak Samad menyusun bakul-bakul yang berselerakkan. Daniel hanya tersenyum lemah.
"Tapi, esok ada pasar malam dekat area rumah hang tu. Pi la esok. Kalau ada rezeki jumpa la dia. Tu pun kalau dia meniaga dekat situ."
"Betul ke, Pak Samad?" Wajah Daniel bertukar ceria. Dia gembira mendengar perkhabaran dari orang tua itu.
"In Sha Allah.. Aku ni rasa ja. Kalau aku kenal dia, memang dah lama aku bawak hang pi jumpa dia. Takpa lah, hang cuba pi dulu tengok macam mana. Ikhtiaq jalan terakhir ni. Jangan mudah putus asa." Pesan Pak Samad lagi. Dia sudah maklum tentang cerita Daniel yang pernah melanggar seorang pak cik di pasar malam. Jejaka itu telah menceritakan segalanya.
"Ye, Pak Samad. Esok saya pergi."
"Haaa, ya la. Dah, kemas ni cepat. Sat lagi pi jumpa Mak Nah hang. Merepek pula orang tua tu kalau hang lambat." Daniel menangguk laju sambil menyisipkan senyuman. Dalam hatinya, sudah berbunga-bunga. Tak sabar menunggu hari esok. Semoga ada satu keajaiban yang berlaku. Dia harap sangat urusannya dipermudahkan. Daniel kembali meneruskan pekerjaannya bersama semangat yang makin membara.
Dalam diam, Pak Samad memerhati Daniel yang lincah membuat kerja. Naluri hati tuanya kuat mengatakan yang Daniel ini dilanda masalah yang besar. Dia rasakan Daniel ini bukan calang-calang orang. Lihat saja sewaktu Daniel mula-mula berkerja. Nampak sangat kekok. Dia langsung tidak kenal jenis-jenis ikan. Tapi, itu dia tak kisah. Benda boleh belajar. Apa yang dia fikir, dia mahu kembalikan semangat kepada Daniel.
Anak muda ini seperti kemurungan. Tidak banyak bercakap, gemar termenung seperti mengingatkan sesuatu. Makan pun kurang. Namun, wajahnya tetap kacak walauoun tidak dijaga rapi. Di sudut hati kecilnya, dia rasa semakin sayang terhadap Daniel. Dia sendiri tidak faham kenapa perasaan itu hadir. Perasaan yang turut sama dikongsi oleh isterinya.
Adakah Daniel ini hadiah oleh Allah kepada mereka yang sekian lama menunggu zuriat? Entahlah. Dia sendiri tiada jawapan atas soalan itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
LARA SOFEA
RomansaIzznur Sofea seorang wanita yang tabah mengharungi dugaan dan cabaran hidupnya. Hatinya telah mati dengan insan yang bernama lelaki. Tanpa Rayyan dan Risya, kedua permata hatinya. Tak mungkin dia boleh bertahan hidup di dunia ini.
