Assalammualaikum,
Kali ini aku ingin menceritakan lagi satu kisah yang agak menyeramkan. Kisah ini terjadi sebaik aku selesai menduduki peperiksaan SPM. Ia mengisahkan mayat seorang bayi yang telah dijadikan belaan oleh seseorang. Bayi malang ini dijampi dan menjadi bahan upacara sesat bagi menjadi tumpangan kepada jin-jin yang bakal digunakan oleh orang ini bagi tujuan tidak baik.
Kisahnya bermula dengan gangguan yang berlaku di taman perumahan tempat tinggalku. Kecoh ketika itu apabilan penduduk kehilangan duit sebanyak seratus ringgit. Tak lebih tak kurang. Tak cukup dengan itu jin bayi itu siap mengigit ibu jari mereka. Abang Ajis misalnya, dia pernah bercerita pada orang taman dia sendiri terlihat kelibat hantu ini mengigit ibu jarinya dan terasa sedikit pedih katanya. Kak Hasmah pula pernah bercerita ketika dia duduk bersendirian di rumah, dia juga terserempak makhluk kecil ini sedang ralit mencari duit di laci biliknya. Sebaik bersua muka, makhluk ini hilang dari pandangan mata. Demam dua hari orang tua itu.
Ketika ini aku sedang menikmati setiap saat-saat tidak perlu ke sekolah. Saat-saat di mana aku tidak perlu perah otak untuk menjawab pertanyaan cikgu. Saat ini sahaja. Di masa hadapan aku hadap beban hidup yang memaksa aku kerja dan sambung belajar. Aduh sedih.
Petang itu aku dan beberapa kawan aku sedang menikmati hidangan KFC hasil duit 'tong-tong' kami. Nikmat pakai duit 'tong-tong' ni lain lagi-lagi makan bersama kawan-kawan. Macam biasa kalau di kawasan kampung sungai la menjadi pilihan kami dan di tempat aku Kuala Woh lah tempatnya. Usai bermandi-manda kami semua balik ke rumah. Seronok juga bila dah habis sekolah. Selalu petang-petang begini ibu aku sudah pasti menelefon suruh aku balik tetapi kali ini telefon nokia aku senyap tidak berbunyi. Sedikit gembira di situ.
Aku hanya berbasikal menuju ke taman perumahan. Waktu senja ketika ini sudah mestilah budak-budak yang bermain di padang berlumba-lumba pulang ke rumah. Kereta berduyun-duyun masuk menuju ke rumah masing-masing. Aku berbasikal sampai ke belakang rumah. Aku selalu cuci basikal di belakang rumah. Lorong belakang rumah luas sedikit berbanding ruang parkir di depan rumah.
"Huh!!"
Sedang sibuk aku cuci basikal aku. Aku terlihat satu kelibat dari semak. Ia samar-samar. Aku tidak pasti samaada kelibat itu ada di situ tetapi perasaan aku menyatakan seperti ada sesuatu di situ. Aku mempercepatkan cucian. Hati makin tidak sedap. Aku cuba buat-buat tahu. Selesai cuci aku cepat-cepat menuju ke depan rumah pula. Pheww lega tiada apa-apa yang terjadi ketika itu.
"Assalammualaikum"
"Waailakummsalam, hah seronok tadi?"
"He he seronok mak"
"Dah pergi mandi lepas tu siap-siap solat, nanti boleh makan sekali"
"Baik mak"
Seperti biasa selesai makan tengok televisyen. Teringat juga pada kerja sekolah. Teringatnya sekadar nostalgia sahaja. Selepas puas menonton televisyen seperti biasa aku naik ke atas dan masuk ke dalam bilik. Ibu aku dah lama masuk tidur. Waktu ketika itu juga sudah hampir tengah malam.Seperti biasa juga nokia sabun dibelek-belek. Tiada apa pun yang menarik sekadar dengar lagu yang diambil dari kawan dan main game. Ada lah juga tengok video 3gp. Sekadar video biasa. Mesej dari kawanku masuk. Maka bermulalah sesi kami berbalas mesej. Maklumlah ketika itu bila tengah malam perkhidmatan mesej percuma.
Agak beberapa jam selepas itu aku turun ke bawah. Tekak terasa dahaga. Usai di bawah lampu ruang tamu dibuka.
Kranggg
Langkahku terhenti. Bunyi seperti ada orang membaling sesuatu di pintu belakang. Pintu grill besi yang menutup pintu kayu tebal berbunyi. Aku berjalan perlahan-lahan. Takut-takut ada orang cuba pecah masuk. Usai di dapur lampu dihidupkan. Ruang dapur kosong. Aku mengintai melalui tingkap dapur. Kosong cuma jalan dan hutan. Tiada kelibat. Aku menoleh kepalaku.
"Ya Allah!!"
Sekilas pandang aku seperti ternampak satu susuk kecil berlari masuk dari bilik air ke bilik tetamu. Bilik air bahagian bawah rumah terdapat dua pintu, satu ke bilik manakala lagi satu ke dapur. Dari dapurlah aku nampak susuk seperti budak kecil berlari masuk ke bilik. Berpeluh-peluh juga aku ketika itu.
Aku tidak masuk ikut bilik air tetapi cuba masuk ikut pintu bilik, kononnya cuba memintas makhluk itu dari depan. Aku selak langsir pintu bilik. Berdebar-debar juga. Fuh lega, kosong. Lampu dibuka. Baru ku perasan laci meja solek sudah terbuka. Kelihatan beberapa barang sudah jatuh ke lantai. Aku yakin selepas solat isyak tadi aku tak usik laci itu dan tiada barang bersepah. Jantungkan kembali berdengup. Aku berpaling ke ruang tamu. Kosong. Aku kembali masuk ke dalam bilik. Kali ini langkahku ke bilik air pula. Aku menjengah kepala di muka pintu. Fuh kosong juga.
Ketika ini aku da syak inilah kelibat yang dikatakan suka mencuri duit orang taman. Aku pasti di laci solek tadi tiada duit. Maknanya makhluk itu mungkin berada di atas barangkali. Aku naik ke atas perlahan-lahan. Pintu bilikku masih terbuka. Lampu juga masih terpasang. Aku masuk menjengah ke dalam bilik. Kosong. Tiada apa-apa yang menyeramkan.
Aku masuk ke bilik ibuku. Perlahan-lahan aku menyelak pintu biliknya. Kali ini degupan jantung bertambah laju. Sedikit cahaya dibelakangku menjadi panduan. Sedikit demi sedikit pintu dikuak.
"Erkkk!!"
Ketika inilah aku terkejut gila. Di hadapan aku kelibat budak kecil itu berdiri di kepala ibuku. Mulutnya terbuka seluas-luasnya. Badannya kecil seperti bayi satu tahun dan warnanya hijau. Mulutnya terbuka luas berserta air liur yang mengalir jatuh ke muka ibuku. Dari sudut aku nampak taring-taring giginya. Secara impulsif mulutku membaca ayat kursi sekuat hati. Makhluk itu melihat aku dengan mata merah saganya dan terus hilang secara tiba-tiba.
Jatuh tersungkur aku ketika itu. Lutut bergetar. Jika aku lambat tadi tak tahulah apa jadi pada ibuku. Ya selepas beberapa minit aku terduduk di lantai aku pengsan. Jantungku berdegup di kelajuan luar biasa memaksa sistem badan aku lumpuh separuh.
Esoknya ibuku hanya menendang-nendang aku.
"Dah kenapa tidur kat lantai, bilik kan ada dah bangun solat subuh. Haishhhh"
"Ermmmmm
Esoknya aku tanya ibuku samaada dia ada hilang duit sebanyak seratus ringgit. Ibuku geleng. Dia kata duit dia cuma di beg dompet atau beg tangan namun tiada yang hilang. Serta merta ibuku menyoalku samaada aku ada ambil duit dia atau tidak. Aduh.
Dua sehari selepas itu kecoh jugalah dengan satu kejadian hantu budak kecil. Kali ini duit tak hilang tetapi darah yang hilang. Penghuni di blok depan taman perumahan dikatakan diserang ketika tidur. Kepala salah seorang penghuni rumah itu merangkap seorang isteri dikatakan kepalanya telah digigit sesuatau. Agak besar juga bekas gigitan yang dia kena. Muka perempuan itu pula pecut teruk. Ketika dikerjakan ke hospital doktor mendakwa hampir seluruh badan kehilangan darah.
Aku cuma mampu telan air liur.