Beg itu cantik. Kelebarannya dua puluh empat sentimeter bersamaan tinggi empat belas sentimeter. Berwarna hitam pekat di bahagian pembuka dan bawahnya pula hitam berkilat. Polyvinyl chloride adalah material yang diperlukan untuk menghasilkan beg sedemikian. Juga logo Guess besi di hadapannya menarik perhatian.
Rina suka. Beg begitulah dia idam ketika ini. Malangnya gaji yang tidak memadai untuk dia membeli barang berjenama berharga seratus ringgit ke atas. Tidak pula sangka jumpa beg sedemikian di butik thrift. Barang yang telah diguna pakai.
Rina masuk ke dalam kedai bundle. Rina belek Guess Rubina Sling Belt Bag dua tiga kali. Hal yang buat dia tidak sangka adalah kualiti beg itu tidak kena dengan harga yang ditawar. Tiada kerosakan tipikal seperti benang cabut, rekahan, kusam dan lusuh. Beg itu serba baru. Baunya juga bau baru keluar dari kilang. Cuma tiada kotaknya sahaja.
"Bang, beg ni tiga puluh ringgit je ke?" Soalan Rina masih tidak percaya. Dia perlu kepastian. Selalunya beg begini ratus-ratus lebih harganya. Pernah dia lihat di Zalora dan Amazon.
"Haah" Balas lelaki itu sambil bermalasan dengan telefonnya di kaunter. Di belakangnya terdapat tulisan Boy Boutique Bundle bersaiz gergasi. Siap berlampu. Mungkin daya tarikan kedai thrift ini penuh dengan lampu sana sini.
Kali terakhir Rina membelek sebelum membelinya adalah kali keenam. Perasaan tidak sangka itu masih selubung dirinya. Selain Gucci, Guess juga antara idaman Rina. Sebuah jenama yang berasal dari Los Angeles. Barangan beg mereka memang menjadi kegemaran Rina. Cuma wang gajinya tidak pernah cukup untuk membeli.
Inipun dia beli di kedai bundle.
Bila barang murah moleknya Rina bayar tanpa bantahan. Mungkin tuan Boy Bundle Boutique tidak ada pengetahuan tentang beg tangan wanita memandangkan tiada apa yang dijual selain baju dan seluar terpakai. Hanya Guess Rubina Sling Belt Bag ini satu-satunya beg tangan wanita yang dijual. Adapun barangan beg, itu beg sekolah.
Tiga puluh ringgit dibayar. Peratusan dari jumlah gajinya tidak terluak. Selesai membayar Rina cepat-cepat keluar. Dia rasa rimas dengan seorang anggota polis yang dari tadi cuba kerlingnya. Lelaki itu tercegat di sudut jualan seluar jeans.
"Nak ngorat aku le tu, gatai punya polis"
Rina balik dengan dada yang gembira. Tidak dia kisah status pre-loved, asalkan masih boleh digayakan di hadapan kawan-kawannya kelk. Berdasarkan kondisi beg Guess itu sendiri, tiada siapa sangka ia adalah barang second-hand.
Sebelum tidur, Rina menyangkut beg Guess Rubina itu di bahu kanannya. Berpusign dia sambil bergaya di hadapan cermin panjang. Puas mengedik, Rina sangkut beg itu di tombol penyangkut yang dia sudah pakukan di dinding bersama beg dan seluar jean.
Sebaik Rina tidur, biliknya serba senyap. Cahaya lampu telefon dua tiga saat kemudian padam. Dan bilik tidur Rina gelap gelita.
Ktap!
Rina masih nyenyak. Badannya berpusing ke kiri. Mengadap dinding. Perlahan dengkuran dibunyikan mulut.
Ktap
Mata Rina ditutup dengan eye patch merah jambu. Masih terlelap. Masih berdengkur.
Ktap
Rina mengiring ke kanan pula. Selimut ditendang ke kaki. Rina memeluk bantal panjang. Juga masih berdengkur kecil.
Gedak!
Rina terjaga. Bunyi jatuhan sesuatu di belakang kepalanya. Rina dongak ke belakang. Penyakut seluarnya jatuh. Jatuh bersama beg-beg tangan.
"Dah kenapa jatuh, ish buat aku terkejut je"
Rina kembali tidur. Dia tidak ambil port. Esok-esok sahajalah dia pakukan kembali penyakut itu ke dinding.