Red Batik Hood

55 3 0
                                    


Tersebutlah kisah di sebuah kampung yang terletak di sebuah daerah. Tinggalnya seorang wanita bersama anak perempuannya. Tinggal mereka sebatang kara. Tinggal mereka di hujung kampung. Menemani si nenek yang duduk sendirian di dalam hutan.

Kain batik serba merah corak bunga teratai Mona sarungkan. Menutup aurat di atas kepala. Si ibu pula mengisi bakul dengan kuih-muih dan juga buah-buahan berupa pisang dan rambutan. Mona perlu hantarkan makanan ini buat si nenek yang sedang kegeringan seorang diri di dalam rumahnya. Katanya semalam kena demam panas.

Si nenek tidak mahu tinggal serumah. Alasan diberi kerana hidup ingin menyendiri. Katanya di rumah itu kenangan bersama suami masih bersisa hingga hujung nyawa. Amat sayang jika dia biarkan rumah itu reput di makan semangat hutan.

"Sekejap, anakku". Mona meletak kembali bakul yang baru diangkat. Dia kaku menanti si ibu dari dapur beransur keluar dengan seikat akar dan herba. "Nenek kamu tu demam, kamu buatkan dia air ubat ya. Bancuh dengan air panas" Arah si ibu.

"Baiklah ibu" Mona mengangguk. Herba diambil dan disekalikan ke dalam bakul.

Mona mengenakan sepatu kain merah bertapak kayu. Di balik kelubung kain batik, Mona menyarung baju kurung berbunga raya. Tompok-tompok corak bunganya berona merah. Mona suka akan warna merah. Kain cindai melilit pinggang. Juga lembut warna merahnya.

Mona tampak manis dengan solekan bedak buatan ibunya. Pakaian di tubuhnya kini serba merah. Serba menawan. Bak anak raja keluar istana, mencari bunga di taman larangan. Cuma Mona tidak ke taman larangan, dia perlu meneroka hutan rimba yang liar.

Sebelum berangkat Mona memberi salam. Langkah kecilnya dimulai dengan berjalan di atas tanah lembab. Sesekali langkah besar dibuka. Melintas akar banir yang besar bukanlah hal mudah. Ada masanya Mona terpaksa memanjat. Lagikan lelah mendaki bukit. Mona sapu keringat di dahi. Alah bisa tegal biasa. Itulah rutin Mona menghantar bekal ke rumah neneknya.

Ada satu persimpangan di tengah hutan. Simpang ke kiri menganjur ke rumah neneknya. Manakala ke kanan menganjur ke lubuk pemburu rusa. Di situ jualah Mona bertemu dengan Pak Borhan si pemburu serigala.

"Assalammualaikum Pak Borhan. Hari ini takpergi memburu?"

Tak!

"Waalaikumsalam" Pak Borhan berhenti mengapak kayu. Dia melihat susuk di belakangnya. "Owh Mona rupanya, ingatkan siapa tadi. Tidak rasanya, Pak Borhan hendak habiskan kerja memotong kayu... Mona ini membawa bekalan makanan ke rumah nenek kah?" Soal Pak Borhan.

Mona mengangguk. "Ya Pak Borhan, kasihan nenek demam panas. Mona perlu bawakan makanan dan ubat ke rumah nenek"

"Baiklah, kalau begitu berhati-hatilah kamu nak. Sejak kebelakangan ini aku sering terlihat serigala, jika ada bahaya kamu jeritkan sahaja nama aku ya. Tidakpun kami lari sahaja ke sini, aku sentiasa di sini mengapak kayu hingga waktu petang"

"Baiklah Pak Borhan"

Mata Mona melihat monyet kecil melompat-lompat. Monyet itu tiada kehendak mahu mencuri makanan Mona. Sambil mengendong anaknya, monyet itu menjauhi Mona yang semakin ke barat. Daun-daun yang gugur hadirnya pelbagai saiz. Ada besar ada jua kecik. Pokok-pokok parasit menumpang liar sana dan sini. Masing-masing berebut cahaya matahari. Mona suka suasana hutan. Namun Mona harus ingat pesan Pak Borhan.

Serigala pemakan budak.

Akhirnya Mona tida di halaman rumah neneknya. Tiada bahaya tiada bencana, Mona lega menarik nafas. Daun kering tidak disapu. Itu tanda si nenek kesakitan hingga tidak mampu bekerja. "Kasihan nenek" Ujar Mona sambil menyapu dedaun kering. Tidak elok dibiarkan halaman rumah bersepah. Nescaya binatang liar akan ingat rumah ini rumah tinggalan. Pasti jadi sarang mereka.

Kisah SetanWhere stories live. Discover now