Waktu malam aku suka buka tingkap. Kurang-kurang haba petang boleh berambus dari bilik ini. Terperap dengan kepanasan adalah hal yang merimaskan. Sambil melayan satu dua lagu Sufian Suhaimi, aku menelaah Biologi bab lima.
Angin malam menyejuk tiap sudut dinding. Sesekali merinding roma tatkala angin berderu lembut di belakang tengkuk. Langit pekat hitam membintik cahaya-cahaya kecil yang berselerak. Di tengah pandangan aku pula sebiji sfera terapung memantul cahaya matahari.
Pap!
Tangan aku laju menampar pipi. Entah dari mana muncul seekor serangga hinggap di pipi kiri. Aku tidak pasti jenis apa yang aku pasti ia menganggu. Perlahan aku kalihkan tapak tangan dari muka. Tengah telapak tangan aku rasa basah melekit.
Setompok darah berserta cebisan kecil anggota badan serangga. Aku syak nyamuk, namun apabila aku perati hindleg serangga itu ia persis belalang. Lebih besar dari mana kaki-kaki nyamuk. Warnanya legam. Bola mata aku berguling kembali melihat cermin. Separuh jerit aku apabila melihat setompok merah besar di pipiku. Aku tarik sesunggut yang masih melekat.
Dan ya, ia adalah milik seekor belalang.
Aku cuci bersih-bersih sisa yang melekat. Geli juga dengan bau busuk darah serangga itu. Entah kenapa tergedik-gedik nak hinggap ke pipi aku. Sudahlah aku ini jenis jaga kulit muka. Bila aku tiada mood hendak baca, aku segera tutup mata. Tidur lagi bagus.
Esok pagi seperti biasa selepas mandi aku melaram di hadapan cermin bilik air. Cuci muka dan gosok gigi. Cermin berkabus aku lap dengan tangan. "Ala gampangnyer" Satu hal yang dibenci para wanita adalah jerawat. Stress aku sekejap. Walaupun masih kencil bonjolan asing ini namun ia tetap mencacatkan muka aku yang licin mulus.
Rasa putus asa pula hendak ke sekolah. Drama sungguh.
Kau orang tahu apa punca jerawat? Sebum. Tahu tak apa benda sebum tu. Kau orang Googlelah sendiri sebaceous gland itu apa. Benda itulah punca utama jerawat terjadi. Mahu tak mahu aku biarkan sahaja bonjolan kecil itu mencacatkan pandangan kaum pelajar lelaki.
Ah bukan pentingpun. Selepas cuci dua kali sehari, lama-lama hilanglah jua. Jangan tunggu jadi jeragat. Masa itu menangis bucu katilpun tak guna.
Seperti biasa aku masuk kelas aku akan duduk di barisan kedua di bahagian pelajar perempuan. Aku duduk bersama dua orang teman aku dan aku suka pilih tepi tingkap. Kurang-kurang wajah aku tidak menjadi perhatian ramai. Boleh juga berangan dua tiga minit tanpa cikgu perasan.
"Ouch"
Jerawat ini sedikit menyakitkan. Hendak sahaja aku picit namun menurut sesetengah pakar tak bertauliah, jerawat jangan dipicit. Nanti muka akan lagi teruk. Jerawat akan bertambah. Jadi aku biarkan sahaja.
Tetapi itulah, sakit.
Benda paling menyampah ketika pulang ke rumah apabila terserempak dengan Pak Yahya. Lelaki tua kematian isteri. Selalu benar dia tegur macam-macam untuk tarik perhatian aku. Modal nak mengorat. Gila sungguh orang tua cuba menggoda budak sekolah. Aku baru enam belas tahun. Nasib baiklah emak aku jenis berprinsip. Mahukan anak perempuannya cerdik pandai masuk universiti.
Selalu jugalah Pak Yahya kena hamun dengan emak. Dapat jugalah rasa gelaran pedofilia orang tua itu. Aku lihat Pak Yahya jalan menunduk. Matanya tepat nerenung jalan. Entah apa yang dia rungsingkan. Cepat-cepat aku jalan. Terserempak dengan Pak Yahya buat aku sesak.
"Errr Wawa baru balik sekolah?" Tiba-tiba Pak Yahya menyoal. Dari tadi dia menunduk sambil-sambil tangan senang diri sampai tak perasan aku melepasi dia, sudah jauh ke depan baru hendak tegur.
"Haah, nak balik rumah cepat ni Pak Yahya"
"Kalau macamtu Pak Yahyapun nak balik dululah"
Aku terus berjalan meninggalkan Pak Yahya. Perut sudah lapar. Badan sudah rimas. Kalau ikutkan mahu sahaja terajang orang tua itu. Namun atas nama adab, aku bersopan-santun.