"Psssst"
Aku pandang dengan penuh waspada. Semak samun yang merimbun di hadapan sebuah hutan memanggil-manggil namaku. Aku perhatikan betul-betul dicelahan helaian-helaian lalang mencacak.
Rupa-rupanya dari tadi aku melayan diri keseorangan di padang ini ditemani oleh seseorang. Seseorang yang mengintai aku di balik rimbunan semak.
Mulanya aku terkejut dengan kemunculan bangkai kucing secara tiba-tiba melompat keluar dari semak. Kepala kucing itu hancur. Kemudian barulah suara berbisik itu muncul.
"Kau nampak kan bangkai kucing tu, bagi kat aku boleh... aku laparlah"
Aku bingung dengan susuk lelaki tua ini. Meniarap di dalam himpunan semak dengan hanya bertelanjang bogel. Apa jadahnya lelaki ini membuang tabiat di kala bulan puasa meminta bangkai kucing untuk di makan.
"Pak cik takder mende lain nak makan ke? Takkan taknak puasa sampai nak makan kuing?" Tanyaku mempertikai. Aku pasti manusia tua ini cuba ponteng puasa.
"Aku bukan macam korang boleh puasa, ala nak aku minta kau pass bangkai kucing tu je pun"
Aku turutkan sahaja apa yang pak cik itu kehendakkan. Aku tarik bangkai kucing dan lempar di hadapan kepala lelaki tua itu. Dia menonjolkan susuk kepalanya lalu mengigit bahagian leher kucing itu untuk tarik masuk ke dalam semak. Segala rasa jijik dan geli melanda otak dengan seribu rasa mual. Muka tua lelaki itu bersahaja menampakkan dia sudah biasa makan bangkai binatang.
'What the heck'
"Terima kasih nak ya, nama kau siapa?"
"Nama saya Azeril, nama pakcik?"
"Heh, aku Pak Atan"
Pupil mata aku membesar. Hampir terkeluar biji mata ini dari soket. Susuk yang aku sangkakan manusia itu rupanya bukan. Tidak sangka aku akan bertemu dengan makhluk puaka di bulan Ramadan. Tanpa tunggu masa, aku berlari ketakutan. Langkah aku laju minta nyawa. Lari aku langsung tidak toleh ke belakang.
Berlari menyelamatkan diri.
Pak Atan bukanlah tokoh ternama atau penjenayah terkenal. Dia hanyalah orang tua yang tinggal sendirian selepas kematian isterinya. Ditinggalkan oleh dua anaknya dek konflik keluarga menjadikan Pak Atan sebatang kara mati keseorangan.
Kematian Pak Atan sungguh ngeri dan menyayat hati. Dikatakan wajahnya hancur lumat dek dihentam kuat dengan penukul besi. Remuk hancur tulang muka. Alat pembunuhan itu sendiri ditemui di luar rumah. Namun malangnya hingga kini pembunuhnya masih bebas berkelana.
Anak-anak Pak Atan pula... hmmm masing-masing duduk luar negara tidak langsung pedulikan kematian bapa mereka.
Terjadinya peristiwa seram hantu Pak Atan selepas sebulan kematiannya. Kecoh seluruh kampung dengan penampakan susuk Pak Atan merangkak-rangkak oleh beberapa orang kampung. Mereka mendakwa diserang Pak Atan dari belakang. Ada juga mendakwa binatang ternakan mereka lesap dicuri Pak Atan.
Kemunculan hantu Pak Atan bukan sahaja menyeramkan kampung aku malah ia menyeramkan tempat penginapan pekerja asing yang terletak di luar kampung. Mereka mendakwa beberapa pekerja hilang dek terserempak dengan hantu Pak Atan.
Lari ketakutan barangkali.
Maka bermulalah tuduhan tidak berasas. Dek kerana susuk makhluk itu persis Pak Atan maka ada yang menganggap ia adalah saka Pak Atan. Ada juga yang membantah kerana terkenangkan Pak Atan merupakan salah seorang imam masjid.
Apa-apapun peristiwa Pak Atan menghantui kampung aku selama dua bulan lebih akhirnya senyap dari berita. Susuk Pak Atan tidak lagi muncul selepas itu. Sudah lima tahun aku rasa peristiwa ini berlaku.