18; Merkuri Dalam Kosmetik Timbang Kilo

94 8 1
                                    

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.


Oleh: Ini Sains Beb (Facebook)

Mengapa MERKURI memberikan kulit cerah dalam tempoh singkat?

Seringkali kita dihidangkan berita mengenai lambakan kosmetik yang tidak berlabel atau digelar ‘krim kilo’ yang mengandungi merkuri dipasaran. Walaupun diberitakan tentang bahaya dan kesan akibat penggunaan kosmetik sedemikian, masih ramai yang menggunakannya.

Punca utama: keberkesanan kosmetik ini dapat dilihat dalam tempoh yang singkat.
Mengapa merkuri digunakan dalam kosmetik? Bagaimana kesan pemutihan dan kulit yang mulus dapat dicapai dalam masa yang singkat?

FUNGSI MERKURI DALAM KOSMETIK

Bila disebutkan tentang ‘MERKURI’ selalunya pasti tergambar logam cecair berwarna perak yang terdapat dalam thermometer (jenis lama). Sebenarnya, seperti elemen (logam) lain, merkuri juga boleh wujud dalam keadaan lain yang memberikan warna, bentuk, malah ketoksikan yang berbeza.

Merkuri diperoleh secara natural dalam bentuk logam merah cinnabar (merkuri (II) sulfida). Bahan ini telah digunakan pada zaman lampau sebagai pewarna untuk tembikar dan pinggan mangkuk. Malah, sejarah mencatatkan cinnabar yang berwarna merah ini digunakan juga sebagai kosmetik untuk memberikan rona kemerahan pada wajah (mungkin sebagai blusher atau pemerah pipi).

Namun, kini penggunaan merkuri dalam kosmetik adalah berbeza. Terdapat dua bentuk elemen merkuri dalam kosmetik: organik dan inorganik.

Merkuri organik (berikatan dengan kumpulan hidrokarbon) seperti thimerosal selalunya digunakan sebagai pengawet antifungus atau antibakteria dalam sediaan kosmetik seperti pembersih kosmetik, cecair maskara, cecair celak.

Manakala, merkuri bukan organik (atau garam merkuri) seperti merkuri ammonia, merkuri (II) klorida digunakan sebagai elemen pemutih kulit dalam krim atau sabun kosmetik.

BENARKAH MERKURI TINGGAL LAMA DALAM SISTEM TUBUH?

Merkuri organik seperti thimerosal berfungsi sebagai antifungus boleh dibaca dalam artikel berkaitan vaksin.

Penggunaan kosmetik adalah kerap sehari-hari dan menyebabkan logam merkuri berada lama terkumpul dalam sistem tubuh kita. Berlainan dengan vaksin yang diambil secara berkala dan memberikan waktu thimerosal dimetabolismakan menjadi ethyl mercury yang boleh dinyahkan dari tubuh dalam masa 7-14 hari.

Merkuri tak organik yang digunakan sebagai krim pemutih pula mampu diserap tubuh dengan efisyen melalui permukaan kulit. Merkuri dalam bentuk ini biasanya mempunyai jangka hayat dalam tubuh yang lebih panjang.

Malah, penggunaan kerap dan berkala menyebabkan ia terkumpul dalam tubuh dengan amaun yang tinggi.

BAGAIMANA MERKURI ‘MENCANTIKKAN’ KULIT

Merkuri digunakan dalam krim dan sabun kosmetik sebagai pencerah kulit. Biasanya produk mengandungi merkuri menjanjikan kulit yang cerah dan mulus dalam tempoh yang singkat. Tetapi penggunaan berterusan menyebabkan kulit semakin menipis dan mendatangkan kerengsaan.

Jika berhenti menggunakannya, kesan buruk seperti pigmentasi dan kulit yang bertompok dan berjeragat mula timbul.

Warna kulit kita disebabkan oleh pigmen melanin yang dihasilkan oleh sel-sel melanosit di bawah lapisan epidermis kulit.

Melanin dihasilkan oleh melanosit melalui tapakjalan melanogenesis. Permulaan penghasilan melanin adalah melalui tindakbalas pengoksidaan asid amino tyrosine. Tindak balas ini memerlukan enzim tyrosinase sebagai pemangkin.

Kehadiran merkuri akan merencat tindakbalas enzim tyrosinase. Maka, pigmen melanin tidak dapat dihasilkan oleh melanosit. Kulit tanpa pigmen melanin (yang kecoklatan) akan menyebabkan kita kelihatan pucat tanpa warna.

Merkuri juga mampu bertindakbalas dengan kumpulan sulfidril dalam amino asid pelbagai protein. Ini akan merencat fungsi protein tersebut dan menyebabkan sel-sel kita mati.

Melanin juga berfungsi melindungi kulit dari sinaran ultralembayung yang merosakkan sel. Natijahnya, kulit kita akan mengelupas dan mendedahkan sel-sel epidermis yang baru.

Begitulah kulit kita akan mengelupas dengan singkat, kemudian menghasilkan kulit putih mulus tanpa melanin. Cantiklah sekejap...

KESAN SAMPINGAN PENGGUNAAN MERKURI DALAM KOSMETIK

Merkuri, seperti yang telah djelaskan di atas, adalah bersifat menghakis lapisan epidermis kulit. Penggunaan yang berterusan akan menyebabkan kulit mudah mengalami kerengsaan, tiada perlindungan dari selaran cahaya matahari, dan menyebabkan kulit sangat sensitif terhadap rangsangan.

Hasilnya, lama kelamaan tompok hitam hiperpigmentasi akan muncul pada kulit. Kulit juga mudah rengsa (dipanggil ‘kulit nipis’), kemerahan dan gatal. Ada sesetengah keadaan, habis rosak lapisan epidermis dan dermis kulit!

Penggunaan kosmetik mengandungi merkuri secara berterusan juga menyebabkan pengumpulan merkuri yang diserap melalui kulit dalam sistem tubuh. Merkuri mampu merencat pelbagai jenis enzim, terutama enzim acetylcholinesterase yang mengimbangi neuropemancar di celahan neuron-neuron. Ini menyebabkan gejala seperti pengembangan salur darah (yang menyebabkan kulit kelihatan merah). Ia juga dikatakan mampu menyebabkan kematian saraf-saraf (neuropathy).

Keracunan merkuri akibat penggunaan kosmetik juga telah dikaitkan dengan gejala kerosakan buah pinggang.

HENTIKAN PENGGUNAAN KOSMETIK MENGANDUNGI MERKURI

Jika tiada permintaan, tiadalah penawaran kosmetik begini.

Kosmetik berasaskan merkuri selalunya menjanjikan hasil yang singkat. Ia juga menggunakan warna yang terang bagi melindungi warna kompaun merkuri yang memberikan warna kekelabuan dan tidak menarik. Ia juga ditambah haruman yang kuat bagi melindungi bauan bahan kimia yang membuatkan kita tidak selesa.

Tak perlu berlumba-lumba menjadi putih melepak bak salju, jika ia akhirnya membawa mudarat.

Jika anda mempunyai masalah kulit, janganlah menggunakan jalan singkat. Berjumpalah doktor dan kenal pasti masalah anda. Jika mahu menggunakan produk kosmetik, pastikan ia mempunyai notifikasi KKM dan dikilang dengan status GMP.

#cisplatin (comel seadanya...)

RUJUKAN

Brzóska MM, Galażyn-Sidorczuk M, Borowska S. Metals in Cosmetics. InMetal Allergy 2018 (pp. 177- 196). Springer, Cham.

Ababneh FA, Al-Momani IF. Assessments of toxic heavy metals contamination in cosmetic products. Environmental Forensics. 2018 Apr 3;19(2):134-42.

Ho YB, Abdullah NH, Hamsan H, Tan ES. Mercury contamination in facial skin lightening creams and its health risks to user. Regulatory Toxicology and Pharmacology. 2017 Aug 1;88:72-6.

Barr RD, Woodger BA, Rees PH. Levels of mercury in urine correlated with the use of skin lightening creams. American journal of clinical pathology. 1973 Jan 1;59(1):36-40.

Ori MR, Larsen JB. mercury Poisoning in a Toddler from Home Contamination due to Skin-lightening Cream. The Journal of pediatrics. 2018 May 1;196:314-7.

Hong-Xin N, Shen-Heng L, Hong-Ying L, Yi-Hua C, Wei-Wei L, Pei-Lin L, Long HB. Clinicopathological features, diagnosis, and treatment of IgA nephropathy with minimal change disease related to exposure to mercury-containing cosmetics: a case report. Clinical nephrology. 2017 Apr 1;87(4):196.

Chan TY. Inorganic mercury poisoning associated with skin-lightening cosmetic products. Clinical toxicology. 2011 Dec 1;49(10):886-91.

[C] KOPI DAN PASTAWhere stories live. Discover now