51; Islam dan Bunuh Diri

94 6 0
                                    

Artikel ditulis oleh: Noor Deros

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Artikel ditulis oleh: Noor Deros

ISLAM DAN BUNUH DIRI : MENYEIMBANGKAN AMARAN DENGAN SIMPATI DAN HARAPAN

Krisis bunuh diri semakin berleluasa di seluruh dunia khususnya di kalangan orang muda. Adalah menjadi satu kewajipan golongan asatizah dan agamawan untuk mencadangkan solusi-solusi keagamaan bagi masalah ini.

Saya cadang kita mulakan dengan membetulkan persepsi umat Islam tentang ajaran Islam berkenaan bunuh diri terlebih dahulu.

Saya mendapati stigma keagamaan sangat pekat keatas mereka yang meluahkan keinginan membunuh diri (ideation), merancang (planning), mencuba (attempt) apatah lagi yang telah membunuh diri. Stigma tersebut berpunca daripada ketidakseimbangan memahami pendirian Islam berkenaan krisis ini.

Apabila penderita meluahkan keinginan untuk melakukannya, seringkali reaksi yang diterima adalah rasa kecewa, marah, ceramah dan perbuatan menyuruh penderita menambah baik Iman dan Ibadah.

Selepas percubaan bunuh diri yang gagal pula seringkali reaksi yang diterima lebih kurang sama namun ditambah dengan rasa malu keluarga terhadap percubaan itu. Cuba fikirkan sedikit apabila keluarga menyatakan rasa malu terhadap perbuatan penderita apa rasanya perasaan penderita?

Bila terjadinya kematian yang diklasifikasikan sebagai bunuh diri pula maka kita dapati ada bisik-bisik negatif dan terpaculnya kata-kata seperti "mati su'ul khatimah" dan sebagainya.

Stigma yang berlapis-lapis.

Reaksi-reaksi sebegini adalah sangat merbahaya dalam kebanyakan keadaan, jarang sekali ia membawa perubahan yang positif kepada penderita, bahkan telah banyak membawa kepada perkara yang tidak diingini itu sendiri. Apabila stigma dan reaksi sebegini berleluasa di dalam masyarakat secara otomatik ramai penderita hanya akan memendam penderitaan dan keinginan mereka dan akhirnya tidak mendapat bantuan yang sepatutnya. Ini sangat lah merbahaya.

Tidak dapat dinafikan bahawa agama Islam memberikan amaran yang jelas keatas mereka yang ingin membunuh diri (baca disini https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/1124-bayan-linnas-siri-74-tekanan-hidup-yang-membawa-bunuh-diri-hukum-dan-penyelesaiannya), jangan diremehkan atau diketepikan amaran ini kerana ia juga memiliki kemampuan dan unsur pencegahan.

Namun jangan pula kita lupa bahawa Islam juga memerintahkan kita untuk menyelamatkan nyawa manusia, Allah s.w.t berfirman, "Sesiapa yang menyelamatkan satu nyawa seolah-olah dia telah menyelamatkan semua manusia." - Al-Quran 5:32.

Maka untuk menyelamatkan nyawa yang berada dalam bahaya sebagai umat Islam reaksi pertama yang sepatutnya apabila mendengar luahan ingin membunuh diri adalah menunjukkan kesediaan untuk mendengar dengan sungguh-sungguh penderitaan peluah dan dengan rasa penuh simpati, bukan menghukum, sebaliknya berusaha untuk mendapatkan bantuan pakar serta memberikan sokongan moral dan kerohanian supaya penderita kekal kuat dalam masa yang sama mengajaknya meningkatkan iman dan melakukan ibadah bersama, bukan menyuruh-nyuruh dan lebih menjatuhkan semangatnya.

Lihat luahan Saidatuna Maryam a.s ketika melahirkan Nabi Isa a.s :

“(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” - Al-Quran 19 : 23.

Timbul hasrat bunuh diri sangat normal bagi orang yang menghadapi tekanan yang hebat. Lihat Saidatuna Maryam a.s pun berhasrat mati (walaupun bukan hasrat bunuh diri), mengapa Allah masukkan lintasan hati Maryam dalam ayat ni? Boleh kita fahami bahawa Allah mahu kita lebih manusiawi memahami betapa manusia sangat lemah dan rasa sebegitu sebenarnya normal asal jangan diteruskan hasratnya.

Apabila percubaan bunuh diri telah berlaku pula, reaksi keluarga yang benar-benar muslim sepatutnya adalah berusaha bermuhasabah dan bersyukur kerana diberikan peluang kedua untuk memperbaiki apa yang salah dalam budaya keluarga sehingga mendorong atau tidak mampu menghalang penderita daripada melakukan percubaan tersebut.

Untuk mencegah krisis bunuh diri pendekatan agamawan tidak dapat tidak mestilah seimbang di antara memberi amaran dengan memberi harapan keagamaan. Terlalu banyak amaran tanpa harapan membuatkan penderita merasa malu dan takut untuk meluahkan penderitaan yang dihadapi kerana bimbang dihakimi manusia berbanding mendapat sokongan yang diperlukan. Namun terlalu banyak harapan tanpa amaran juga merbahaya kerana secara bawah sedar nanti masyarakat menganggap perbuatan ini sebagai perkara biasa dan kecil pula atau, lebih bermasalah lagi dianggapnya sebagai hak peribadi setiap manusia.

Islam juga memberi amaran kepada manusia supaya tidak menghukum pengakhiran hidup seseorang dan keadaan seseorang di akhirat secara pasti kecuali ada pemberitahuan dari wahyu yang kita semua tahu telah pun terhenti. Perbuatan bunuh diri itu walaupun termasuk didalam dosa besar ia tidak mengeluarkan seseorang daripada Islam dan walaupun dia tidak berpeluang untuk bertaubat dia tetap berpeluang untuk mendapat keampuan daripada Allah s.w.t.

Tambahan pula, dalam banyak kejadian bunuh diri kita tidak boleh pastikan sama ada pelaku melakukannya dalam keadaan waras ataupun tidak. Jika tiada kewarasan maka perbuatan itu tidak dikira sebagai dosa kerana orang yang tidak waras tidak lagi dikira sebagai mukallaf, yaitu seseorang yang dikira bertanggungjawab keatas perbuatannya. Rasulullah s.a.w bersabda :
“Diangkat tulisan (tidak dikira bertanggungjawab) daripada 3 orang; orang yang tidur hingga dia bangun, kanak-kanak sehingga dia baligh dan dari orang yang tidak waras hinggalah dia waras (kembali).” - Hadith riwayat Abu Dawud & An-Nasaa’i.

Diriwayatkan dalam Sahih Muslim bahawa Tufail bin Amr Ad-Dousi dan teman-temannya berhijrah ke Madinah untuk menyokong perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. Namun setibanya disana salah seorang temannya itu jatuh sakit sehingga beliau berputus asa dan akhirnya mengambil sesuatu yang tajam dan mengelar urat tangannya sehingga mati.

Selepas kejadian itu Tufail bermimpi melihat temannya berada dalam keadaan yang baik tetapi dalam keadaan menutupi/membalut bahagian tangannya yang dikelar itu, Tufail bertanya "Apa yang Tuhan buat kepada mu?" Temannya itu menjawab "Dia telah mengampunkan aku kerana aku berhijrah menyokong NabiNya s.a.w", Tufail bertanya lagi "Namun mengapa aku melihat engkau menutup/membalut tanganmu itu?", temannya menjawab "Allah berkata kepadaku 'Kami tidak akan membaiki apa yang kamu sendiri rosakkan'". Tufail pun memberitahu Nabi s.a.w akan mimpi itu, Rasulullah seraya berdoa "Ya Allah ampunkanlah juga tangannya itu".

Kajian menunjukkan bahawa mereka yang kehilangan orang tersayang akibat bunuh diri sangat tinggi kebarangkaliannya untuk mereka mengambil jalan yang sama. Maka itu sokongan kepada mereka harus dititik beratkan, doakan supaya Allah mengampunkan pelaku, cakap yang baik-baik tentangnya dan pantau keadaan emosi keluarga dan teman-teman rapatnya.

Saya menyeru kepada asatizah dan agamawan untuk bersama-sama menyokong usaha pencegahan bunuh diri di dalam masyarakat masing-masing. Bagi yang ingin tahu dengan lebih lanjut sila hubungi MIASA (Mental Illness Awareness & Support Association). https://www.facebook.com/miasamalaysia/

Bagi yang sedang menderita dengan fikiran ingin membunuh diri ataupun telah mencuba saya mohon anda untuk menghubungi MIASA juga, insyAllah kami akan membantu apa yang terdaya.

Semoga Allah merahmati usaha kita semua.

[C] KOPI DAN PASTAWhere stories live. Discover now